04/04/2013

UCAPAN PERASMI MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG 2013

Terlebih  dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang SMK SATRIA, bagi tahun 2013. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan di sekolah ini demi kepentingan murid-murid. Walau apa pun nama yang diberi untuk majlis seperti ini, yang pasti Majlis Anugerah Cemerlang merupakan satu majlis khas untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik khususnya pada peringkat SPM dan PMR. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar cemerlang sekolah ini.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Murid-murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.  Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan. Dasar dan strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau, tidak semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan.

Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman. Lantaran Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sejak dua tahun yang lalu sebagai kayu ukur kompetensi anak-anak di sekolah. Dengan kata lain, kita perlu melahirkan murid-murid yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta.

Sasaran membawa negara mencapai standard pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa perlu digalas semua pihak. Pelbagai program diperkenalkan Kementerian Pelajaran seperti Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai platform meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkan penglibatan komuniti dengan sekolah. Inisiatif ini seperti yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, merupakan salah satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi menyediakan pendidikan yang berkualiti adalah kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

Usaha menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Seyogianyaibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah. 


Tuan-tuan dan puan-puan,
Kepimpinan sekolah pula perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, guru-guru perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman penaakulan (reasoning) murid. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).

Kepada para pendidik pula, orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian kita berdasarkan standard kualiti yang kita janjikan. Kita jangan cepat berasa puas dengan pen­capaian kita pada hari ini. Sebagai seorang pendidik, kita mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan agar per­khidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Seperti yang kita semua sedia maklum, murid-murid merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara. Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat.

Saya percaya sambutan Majlis Anugerah Cemerlang pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Kepada murid-murid yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Saya percaya murid-murid yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan mereka yang rajin berusaha dan konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin mengikut musim. Semua murid mestilah mencontohi mereka ini. Saya percaya jika murid-murid dapat mencontohi mereka yang menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan datang.

Kalau beberapa tahun yang lalu, sekolah begitu terikat dengan rutin dengan memberikan hadiah kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan awam dan dalaman, namun mutakhir ini sudah banyak sekolah yang meluaskan skop pemberian hadiah ini kepada guru, panitia dan bidang-bidang yang terbabit. Adalah wajar guru-guru dengan panitia masing-masing turut sama diraikan kerana di belakang kejayaan seorang pelajar ialah guru dan panitia mata pelajaran yang diurus dengan baik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang hormati sekalian,

Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan antara lainnya bermaksud, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". Dalam hal ini, semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha untuk merealisasi. Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.
Pemimpin dan barisan guru di sekolah ini boleh bertukar ganti; boleh datang dan pergi, namun organisasi sekolah mesti dipertahankan walau siapa pun yang menerajui dan memacunya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-ansurkan. Semua pihak termasuk para guru, ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu kepada pengetua dan pentadbir sekolah jika semua mimpi indah tentang kecemerlangan ingin direalisasikan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang tahun ini.
Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz Bismillahhir­rahmannirahim (Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Penyayang) MERASMIKAN, Majlis Anugerah Cemerlang SMK SATRIA, tahun 2013.


Sekian. Wabillahitaufik walhidayah was­salammualaikum warahmatullahi wabara­katuh dan salam sejahtera.


1 comment:

rahimahj said...

mohon share ucapan ini sbg rujukan... terima kasih