03/11/2019

CIRI-CIRI PUSAT SUMBER SEKOLAH YANG BAIK

CIRI-CIRI SEBUAH PUSAT SUMBER SEKOLAH YANG BAIK

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini

Sajak ‘Di Perpustakaan’ oleh Shafie Abu Bakar’ ini sudah cukup menggambarkan kepada kita tentang maknanya dan fungsi perpustakaan yang dahulunya dikenali juga sebagai khutubkhanah. Perpustakaan merupakan sebuah bangunan ataupun bilik yang mengumpulkan bahan-bahan bacaan sama ada berbentuk fiksyen ataupun ilmiah. Dalam era globalisasi ini, fungsi perpustakan menjadi lebih vital dan bukan sekadar gedung buku malah ruang lingkup mengandungi pelbagai kemudahan di satu tempat yang dikenali sebagai Pusat Sumber Sekolah. Apabila kita bercakap tentang pusat sumber sekolah, kita perlu fokus kepada pusat sumber yang selesa dan kondusif untuk seluruh warga sekolah. Janganlah hanya sekadar ada pusat sumber sahaja, tetapi situasinya amat mengecewakan. Pihak sekolah seyogia berusaha menampilkan pusat sumber yang benar-benar berfungsi sebagai pusat sumber kerana saya  berpendapat hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Kalau usaha digandakan sudah pasti  sebuah pusat sumber idaman dapat direalisasikan. Saya mahukan sebuah pusat sumber yang fungsional, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, yang hanya ada label pusat sumber tetapi kosong tidak berpengunjung. Terdapat banyak ciri pusat sumber yang baik. Mari kita telusuri bersama-sama akan ciri-ciri pusat sumber yang baik.
Sebagai pembuka tirai perbincangan, sebuah pusat sumber yang baik, letaknya wajar di kawasan sekolah yang benar-benar strategik. Lokasinya yang strategik dapat menarik kunjungan berkala warga sekolah. Pelajar tidak akan teruja pergi ke pusat sumber kalau letaknya nun jauh di sudut sepi, di belakang sekolah, diletakkan pula  bersebelahan dengan tempat pelupusan sampah sekolah atau diletakkan nun jauh di puncak bangunan sekolah di tingkat lima bangunan sekolah tanpa ‘lift’ atau eskalator, pelajar terpaksa memanjat ratusan anak tangga untuk sampai ke pusat sumber sekolah. Saya cadangkan pusat sumber diletakkan di tingkat paling bawah, di bahagian depan bangunan sekolah, bersebelahan taman, atau pusat rekreasi sekolah. Suasana cukup nyaman dan indah. Sambil mengulang kaji pelajaran, pelajar boleh menikmati panorama sekolah yang indah lagi menakjubkan. Yang jelas ciri paling utama sebuah pusat sumber ialah lokasinya yang strategik yang memukau kehadiran dan kunjungan pelajar ke pusat sumber sekolah.
Hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah kemudahan bahan bacaan yang mencukupi merupakan ciri unggul sebuah pusat sumber sekolah. Bahan bacaan, bahan rujukan, cd, rakaman video, akhbar dan majalah mencukupi untuk kemudahan dan keperluan pengunjung setia pusat sumber sekolah. Perkhidmatan kaunter pinjaman yang profesional yang terdiri daripada pengawas pusat sumber yang terlatih dan Guru Pusat Sumber yang berwibawa sentiasa memantau perjalanan dan pengurusan pusat sumber agar memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan. Semua bahan bacaan mempunyai kod dan rekod dari segi jumlah dan spesifikasi mata pelajaran. Kalau untuk Sejarah, Bahasa Melayu, Geografi, ada kodnya yang tersendiri begitulah untuk buku-buku bagi subjek yang lain. Akhbar dan majalah pula disediakan yang terkini dan mencukupi untuk tatapan dan bacaan pelajar. Ternyata kemudahan yang mencukupi  merupakan ciri eksklusif pusat sumber yang menggamit kehadiran pelajar untuk datang dan pergi dan datang kembali ke pusat sumber sekolah.
Tidak dapat saya nafikan pula, ciri pusat sumber yang baik ialah pusat sumber yang dihebahkan, dipromosikan, disebarluaskan mempunyai kemudahan asas yang lengkap seperti kemudahan Intenet berkelajuan jalur lebar, pendingin udara yang sejuk selesa, kipas dan lampu, kerusi meja yang mencukupi, rak buku yang kemas teratur, jendela yang luas dengan hiasan langsir yang sederhana indah. Dalam panorama yang unik menarik, pelajar pasti akan menjadikan pusat sumber sebagai tempat menelaah, menyelidik, membuat ulangkaji atau berdiskusi di ruang legar yang disediakan khusus oleh pengurusan pusat sumber. Kemudahan menggunakan Internet diberikan mandat seluas-luasnya kepada  semua pengunjung pusat sumber. Pusat sumber jua memaparkan peraturan dan disiplin pada dinding utama pusat sumber, yang perlu dipatuhi ketika berada di pusat sumber sekolah. Jadi, saya yakin, kemudahan asas yang serba-serbinya lengkap menjadi penanda aras  sebuah pusat sumber yang baik.
Kesimpulannya memang sebuah pusat sumber yang baik menjadi idaman setiap pelajar sekolah. Pelajar menjadi pengunjung setia pusat sumber sekolah. Saya amat bersyukur kerana pusat sumber sekolah saya mempunyai ciri-ciri unggul sebuah perpustakaan sekolah, apatah lagi  pusat sumber sekolah saya telah dinobatkan sebagai pusat sumber terbaik peringkat negeri dan kebangsaan. 

2 comments:

Unknown said...

Terima kasih atas karangan anda yg bnyk membantu saya menyiapkan kerja saya

Unknown said...

Terms kasih,akhirnya saya dapat siapkan kerje sekolah saya