Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan
pendapat anda tentang faedah-faedah amalan kitar semula. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250
patah perkataan.
Sumber pendapatan sampingan
|
FAEDAH-FAEDAH
KITAR SEMULA
|
Rakyat lebih prihatin dan bertanggungjawab
|
Bahan buangan boleh digunakan semula
|
Melestarikan alam sekitar
|
Sejak kebelakangan ini kempen kitar
semula begitu giat dilaksanakan oleh kerajaan. Banyak usaha untuk menyedarkan
rakyat tentang kepentingan kempen ini giat dijalankan. Kitar semula ialah suatu
kaedah memproses semula bahan-bahan tertentu untuk digunakan sebagai bahan
hasilan yang lain. Hal ini membayangkan kepada kita bahawa satu anjakan
paradigma perlu dilakukan demi menjayakan hasrat murni kerajaan. Rakyat
Malaysia perlu sepakat kerana muafakat itu berkat dan pelbagai maslahat yang diperoleh daripada kempen
kitar semula.
Amalan kitar semula memberi
keuntungan kepada rakyat sekiranya dilakukan secara kolektif. Bahan-bahan
buangan akan dikumpulkan di pusat pengumpulan sebelum dihantar ke kilang-kilang
untuk diproses semula. Kilang-kilang akan mengeluarkan semula bahan-bahan yang
dihasilkan seperti kertas tisu, tin-tin dan sebagainya. Melalui penghasilan
bahan ini, kos pengeluaran dapat dijimatkan. Bahan-bahan itu pula akan dijual
dengan harga yang lebih rendah. Manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna kerana
pengguna tidaklah dibebani dengan harga yang tinggi untuk membeli barangan yang
dihasilkan daripada bahan yang dikitar semula. Dalam hal ini, kita boleh
menabung hasil daripada pendapatan kita. Walaupun jumlahnya mungkin tidak
banyak, tetapi dalam jangka masa panjang boleh menjadi banyak kerana sedikit-sedikit,
lama-lama jadi bukit.
Kitar semula juga merupakan suatu
cara untuk mendidik rakyat agar bijak membuang sampah. Melalui program ini juga
rakyat akan lebih prihatin dan bertanggungjawab. Hal ini menyebabkan negara
kita lebih bersih, indah dan dapat menarik pelancong-pelancong untuk
berkunjung ke negara ini. Selain itu, bahan-bahan yang dibuang di merata-rata
tempat akan mencemarkan alam sekitar. Melalui longgokan sampah dan bekas
takungan seperti tin, tayar buruk dan sebagainya akan mengundang penyakit taun,
malaria dan demam denggi. Amalan kitar semula dapat menghindarkan penyakit-penyakit
tersebut kerana tempat pembuangan sampah yang terurus berjaya mengelakkan
penularan wabak ini. Hal ini juga bertepatan dengan lidah pendeta mencegah
lebih baik daripada mengubati, sekali gus menjamin kehidupan yang selesa
dan sejahtera kerana persekitaran yang bersih.
Perkara yang menarik tentang kempen
kitar semula ialah usaha ini dapat memberikan pendapatan tambahan kepada para
pengguna. Mereka yang pandai merebut peluang boleh menjadikan usaha ini sebagai
kerja tambahan untuk menambah pendapatan. Bahan-bahan buangan yang boleh
dikitar semula akan dibeli oleh pusat pengumpulan bahan buangan. Ringkasnya,
kita memperoleh bahan-bahan ini secara percuma tetapi hanya memerlukan sedikit
usaha dan kerajinan seperti kata pepatah, usaha itu tangga kejayaan. Program
serampang dua mata ini jelas
mendatangkan impak positif kepada rakyat kerana bukan sahaja berupaya
menambahkan pendapatan isi rumah, tetapi juga kepada kewujudan industri
hiliran yang berkaitan dengan bahan buangan. Implikasinya, pendapatan
rakyat dan negara akan meningkat.
Kesimpulannya, kempen kitar semula
ialah suatu usaha yang sangat berfaedah kepada negara dan rakyat. Banyak pihak
yang mendapat manfaat daripada usaha ini. Kempen ini seharusnya diteruskan agar
lebih ramai rakyat tampil untuk menyahut seruan ini dan mengamalkan program
kitar semula. Kita sepatutnya menjadikan program ini amalan dalam kehidupan
kita kerana Islam sendiri mengingatkan kita bahawa kebersihan itu sebahagian
daripada iman. Hal ini selaras dengan impian Perdana Menteri yang mahu
melahirkan rakyat yang mempunyai minda kelas pertama.
CATATAN
:
* Perkataan atau rangkai kata berhuruf tebal (bold) menunjukkan pelajar mempunyai
kemahiran berbahasa dan membuktikan penggunaan kosa kata luas di samping
penggunaan ungkapan menarik yang sesuai dengan isu yang dibincangkan.
* Ungkapan menarik : peribahasa, pantun, cogan kata, frasa menarik, petikan
ucapan, kata-kata hikmat, petikan hadis, maksud ayat Al-Quran dan lain-lain.
2 comments:
Wahh..��
Terbaikkkkkk......(BBB7)
Post a Comment