Warisan negara seperti seni budaya dan
permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Tulis sebuah
rencana tentang kepentingan mengekalkan warisan ini.
Kepentingan Mengekalkan
Warisan Negara
Oleh : Nurul Syahirah binti Razman
Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…
Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan
Rangkap pertama dan
rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi
tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita
sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara
literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman
daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan
bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan
juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya
ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya
ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah
menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan
warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan
warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar
secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.
Suatu
hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting
sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks
ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya
seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian
tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di
negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan
perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian
Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang
Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan
lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan
yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah
berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di
negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah
untuk melambangkan identiti sesebuah negara.
Mari
kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas
pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya
menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong
antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan
bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat
sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini
dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi
bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara
dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang
menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang
berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota
A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya
Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi
merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi
negara.
Lanjutan
daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah
dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari
hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat
Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana
permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat
Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh
permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau,
gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman
dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa
lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana
sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik
tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya
menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan
keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi
muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.
Ayuh,
kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah
kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat
patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat
patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan
keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan
tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban
ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda
tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa
mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan
negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara
kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat
mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya,
Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan
negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini. Deduksinya, usaha memelihara warisan negara
amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak
melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.
Perbincangan saya telah meniti ke
puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah
saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara
oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih
kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana
memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi
berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian,
masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat
dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai
sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah
bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang.
Demi merealisasikan visi kudsi Malaysia MADANI, janganlah
kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah
yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus
subur dan mekar meredah zaman.
Soalan Klon
Lambakan permainan komputer, kurang
pendedahan dan anggapan sudah ketinggalan zaman menjadi punca permainan
tradisional seperti gasing dan congkak semakin dilupakan.
Huraikan
peranan ahli keluarga bagi memastikan permainan tradisional terus subur dalam
kalangan anak-anak.
5 comments:
Thank youuu 💕
Terima kasih
Terima kasih
terima kasih, anda sangat membantu saya dan kawan kawan saya untuk menjawab soalan kbat uasa :0
Alhamdulillah
Post a Comment