20/02/2019

BACAAN LUAS : KOPERASI SEKOLAH MENCANAI BAKAT MURID


Mengasah bakat usahawan muda melalui koperasi sekolah
Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
“PENUBUHAN koperasi sekolah bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting memberi pendedahan dan pengetahuan asas pengurusan perniagaan kepada pelajar. Ia juga bertujuan memupuk minat dan menggembleng semangat keusahawanan seperti pengendalian operasi niaga harian, mengemas kini buku kira-kira, merancang aliran wang tunai dan sebagainya yang berkaitan perniagaan."
Sejarah koperasi sekolah bermula pada 1968 apabila sembilan buah sekolah dijadikan projek rintis. Ia berkembang pesat dan kini jumlahnya meningkat kepada 2,244 buah. Keahliannya berjumlah 2.1 juta orang pelajar dan berjaya mengumpulkan perolehan tahunan sebanyak RM285.2 juta. Dalam masa sama koperasi di negara kita berjumlah 10,200 buah dengan keahlian seramai kira-kira 8 juta orang. Jumlah aset yang terkumpul ialah RM100.4 bilion dan perolehan RM31.09 bilion setahun. Sektor koperasi turut menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) sebanyak 5% dan dijangka meningkat kepada 10% menjelang tahun 2020.
Sesungguhnya negara kita mempunyai gerakan koperasi sekolah yang tersusun dan diiktiraf di peringkat dunia dan sering dijadikan model rujukan. Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) telah mengiktiraf gerakan koperasi sekolah kita antara yang terbaik di dunia. Bagaimanakah peranan koperasi sekolah dalam usaha mengasah bakat usahawan dalam kalangan pelajar?
Koperasi sekolah ditubuhkan dalam lingkungan sekolah dan keahliannya terbuka kepada semua pelajar. Jawatankuasa pengurusan dipengerusikan oleh pengetua serta ahli-ahlinya terdiri daripada guru dan pelajar. Kebiasaannya pihak sekolah menyediakan bilik untuk dijadikan sebagai kedai koperasi bagi menjual pelbagai jenis peralatan kegunaan pelajar dan guru seperti alat tulis, buku, kelengkapan sekolah dan keperluan pelajar yang tinggal di asrama. Hasil kejayaannya dapat disaksikan apabila beberapa sekolah mampu menjadikan kedai koperasi mereka sama seperti sebuah mini pasar raya.
Banyak pengalaman boleh diraih oleh pelajar ketika menguruskan perniagaan di kedai koperasi. Bermula dengan menyusun atur premis, pemilihan bahan yang diperniagakan hinggalah kepada kaedah pemasaran yang digunakan. Sementara itu mereka turut mempelajari bagaimana menyediakan dokumen urus niaga seperti rekod simpanan stok dan penyata aliran wang tunai.
Dalam masa sama, Undang-Undang Kecil Koperasi mensyaratkan koperasi mengadakan mesyuarat agung tahunan. Pelajar akan mendapat pengalaman menganjur dan mengendalikan mesyuarat tersebut. Mereka dibimbing bagi menyediakan laporan tahunan dan penyata imbangan kewangan termasuk menetapkan kadar dividen kepada pemegang sahamnya. Amalan demokrasi turut dipraktikkan dengan pemilihan ahli jawatankuasa setiap kali mesyuarat agung diadakan.
Koperasi sekolah turut menerapkan nilai murni dalam kalangan ahlinya seperti mengutamakan sifat amanah dan berjimat cermat. Mereka digalakkan menabung dan sedia melabur dalam perniagaan yang dijangka membawa keuntungan. Koperasi turut menggalakkan ahlinya merancang perbelanjaan dan berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
