"Tempat
jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu". Sebagai pelajar
yang telah berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada
sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.
Tulis
teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Yang
saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang
Sarjana, Tuan Haji Ramli Bin Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan
seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
Atas
limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan
kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat
besar ertinya kepada warga SMK Ambang Sarjana. Kita sangat bertuah dan
bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan,
bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.
Hadirin sekalian,
Alir deras jernih di hulu;
Tempat jatuh lagi dikenang,
Inikan tempat menimba ilmu.
Pantun
di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya
untuk SMK Ambang Sarjana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan
saudara saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan
sekali lagi kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Hadirin sekalian,
Sebelum
menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau
semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan
diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung
semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur
dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi.
Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah,
pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada
dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih
rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu,
semua perasaan tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang
cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis
muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa
disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah
yang diraikan oleh pihak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM
yang lalu.
Para pendidik yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah,
tiada kalimah seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan
paling cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga
kejayaan. Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A yang terpampang di hadapan
mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup
dedikasi daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada
dalam tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup
yakin, setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah
sumber yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan
kami kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian.
Rakan-rakan sekalian,
Selama
lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang
menjadi agenda pihak sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut
dirancang. Kita dididik menjadi insan serba boleh dalam bidang kurikulum,
kokurikulum, pemantapan rohani serta bermotivasi. Pelbagai program
kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah
berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Betapa
tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi
menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita
hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni dalam beberapa
pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan.
Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang
seimbang. Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan
kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan kita.
Hadirin sekalian,
Bercakap
bagi pihak diri saya sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum
mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa
dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah
kepada saya. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka
amat penyayang dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit
tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang
Sarjana tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya
mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan
sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa
balik kejayaan yang lebih cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang
terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang melupakan
kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah,
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Diri
kita ibarat setinggi-tinggi terbang bangau hinggap semula di belakang
kerbau. Janganlah terjadi, daun melayang jauh perdu
dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan yang
bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk
kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di
sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita
pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, "tempat
jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu". Selepas
mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk
sekolah yang telah mencipta sejarah cemerlang kita. Ingatlah pesan
peribahasa, daun boleh melayang jauh, tetapi getah tetap
mengalir ke perdu.
Hadirin sekalian,
Berat
hati dan longlai langkah untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan
sejarah yang telah ternukil sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan
kenangan. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap
dikenang bak budi setahun segunung intan. Saya berdoa semoga
Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar
terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak nusa. Izini kami pergi, dengan saya
abadikan serangkap pantun,
Burung terbang melintas sempadan,
Terbang
menuju muara segara;
Biar jauh berbilang lautan,
Sebutir
katamu menjadi mutiara.
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment