CIRI-CIRI SEBUAH PUSAT SUMBER SEKOLAH YANG BAIK
Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Sajak ‘Di Perpustakaan’ oleh Shafie
Abu Bakar’ ini sudah cukup menggambarkan kepada kita tentang maknanya dan
fungsi perpustakaan yang dahulunya dikenali juga sebagai khutubkhanah.
Perpustakaan merupakan sebuah bangunan ataupun bilik yang mengumpulkan
bahan-bahan bacaan sama ada berbentuk fiksyen ataupun ilmiah. Dalam era
globalisasi ini, fungsi perpustakan menjadi lebih vital dan bukan sekadar
gedung buku malah ruang lingkup mengandungi pelbagai kemudahan di satu tempat
yang dikenali sebagai Pusat Sumber Sekolah. Apabila kita bercakap tentang pusat
sumber sekolah, kita perlu fokus kepada pusat sumber yang selesa dan kondusif untuk seluruh warga sekolah.
Janganlah hanya sekadar ada pusat sumber sahaja, tetapi situasinya amat
mengecewakan. Pihak sekolah seyogia berusaha menampilkan pusat sumber yang
benar-benar berfungsi sebagai pusat sumber kerana saya berpendapat hendak seribu daya tak hendak seribu
dalih. Kalau usaha digandakan sudah
pasti sebuah pusat sumber idaman dapat direalisasikan. Saya mahukan
sebuah pusat sumber yang fungsional, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, yang hanya ada label pusat
sumber tetapi kosong tidak berpengunjung. Terdapat banyak ciri pusat sumber
yang baik. Mari kita telusuri bersama-sama akan ciri-ciri pusat sumber yang
baik.
Sebagai pembuka tirai perbincangan, sebuah pusat sumber yang
baik, letaknya wajar di kawasan sekolah
yang benar-benar strategik. Lokasinya
yang strategik dapat menarik kunjungan berkala warga sekolah. Pelajar tidak
akan teruja pergi ke pusat sumber kalau letaknya nun jauh di sudut sepi, di
belakang sekolah, diletakkan pula bersebelahan dengan tempat pelupusan sampah
sekolah atau diletakkan nun jauh di puncak bangunan sekolah di tingkat lima
bangunan sekolah tanpa ‘lift’ atau eskalator, pelajar terpaksa memanjat ratusan
anak tangga untuk sampai ke pusat sumber sekolah. Saya cadangkan pusat sumber
diletakkan di tingkat paling bawah, di bahagian depan bangunan sekolah,
bersebelahan taman, atau pusat rekreasi sekolah. Suasana cukup nyaman dan
indah. Sambil mengulang kaji pelajaran, pelajar boleh menikmati panorama sekolah yang indah
lagi menakjubkan. Yang jelas ciri paling utama sebuah pusat
sumber ialah lokasinya yang strategik yang memukau kehadiran dan kunjungan
pelajar ke pusat sumber sekolah.
Hakikat yang tidak boleh
dikesampingkan ialah kemudahan bahan bacaan yang mencukupi
merupakan ciri unggul sebuah pusat sumber sekolah. Bahan bacaan, bahan rujukan, cd,
rakaman video, akhbar dan majalah mencukupi untuk kemudahan dan keperluan
pengunjung setia pusat sumber sekolah. Perkhidmatan kaunter pinjaman yang
profesional yang terdiri daripada pengawas pusat sumber yang terlatih dan
Guru Pusat Sumber yang berwibawa sentiasa memantau perjalanan dan pengurusan
pusat sumber agar memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan. Semua bahan bacaan
mempunyai kod dan rekod dari segi jumlah dan spesifikasi mata pelajaran. Kalau
untuk Sejarah, Bahasa Melayu, Geografi, ada kodnya yang tersendiri begitulah
untuk buku-buku bagi subjek yang lain. Akhbar dan majalah pula disediakan yang
terkini dan mencukupi untuk tatapan dan bacaan pelajar. Ternyata kemudahan yang mencukupi
merupakan ciri eksklusif pusat sumber yang menggamit kehadiran pelajar
untuk datang dan pergi dan datang kembali ke pusat sumber sekolah.
Tidak dapat saya nafikan pula, ciri pusat sumber yang baik
ialah pusat sumber yang dihebahkan,
dipromosikan, disebarluaskan mempunyai kemudahan asas yang lengkap seperti kemudahan Intenet berkelajuan
jalur lebar, pendingin udara yang sejuk selesa, kipas dan lampu, kerusi meja
yang mencukupi, rak buku yang kemas teratur, jendela yang luas dengan hiasan
langsir yang sederhana indah. Dalam panorama yang unik menarik, pelajar pasti akan menjadikan
pusat sumber sebagai tempat menelaah, menyelidik, membuat ulangkaji atau berdiskusi di ruang legar yang disediakan khusus oleh
pengurusan pusat sumber. Kemudahan menggunakan Internet diberikan mandat
seluas-luasnya kepada semua pengunjung pusat sumber. Pusat sumber jua
memaparkan peraturan dan disiplin pada dinding utama pusat sumber, yang perlu
dipatuhi ketika berada di pusat sumber sekolah. Jadi, saya yakin, kemudahan asas yang
serba-serbinya lengkap menjadi penanda aras
sebuah pusat sumber yang baik.
Kesimpulannya memang sebuah
pusat sumber yang baik menjadi idaman setiap pelajar sekolah. Pelajar menjadi
pengunjung setia pusat sumber sekolah. Saya amat bersyukur kerana pusat sumber
sekolah saya mempunyai ciri-ciri unggul sebuah perpustakaan sekolah, apatah lagi pusat sumber
sekolah saya telah dinobatkan sebagai pusat sumber terbaik peringkat negeri dan
kebangsaan.
2 comments:
Terima kasih atas karangan anda yg bnyk membantu saya menyiapkan kerja saya
Terms kasih,akhirnya saya dapat siapkan kerje sekolah saya
Post a Comment