Kementerian Pendidikan mengiktiraf kepentingan gerakan koperasi sekolah kerana peranannya berhubung kait dengan usaha merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Galakkan penubuhan koperasi amat jelas terkandung dalam surat Pekeliling Ikhtisas KP 8591 - Jld II(222) bertarikh 8 Mei 1976 dan KP(BS) 8586/303/(57) bertarikh 20 April 1989.
Bagi menyemarakkan aktiviti koperasi, Kementerian Pendidikan bekerjasama erat dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Antaranya memberi kefahaman dan pengetahuan mengenai falsafah dan peranan koperasi melalui seminar, kursus dan bengkel serta bimbingan terhadap aktiviti koperasi.
ANGKASA melalui Bahagian 4P (Pendidikan, Penerbitan, Perkhidmatan dan Penyelidikan) mempunyai hubungan terus dengan koperasi sekolah. Kini produk baru yang mendapat sambutan ialah program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS). Aktivitinya berbentuk perkhidmatan melalui penyediaan program lawatan, pengangkutan dan penginapan. Difahamkan beberapa buah koperasi telah meraih keuntungan lumayan melalui program ini.
Sebagai pengiktirafan dan kemuncak aktiviti maka Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan diadakan setiap tahun. Pada tahun ini Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar menjadi tuan rumah. Pada hari tersebut koperasi sekolah yang cemerlang akan mempamerkan kejayaan mereka. Turut dijadikan ‘show case’ ialah produk koperasi yang berjaya mencapai perolehan tahunan tertinggi atau mencecah RM 1 juta.
Usaha meningkatkan prestasi koperasi sekolah perlu dilakukan secara berterusan kerana ia boleh memberi impak besar terhadap usaha melahirkan bakal usahawan. Dalam hal ini peranan pengetua sekolah sangat penting. Sebagai pemimpin tertinggi dalam organisasi sekolah mereka sewajarnya mampu memberikan ‘sentuhan emas’ terhadap kejayaan koperasi mereka.
Peranan guru penasihat koperasi tidak kurang pentingnya. Mereka seharusnya mempunyai wawasan dan siap sedia membimbing pelajar selaras dengan falsafah dan prinsip koperasi. Sebagai cadangan untuk mengurangkan bebanan tanggung jawab maka guru penasihat semasa bertugas di koperasi hendaklah diambil kira dan dimasukkan dalam jadual waktu pengajaran mereka.
Sebagai petugas tetap di kedai koperasi maka pelajar yang terpilih perlu dari kalangan mereka yang berminat dan mempunyai bakat usahawan. Mereka juga hendaklah terdiri daripada orang yang bersifat amanah, bersedia untuk dibimbing dan sanggup meluangkan masa bertugas di kedai tersebut. Ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menggalakkan anak mereka bergiat aktif di kedai koperasi. Galakkan anak-anak membeli saham koperasi. Bagi mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan boleh berkongsi pengalaman tentang selok belok bidang itu bersama guru dan pelajar.
Justeru, semua pihak perlu memberi kerjasama, sokongan dan memastikan agar koperasi sekolah terus berkembang maju. Melaluinya kita menaruh harapan tinggi bahawa koperasi sekolah mampu melahirkan ramai usahawan khususnya apabila pelajar meninggalkan bangku sekolah nanti.

