30/08/2013

Latihan Rumusan GTF Perak 2013

Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menjayakan program kitar semula dan  faedah program kitar semula. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Pernahkah anda terfikir tentang sisa pepejal atau sampah sarap yang dibuang pada setiap hari yang tidak diuruskan dengan sempurna? Kerajaan, menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah melancarkan kempen kitar semula secara besar-besaran di seluruh negara. Namun, program kitar semula ini kurang berkesan kerana sikap masyarakat yang kurang prihatin terhadap perkara ini dan tidak ambil peduli tentang implikasi pembuangan sisa pepejal yang berlebihan. Masyarakat kita kurang memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan sisa pepejal ini diurus dengan sewajarnya. Oleh itu, kerajaan hendaklah mengenakan tindakan tegas dengan menghukum penjenayah alam sekitar yang membuang sampah dan sisa industri sesuka hati.

Program kitar semula ini juga sukar mencapai sasaran kerana penglibatan dan penyertaan pihak swasta masih rendah. Sewajarnya, pihak swasta memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya kitar semula. Usaha sesetengah pasar raya besar seperti Jusco yang menyediakan tong kitar semula haruslah dipuji dan patut dicontohi oleh pihak swasta yang lain. Ketika ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyediakan jumlah tong menjangkau 15,000 buah yang merangkumi 700 pusat kitar semula di seluruh negara, namun jumlah ini masih belum mencukupi. Oleh itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah memperbanyak tong dan pusat kitar semula.

Selain itu, pihak sekolah dan ibu bapa wajar memainkan peranan untuk menerapkan kepentingan kitar semula dalam kalangan murid. Pendidikan mengenai kepentingan kitar semula perlu dipupuk sejak awal mula sekolah lagi. Pemupukan budaya mengasingkan sisa-sisa makanan, plastik, botol dan kaca  lambat-laun akan tertanam dalam jiwa mereka. Semasa di rumah pula ibu bapa menunjuk ajar anak-anak kaedah membuang sampah dan sisa pepejal. Pendidikan awal ini jika dipupuk secara berterusan akan menjadi amalan yang sangat menguntungkan semua pihak.

Peranan media massa juga penting dalam memastikan kempen kitar semula ini lebih berkesan dalam kalangan masyarakat. Iklan tentang kitar semula haruslah sentiasa disiarkan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap kempen ini. Kempen ini hendaklah disiarkan secara berterusan agar lebih efektif. Kita seharusnya mencontohi beberapa buah NGO negara luar  mengambil inisiatif membentuk kumpulan atau komuniti bagi menjayakan program kitar semula. Oleh itu, badan bukan kerajaan (NGO) boleh menubuhkan persatuan untuk menangani masalah pembuangan sampah di negara kita. Kesimpulannya, masyarakat Malaysia mesti sederap menggembleng tenaga untuk memastikan kempen kitar semula ini berjaya sepenuhnya.
          (Dipetik dan diubahsuaikan daripada
‘Kitar Semula Untuk Amalan’
Utusan Malaysia, 28 Mac 2013)
A = jawapan isi tersurat

B – jawapan pemahaman soalan  2(ii)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i)                 maksud mengambil inisiatif.
            [2 markah]

(ii)             Mengapakah program kitar semula yang dilaksanakan masih kurang berkesan dalam kalangan masyarakat?
                                                                        [3 markah]

(iii)       Pada pandangan anda, sebagai ahli persatuan Kelab Keceriaan sekolah, bagaimanakah cara yang dapat anda lakukan untuk menjayakan program kitar semula di sekolah anda.
            Nyatakan empat cara.
-                 menulis rencana di internet/’face book’
-                 menjemput penceramah
-                 meminta persatuan menganjurkan pertandingan
-                 menulis surat kepada pihak sekolah untuk menjalankan kempen
-                 memberi ucapan di perhimpunan rasmi
-                 menampalkan maklumat alam sekitar di papan kenyataan                                                                 
[4 markah]

26/08/2013

Intensif Tatabahasa PMR 2013

1.
I
II
III
IV
“Masukkan sedikit cili sos ke dalam masakan itu,” kata ibu kepada kakak. 
“Masukkan sedikit sos cili ke dalam masakan itu,” kata ibu kepada kakak.
Azura membeli sehelai telekung mini yang bersulamkan benang emas di pasar malam.
Azura membeli sehelai mini telekung yang bersulamkan benang emas di pasar malam.


A.      I dan II                        B          I dan IV
C       II dan III                      D         II dan IV

{Hukum D-M yang betul ialah sos cili kerana yang diterang ialah sos dan yang menerang ialah cili. (Sos tiram, sos tomato)}
{Hukum D-M yang betul ialah telekung mini kerana yang diterang ialah telekung dan yang menerang ialah mini.
(telekung biru, telekung baharu)}
Jawapan :  C

2.

I
II
III
IV
Mak Cik Liza menghidangkan tetamunya sepinggan kuih seri muka. 
Mak Cik Liza menghidangi tetamunya sepinggan kuih seri muka. 
Encik Azli menghadiahkan cincin bertatahkan berlian kepada bakal isterinya.     
Encik Azli menghadiahi cincin bertatahkan berlian kepada bakal isterinya.   


A       I dan II                        B          I dan III
C       II dan III                      D         III dan IV

{Imbuhan apitan “meng ... i” - cerita (predikat) dalam ayat itu mesti merujuk kepada (siapa) manusia sahaja}
{Imbuhan apitan “meng ... kan” - cerita (predikat) dalam ayat itu mesti merujuk kepada (apa) benda atau binatang}
Jawapan :  C

3.


I
II
III
IV
Mereka masih membincangkan masalah keruntuhan moral para remaja.
Pekebun kecil masih membincangkan harga kelapa sawit yang tidak menentu.
Mereka masih membincangkan tentang masalah keruntuhan moral para remaja.
Pekebun kecil masih membincangkan tentang harga kelapa sawit yang tidak menentu.


A       I dan II                          B           I dan III
C        II dan III                       D         III dan IV
{Gugurkan perkataan tentang sebab imbuhan apitan “meN ... kan” sudah membawa maksud tentang}
{kata kerja transitif tidak boleh disisipkan sebarang kata sendi} men-…-kan {tidak perlu tentang}
Jawapan :  A
 ber {ada tentang/kata sendi}/ber-...-kan {tak perlu kata sendi}



4.


I
II
III
IV
Berhati-hati memandu kenderaan di selekoh yang tajam dan merbahaya itu.
Kejayaan gemilang dalam PMR yang diperolehi Syakirah kerana usaha gigihnya.
Berhati-hati memandu kenderaan di selekoh yang tajam dan berbahaya itu.
Kejayaan gemilang dalam PMR yang diperoleh Syakirah kerana usaha gigihnya.


A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan III                                 D         III dan IV

{Tidak ada imbuhan awalan ‘mer-‘ dalam tatabahasa Melayu, bukan merbahaya tetapi berbahaya}
{Apitan ‘diper ... i’ – hanya kepada empat perkataan; diperisteri, dipersuami, diperkawani dan diperingati}
{Awalan ‘diper-’ – ialah awalan yang membentuk kata kerja ayat pasif, selain empat perkataan di atas}
Jawapan :  D

5.



I
II
III
IV

Adik terlalu sayangkan kucing siam itu sehingga dibawanya tidur bersama-sama.   
Adik terlalu sayang akan kucing siam itu sehingga dibawanya tidur bersama-sama.  
Emak marahkan adik kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh cikgunya.    
Emak marah akan adik kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh cikgunya.    



A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan IV                                 D         III dan IV


{Kata yang ada unsur emosi/perasaan tidak boleh disisipkan imbuhan akhiran “-kan”, sepatutnya akan}
Jawapan :  C

6


I
II
III
IV
Sesetengah murid tidak tahu membahagi-bahagikan masa dengan baik. 
Setengah murid tidak tahu membahagi-bahagikan masa dengan baik. 
Afizah menunggu kawannya di Stesen Bas Tapah selama dua setengah jam.   
Afizah menunggu kawannya di Stesen Bas Tapah selama dua jam setengah.   


A         I dan II                                   B          I dan IV
C         II dan III                                 D         III dan IV

{Setengah membawa maksud satu perdua, sesetengah pula membawa maksud sebahagian daripada}
{Dua setengah jam merujuk kepada bilangan jam, dua jam setengah merujuk kepada waktu, 2 jam 30 minit}
Jawapan :  B

7.



I
II
III
IV

Lain-lain perkara turut dibincangkan dalam mesyuarat bulanan PIBG kali ini.       
Perkara-perkara lain turut dibincangkan dalam mesyuarat bulanan PIBG kali ini. 
Lain-lain hal yang menyentuh agama, ras, dan budaya tidak perlu diperdebatkan.    
Hal-hal lain yang menyentuh agama, ras, dan budaya tidak perlu diperdebatkan.


A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan III                                 D         II dan IV


{Lain-lain membawa maksud banyak yang lain, perkara-perkara pula membawa maksud banyak perkara}
{Lain-lain membawa maksud banyak yang lain, hal-hal pula membawa maksud banyak hal}


8.


I

II

III
IV
Satu rampasan terbesar mercun telah dilakukan oleh pasukan kastam Kelantan pagi tadi.  
Satu rampasan mercun terbesar telah dilakukan oleh pasukan kastam Kelantan pagi tadi.  
Merujuk perkara di atas, bersama-sama ini dikepilkan sesalinan sijil kelahiran. 
Merujuk kepada perkara di atas, bersama-sama ini dikepilkan sesalinan sijil kelahiran.    


A         I dan II                                 B          I dan III
C        II dan III                                 D         II dan IV

{Mercun terbesar merujuk kepada mercun yang besar, rampasan terbesar merujuk kepada banyak rampasan}
{Perkataan ‘merujuk’ dalam ayat membawa maksud kepada secara tersirat, tidak perlu merujuk kepada}

9.


I
II
III
IV
Encik Ali menunggu anaknya di stesen bas sejak pukul 10.00 pagi.
Encik Ali menunggu anaknya di stesen bas sejak dari pukul 10.00 pagi.
“Semenjak dari hari itu, dia tidak pernah lagi datang ke sini,” kata Haikal kepada Alif.
“Semenjak hari itu, dia tidak pernah lagi datang ke sini,” kata Haikal kepada Alif.


A         I dan II                                   B          I dan IV
C         II dan IV                                 D         III dan IV

{Gugurkan perkataan ‘dari’ kerana kedua-duanya ‘sejak’ dan ‘dari’ adalah kata sendi yang sama maksud}
{Gugurkan perkataan ‘dari’ kerana perkataan ‘semenjak’ dan ‘dari’ adalah kata sendi yang sama maksud}

10

I

II
III
IV
Para pekerja sedang memperlebarkan jalan utama dari Tapah menuju ke Tanjung Malim.
Datin Maria bercadang memperluaskan perniagaannya ke Sabah dan Sarawak.
Datin Maria bercadang memperluas perniagaannya ke Sabah dan Sarawak.
Para pekerja sedang memperlebar jalan utama dari Tapah menuju ke Tanjung Malim.


A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan III                                 D         III dan IV

{Apitan “memper ... kan” menerima kata nama dan kata kerja, awalan “memper-“ menerima kata adjektif}