16/02/2019

Bola Baling MSSD Batang Padang & Muallim 2019

Gambar-gambar Kejohanan Bola Baling MSSD Batang Padang & Muallim 2019
 
 
 
 
 



Gambar yang lain : 
link url : http://gg.gg/BB_MSSD_BPM_2019  

14/02/2019

Pidato 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya'


Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.

Bismillahirrahmanirrahim
Seawal Nabi Adam A.S dicipta, saat itulah penerokaan ilmu  bermula. Dengan membaca segala petanda kebesaran Yang Maha Esa, maka terbinalah ketamadunan bangsa yang berjaya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang  bervisi, kombinasi kehakiman yang berintegriti,  penjaga masa yang setia dengan detik waktu di sisi, seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.

Hadirin sekalian,
Sebagai anak muda yang memiliki visi futuris, saya menyahut lamaran berpidato pada hari ini dengan mengusulkan mauduk, ‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’. Sebelum melewati lebih jauh tutur bicara ini, saya definisikan frasa, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’ bermaksud, individu daripada sesuatu bangsa yang membaca membawa citra kejayaan bangsanya, dan individu tersebut berjaya memberi impak yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat dan nusa tercinta. Hal ini bertepatan dengan definisi membaca oleh Smith dan Johnson (1980:4) menganggap proses membaca sebagai satu proses komunikasi kerana dalam sesebuah perlakuan membaca, berlaku pertukaran idea-idea antara penulis dan pembaca. Dengan kata lain, pertukaran ini membolehkan pembaca mengutip segala input bacaannya untuk melakukan sebarang perubahan dalam kehidupan. Justeru, saya mengajak rakan-rakan dan sidang pendengar sekalian untuk menghayati wacana ini agar kita menjadi sebahagian bangsa yang berjaya dan cemerlang.
Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Hal ini demikian kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Hadirin sekalian,
Hijab pidato ini saya buka menerusi indikator pertama amalan membaca melahirkan bangsa berilmu. Bangsa yang berilmu pastinya membibitkan bangsa yang berjaya. Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru. Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.

Rakan-rakan pelajar yang dikasihi,
Indikator saya yang kedua ialah amalan membaca melestarikan bangsa berilmu yang maju. Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Oleh sebab itu, amat wajarlah negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti kata lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara. Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekali gus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu pada 6 dan 9 Ogos 1945. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya dari kehancuran. Tidak cukupkah semua ini sebagai bukti bahawa bangsa yang membaca akan lahir sebagai bangsa yang berjaya?

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah budaya membaca mendaulatkan bangsa menjadi peneroka pelbagai bidang. Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru, di Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana-mana mereka berada. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, daripada 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun seperti Yomiuri Shimbun, The Asahi Shimbun dan Mainchi Shimbun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari.

Indikator saya yang keempat ialah amalan membaca mendaulatkan bangsa. Perang Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa amalan membaca telah berjaya mengangkat martabat bangsa. Hal tersebut  berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh Richard The Lion Heart telah memperoleh inspirasi budaya ilmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab ilmu telah dibawa balik dan diterjemah ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah suatu lagi tamadun yang terbina atas amalan membaca. Begitu juga dengan rakyat Malaysia,  pada era penjajahan dianggap sebagai bangsa bodoh yang boleh dijajah. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa Malaysia mula celik ilmu untuk berjuang memerdekakan negara. Hasil kesedaran terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kita telah berjaya mencapai kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Kini, setelah hampir 60 tahun kemerdekaan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah Negara Dunia Ketiga yang cukup pantas  berkembang dan disegani di mata dunia. Demikianlah suatu dimensi  baru dalam budaya membaca untuk meletakkan kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Jelaslah  bahawa, sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang berjaya mengangkat maruah bangsa ialah bangsa yang suka membaca.

Hadirin sekalian,
        Beralih kita kepada hujah saya yang terakhir di bawah lembayung kata bangsa membaca, teknologi terkuasa. Berbalik kepada era moden, amalan membaca telah menjadi penanda aras utama kepada  pencapaian luar biasa beberapa negara kuasa ekonomi dunia khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Kuasa ilmu telah mengangkat negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan untuk terus  bersaing dalam pasaran teknologi moden. Jepun amat dikenali dengan kekuatan membaca rakyatnya yang memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika Syarikat. Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku setahun. Sebut sahaja Toyota, Mazda, Mitshubitshi dan Honda membuktikan  bahawa teknologi automobil Jepun terhasil daripada sikap bangsanya yang suka membaca. Manakala dalam persaingan teknologi telefon  pintar, jika rakyat Amerika berbangga dengan jenama Apple, rakyat Korea selatan pula mampu berbangga dengan penghasilan telefon  pintar Samsung yang telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah  petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana amalan membaca, teknologi terkuasa, bangsa berjaya.

Hadirin yang bervisi,
        Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi, ingin saya simpulkan pidato saya bahawa asas untuk membawa sebuah negara dan bangsa ke hadapan ialah rakyatnya perlu membudayakan amalan membaca. Sebagai bangsa yang masih  baharu, rakyat Malaysia masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau amalan membaca terus diperkasakan, insha-Allah kita juga akan menjadi bangsa yang berjaya.

Sekian terima kasih, srikandi bestari mohon permisi.



********
Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah ‘Sukan Mengukuhkan Perpaduan’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.





13/02/2019

Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya


Sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Malah bangsa yang gagal memilikinya akan bergantung kepada bangsa lain yang lebih berilmu. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran. Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan kejahilan.

Budaya membaca membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi yang lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding dengan orang yang kurang membaca. Menurut Kenedy (1981) membaca adalah ‘keupayaan seseorang untuk menggarap bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan) yang menghubungkan bentuk intu, atau bunyi makna yang telah diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsir maksud’.

Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru.

Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.

Semua pemimpin negara juga menggalakkan masyarakatnya membaca supaya mereka tidak akan ketinggalan dalam menerima kecanggihan dan kemodenan dunia. Bagi masyarakat Jepun, membaca sudah menjadi tabiat dan amalan mereka kerana daripada budaya membaca mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan juga bersaing dengan dunia luar.

Walau bagaimanapun, masyarakat yang menerima perubahan teknologi yang moden dan canggih hari ini telah menjadikan amalan membaca bahan-bahan yang tidak sepatutnya. Budaya ini telah menyebabkan masyarakat terutama golongan remaja menjadi rendah akhlak dan cetek ilmu pengetahuan. Jenis bahan bacaan yang boleh dikategorikan sebagai ‘lucah’ atau tidak sopan ialah yang mengeksploitasikan seks sebagai bahan utama. Bagi sesetengah bahan bacaan ini, memaparkan gambar wanita mendedahkan tubuh badan dan aksi menggoda untuk dijadikan sebagai pelaris jualan. Disebabkan remaja sering disogokkan dengan bahan sedemikian, golongan tersebut mudah terpengaruh sehingga menjadi seronok dan ketagih. Ini akan menyebabkan golongan ini tidak dapat berfikir secara matang dan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Kerana itu, amat wajar bila negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.

Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekaligus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya dari kehancuran.

Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Dan kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru itu juga di Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana mereka berada.

Lantaran suka membaca juga, media cetak di sana tumbuh begitu pesat. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, dari 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari. Kedua, akhbar The Asahi Shimbun dengan jumlah pengedaran 12 juta naskhah sehari. Ketiga, akhbar Mainchi Shimbun dengan jumlah pengedaran 5.5 juta naskhah sehari. Keempat, akhbar Nihon Keizai Shimbun dengan jumlah pengedaran 4.6 juta naskhah sehari dan kelima, akhbar Chunichi Shimbun dengan 4.5 juta naskhah sehari.

Di samping itu, umumnya akhbar di Jepun terbit dua kali sehari, pagi dan petang. Jika dikira, dalam sehari, satu orang di Jepun membaca empat akhbar yang berbeza. Bayangkan! Betapa tingginya daya baca orang-orang Jepun. Manakala Singapura yang saiz negaranya jauh lebih kecil dari Malaysia juga memiliki semangat yang sama dengan Jepun. Perekonomian, pendidikan, mahupun budaya membaca masyarakatnya melebihi negara-negara di Asia Tenggara. Dengan jumlah penduduk sekitar 4.5 juta, terdapat tujuh suratkhabar dengan jumlah pengedaran mencapai 1 juta naskhah per hari.

Kendatipun begitu, di negara kita, pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan masyarakat. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan masyarakat yang suka membaca. Untuk membudayakan amalan membaca, semua pihak termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian. Serapkanlah budaya membaca masyarakat Jepun dan Eropah ke dalam masyarakat kita agar kita mampu menjadi bangsa yang berjaya.

Konklusinya, ‘bangsa membaca bangsa berjaya’ adalah sebuah frasa yang jitu. Hakikatnya, pembentukan bangsa yang hebat bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda cemerlang yang lahir dari budaya membaca. Dalam Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi meriwayatkan, ‘Imam Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang kelebihan ilmu dan beliau menjawab, ‘Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (iaitu ayat 19 surah Muhammad) yang bermula dengan; ‘Ketahuilah, sekali gus menunjukkan Allah mahu kita menguasai ilmu terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah s.w.t gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20, dan surah al-Anfal ayat 28 dan 41.’ Justeru, membaca yang mampu melahirkan minda cemerlang merupakan pintu gerbang kepada segala kehebatan dan kejayaan.

sumber :

02/02/2019

BACAAN LUAS : Bebas daripada Penyakit Kardiovaskular


Dr Zawiah Hashim dan Dr Chin Yit Siew
Persatuan Kajian Obesiti Malaysia
Penyakit jantung dan strok menyumbang kepada satu perempat daripada jumlah kematian di Malaysia dan semakin ramai golongan muda mengalaminya (Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III).
Penyakit jantung atau lebih khusus, penyakit kardiovaskular merangkumi penyakit seperti angina, serangan jantung dan strok. Ini berpunca daripada lemak yang terkumpul (atau plak) di dalam arteri dalam jangka masa lama, proses ini dikenali sebagai aterosklerosis.
Apabila arteri menjadi terlalu sempit, sel darah merah yang kaya dengan oksigen tidak cukup untuk sampai ke jantung dan otot lalu menyebabkan sakit dada teramat sangat - ini dikenali sebagai angina.




Sebaliknya, jika sebahagian daripada plak pecah, platelet berkumpul di kawasan yang cedera dan membentuk darah beku. Akhirnya, darah beku menghalang aliran darah ke jantung dan menyebabkan serangan jantung. Darah beku yang menghalang aliran darah ke otak pula dipanggil strok.
5 FAKTOR RISIKO PENYAKIT KARDIOVASULAR BERPOTENSI MEMBAWA MAUT
1. Berlebihan berat badan atau obesiti
Risiko kegagalan jantung ialah 34 peratus lebih tinggi bagi individu lebih berat badan dan 104 peratus lebih tinggi bagi mereka yang obes. Mereka yang lebih berat badan atau obes lebih cenderung kepada risiko penyakit kardiovaskular yang lain seperti paras kolesterol dan trigliserida darah yang tinggi, tekanan darah tinggi serta diabetes.
2.Tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi meningkatkan beban ke atas jantung dan salur darah. Lama-kelamaan tekanan darah tinggi akan merosakkan dinding arteri. Plak mula terbentuk di kawasan yang rosak, arteri menjadi semakin sempit, tekanan darah semakin meningkat dan apabila plak pecah, darah beku terbentuk serta menghalang aliran darah.
3. Paras kolesterol darah tinggi
LDL (lipid ketumpatan rendah) atau kolesterol ‘jahat’ ialah sumber utama plak yang menyumbat arteri. HDL (lipid ketumpatan tinggi), sebaliknya membantu mencegah penyakit kardiovaskular dan faktor risiko berkaitan. Tabiat makan yang tidak sihat, lebih berat badan atau obes dan gaya hidup tidak aktif ialah faktor utama menyumbang kepada paras kolesterol tinggi. Makan terlalu banyak makanan yang mengandungi kolesterol atau lemak tepu adalah tidak baik. Semua jenis makanan jika diambil berlebihan tidak baik; diet yang sihat untuk jantung (dan tubuh) perlu seimbang dan kaya dengan pelbagai khasiat.
4. Paras glukosa darah yang tinggi
Orang dewasa yang menghidap diabetes mempunyai risiko dua hingga empat kali lebih tinggi terhadap kematian berpunca daripada penyakit jantung berbanding mereka yang tidak mengalami diabetes. Paras glukosa rendah dan paras glukosa sewaktu berpuasa yang terganggu meningkatkan risiko strok dan penyakit kardiovaskular.
Di samping itu, kerintangan insulin berkait rapat dengan obesiti dan orang menghidap diabetes sering menghidap tekanan darah tinggi dan merekodkan paras kolesterol yang tidak sihat. Gabungan faktor risiko terbabit meningkatkan keberangkalian penyakit kardiovaskular dalam kalangan penghidap diabetes.
5. Merokok
Merokok, seperti tekanan darah tinggi, juga merosakkan dinding arteri anda yang membawa kepada pembentukan plak. Bahan kimia di dalam setiap batang rokok juga menyebabkan darah
menjadi pekat dan membentuk darah beku di dalam arteri anda serta menjurus kepada penyakit kardiovaskular. Merokok sekotak rokok sehari boleh menggandakan risiko penyakit jantung.
7 TIP UNTUK MEMELIHARA JANTUNG SIHAT
Tabiat makan yang tidak sihat (diet yang tinggi lemak tepu/trans dan kurang serat, pengambilan garam berlebihan) berserta kurang melakukan aktiviti fizikal secara berkala akan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Berazamlah untuk mencapai gaya hidup yang sihat untuk mencegah penyakit kardiovaskular.
1. Ikuti panduan Seimbang, Kesederhanaan, dan Kepelbagaian
Makan semua makanan daripada pelbagai kumpulan di dalam piramid makanan dalam saiz sajian sederhana dan pilih pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan. Hadkan makanan bergula, berminyak dan bergaram yang boleh memburukkan faktor risiko penyakit kardiovaskular.
2. Makan lebih banyak serat
Serat membantu mengawal paras kolesterol dan glukosa dalam darah, mengekalkan berat badan sihat dan mengurangkan risiko penyakit kardiovasular contohnya obesiti. Untuk mendapatkan serat, tambah legum, bijirin penuh, buah dan sayur ke dalam diet harian anda. Produk makanan bijirin penuh seperti beras perang, oat dan roti bijirin penuh ialah sumber baik bagi serat.
Makanan terbabit juga mengandungi vitamin dan mineral lain. Oat khususnya, mengandungi serat larut yang likat dikenali sebagai beta-glukan. Ia membantu mengurangkan jumlah kolesterol ketumpatan rendah (LDL) di dalam darah anda.
3. Aktif bergerak
Aktiviti fizikal terutama senaman aerobik, membantu menguatkan otot jantung, mengurangkan stres, memperbaiki metabolisme dan meningkatkan paras kolesterol HDL. Panduan Diet Malaysia menyarankan 30 minit senaman berintensiti sederhana, lima hingga enam kali setiap minggu diikuti bergiat aktif sepanjang hari dengan membuat pilihan yang lebih aktif contohnya, menggunakan tangga berbanding lif, berjalan pergi dan balik daripada makan tengah hari atau kedai berhampiran berbanding menaiki kereta.
4. Kekalkan berat badan sihat
Mengekalkan berat badan yang sihat atau mengurangkan lebih berat badan boleh menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan faktor risikonya (contohnya paras kolesterol dan tekanan darah) dengan ketara. Berazam untuk capai Indeks Jisim Tubuh (IJT) di antara 18.5-24.9. Ukuran lilitan pinggang 90 sentimeter (35 inci) atau lebih bagi lelaki atau 80 sentimeter (32 inci) atau lebih bagi wanita, dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti diabetes jenis dua, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
5. Lakukan saringan secara berkala
Jadualkan pemeriksaan tahunan bagi tekanan darah, paras kolesterol dan glukosa anda. Penyakit kardiovaskular boleh wujud tanpa sebarang simptom atau simptomnya tidak begitu jelas kelihatan. Oleh itu, mengetahui sama ada anda berisiko terhadap penyakit kardiovasular melalui saringan boleh membantu doktor menasihati anda mengenai kaedah rawatan sesuai.
6. Kurangkan stres dan rehat secukupnya
Stres sebenarnya boleh meningkatkan tekanan darah, begitu juga jika tidak cukup tidur. Cuba dapatkan lapan jam tidur yang berkualiti, belajar untuk menenangkan tubuh, minda dan jiwa anda dari semasa ke semasa.
7. Berhenti merokok
Sesiapa yang merokok satu kotak rokok sehari menggandakan risiko serangan jantung berbanding mereka tidak merokok. Perokok yang berhenti merokok mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan serta-merta!
Anda boleh mencegah dan mengawal banyak faktor risiko penyakit kardiovaskular melalui perubahan gaya hidup yang sihat lantas menikmati kehidupan lebih gembira bersama orang disayangi. Perubahan terbabit bukan saja melindungi jantung anda tetapi juga meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.
Apabila jantung anda sihat, begitu juga anda. Bertindaklah sekarang dan pilih untuk hidup bebas daripada penyakit jantung kardiovaskular.
Dr Zawiah Hashim & Dr Chin Yit Siew ialah ahli Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO). Artikel ini disumbangkan oleh Bulan Pemakanan Malaysia 2017, inisiatif pendidikan pemakanan komuniti tahunan anjuran Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietetik Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia. Program ini disokong oleh geran pendidikan daripada Pepsico (Quaker Malaysia).
Untuk maklumat lanjut mengenai makan cara sihat dan gaya hidup aktif, layari www.nutritionmonthmalaysia.org.my atau halaman Facebook Nutrition Month Malaysia.

sumber : https://www.hmetro.com.my/node/223989 

Kesalahan-kesalahan Bahasa yang Lazim


Kesalahan-kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh murid dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.

Bentuk Kesalahan
Salah
Betul






1. Kesalahan ejaan
Mengalakkan
Menggalakkan
Menyakinkan
Meyakinkan
Mengkagumkan
Mengagumkan
Mengenegahkan
Mengetengahkan
Mengenepikan
Mengetepikan
Makhamah
Mahkamah
Kebaikkan
Kebaikan
Kebanyakkan
Kebanyakan
Kenaikkan
Kenaikan
Was-was
waswas
Di tubuhkan
Ditubuhkan
Disana
Di sana
Aturcara
Atur cara
Khenduri
Kenduri
Ko-kurikulum
Kokurikulum
Kadang kala
Kadangkala
Barang kali
Barangkali
Beristirehat
Beristirahat
Rumahtangga
Rumah tangga
Resepi
Resipi
Tanggung jawab
Tanggungjawab
2. Kesalahan penggunaan kata ialah dan adalah
a. Cara belajar yang bijak ialah dengan membina jadual.

b. Impian saya adalah ingin menjadi pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum.
a. Cara belajar yang bijak adalah dengan membina jadual.

b. Impian saya ialah ingin menjadi pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum.
3. Kesalahan penggunaan kata ianya
Tempat ini menjadi pilihan saya kerana ianya memiliki keistimewaan yang tersendiri.
a. Tempat ini menjadi pilihan saya kerana tanah tinggi ini memiliki keistimewaan yang tersendiri.

b. Tempat ini menjadi pilihan saya kerana kawasan ini memiliki keistimewaan yang tersendiri.

c. Tempat ini menjadi pilihan saya kerana tempat ini memiliki keistimewaan yang tersendiri.
4. Kesalahan penggunaan kata hubung
Salah satu faktor yang menjadikan negara kita tumpuan pelancong asing ialah kerana negara kita memiliki tempat-tempat pelancongan yang menarik.
Salah satu faktor yang menjadikan negara kita tumpuan pelancong asing ialah negara kita memiliki tempat-tempat pelancongan yang menarik.


5. Kesalahan penggunaan penanda wacana
Hal ini kerana
Hal ini demikian kerana
Justeru itu
Oleh itu
Oleh kerana itu
Oleh sebab itu/oleh itu
Sehubungan itu
Sehubungan dengan itu
Selain daripada itu
Selain itu
Selain dari itu
Selain itu


6. Kesalahan frasa nama
Mini bas
Bas mini
Goreng pisang
Pisang goreng
Tempat meletak kereta
Tempat letak kereta
Seni mempertahankan diri
Seni pertahanan diri
Pusat membeli-belah
Pusat beli-belah
Tapak membuang sampah
Tapak pembuangan sampah








7. Kesalahan frasa kerja
Saya perlu melibatkan dalam aktiviti-aktiviti yang mencabar.
Saya perlu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mencabar.
Ibu bapa dapat mengikat kembali ikatan kekeluargaan agar anak-anak tidak berasa tersisih.
Ibu bapa dapat mengikat ikatan kekeluargaan kembali agar anak-anak tidak berasa tersisih.
Gejala buli menambahkan lagi masalah sedia ada yang sedang dihadapi negara.
Gejala bumi menambahkan masalah sedia ada lagi yang sedang dihadapi negara.
Badan Pencegah Rasuah menerima banyak aduan tentang amalan rasuah yang melibatkan kakitangan awam.
a. Badan Pencegah Rasuah banyak menerima aduan tentang amalan rasuah yang melibatkan kakitangan awam.

b. Badan Pencegah Rasuah menerima aduan yang banyak tentang amalan rasuah yang melibatkan kakitangan awam.
Pihak persatuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengetua kerana sudi merasmikan majlis ini.
Pihak persatuan merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Pengetua kerana sudi merasmikan majlis ini.
8. Kesalahan frasa adjektif
Tempat itu merupakan tempat yang terindah sekali di negara kita.
a. Tempat itu merupakan tempat yang terindah di negara kita.

b. Tempat itu merupakan tempat yang indah sekali di negara kita.
9. Kesalahan frasa jamak
Antara maklumat-maklumat...
Antara maklumat...
Himpunan kata-kata...
Himpunan kata...
Longgokan kayu-kayu...
Longgokan kayu...
Deretan rumah-rumah...
Deretan rumah...
Kebanyakan barang-barang...
Kebanyakan barang...
Pelbagai kuih-muih...
Pelbagai kuih...
10. Kesalahan penggunaan penjodoh bilangan
Sebuah keluarga
Satu keluarga
Sebuah mimpi
Suatu mimpi
11. Kesalahan kata kerja berapitan diper-...i
Diperolehi
Diperbaiki
Diperkuasai
Diperdalami
Diperakui
Dipersetujui
diperhalusi
Diperoleh
Dibaiki
Dikuasai
Didalami
Diakui atau diperakukan
Disetujui
dihalusi
12. Kesalahan kata kerja berapitan beR-...-an
(jumlah subjek yang banyak)
Lampu-lampu merah bergantungan di dinding.

Bintang-bintang bertaburan di langit.

Daun-daun kering berguguran di halaman rumah.
Lampu merah bergantungan di dinding.

Bintang bertaburan di langit.


Daun kering berguguran di halaman rumah.
13. Kesalahan penggunaan kata kerja berapitan memper-...-i
Memperolehi
Memperbaiki
Memperkuasai
Memperdalami
Memperakui
Mempersetujui
memperhalusi
Memperoleh
Membaiki
Menguasai
Mendalami
Mengakui
Menyetujui
menghalusi
14. Kesalahan bahasa kerana meninggalkan imbuhan
Ibu bapa lebih pentingkan kerjaya...
Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya...
Pelajar yang kerap timbulkan masalah di sekolah...
Pelajar yang kerap menimbulkan masalah di sekolah...
15. Kesalahan penggunaan kata sendi nama
Bersempena dengan kempen ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk melancong dalam negeri sendiri.
Bersempena dengan kempen ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk melancong di dalam negeri sendiri.
Sebab itulah Genting Highlands juga digelar "Taman Tema Sekeluarga".
Oleh sebab itulah Genting Highlands juga digelar "Taman Tema Sekeluarga".
16. Kesalahan penggunaan ungkapan yang mana dan di mana sebagai kata hubung
Saya telah membaca berita di mana kejayaan anda disiarkan.
Saya telah membaca berita yang menyiarkan kejayaan anda.
Kejayaan anda itu yang mana saya akan jadikan pendorong untuk menulis cerpen-cerpen yang lain.
Kejayaan anda itu akan saya jadikan pendorong untuk menulis cerpen-cerpen yang lain.
17. Kesalahan kerana menggunakan ungkapan ini kerana pada permulaan ayat
Ini kerana masalah itu belum dapat diselesaikan lagi.
Hal ini dikatakan demikian kerana masalah itu belum dapat diselesaikan lagi.
18. Kesalahan penggunaan ayat pasif
Rencana-rencana itu saya akan bukukan.

Kisah itu anda telah riwayatkan dengan jelas.

Rumah itu sedang mereka dirikan bersama-sama.
Rencana-rencana itu akan saya bukukan.

Kisah itu telah anda riwayatkan dengan jelas.

Rumah itu sedang didirikan oleh mereka bersama-sama.


Kesimpulannya, selain isi mantap yang terdiri daripada ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas, sesebuah wacana penulisan yang bermutu dan cemerlang perlu mengandungi ciri-ciri pengolahan bahasa yang menarik dan berkesan dengan memasukkan unsur-unsur keindahan, kepelbagaian struktur ayat, slogan, peribahasa, dan sebagainya. Wacana penulisan juga perlu memperlihatkan penggunaan bahasa yang baik dan lancarkosa kata yang luas serta tanda baca yang betul, yakni bebas daripada aspek kesalahan bahasa dalam perenggan yang seimbang dan bersepadu.

Sumber :
Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan (Bahasa), SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.