02/11/2019

SAMPEL KARANGAN SEMANGAT PATRIOTISME


Belakangan  ini jasa tokoh-tokoh kemerdekaan  negara seperti Tunku Abdul Rahman , Tun H.S. Lee , dan Tun Sambanthan semakin dilupakan
Bincangkan cara-cara anda menanamkan semangat patriotisme dan menghargai tokoh-tokoh kemerdekaan.
Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama ialah peribahasa yang merujuk kepada sumbangan seseorang itu akan terus diingati walaupun dia sudah tiada lagi. Sumbangan dan jasa bakti akan tetap menjadi kenangan terutama sekali jasa yang ditaburkan kepada negara. Tokoh-tokoh seperti negarawan yang telah banyak menaburkan jasa kepada masyarakat dan negara adalah wajar sekali nama mereka disanjung dan terus kekal terpahat dalam tinta sejarah. Sehubungan dengan itu, jasa tokoh-tokoh terkemuka seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Za’aba, Tun H S Lee, Tun Sambanthan dan ramai lagi wajar diberi penghormatan atas jasa yang telah mereka sumbangkan. Oleh itu, sebagai generasi muda yang dapat menghirup udara keamanan dan kesejahteraan, saya akan terus mengingati jasa mereka dengan pelbagai cara yang boleh dilakukan.
Sebagaimana yang termaktub, saya hendaklah menanamkan perasaan bangga lagi bermaruah menjadi rakyat Malaysia. Kebanggaan bagi seseorang yang berjiwa merdeka adalah apabila mereka dapat mendirgahayukan tokoh-tokoh pejuang Malaya terulung ke setiap penjuru alam. Namun, kisah-kisah perjuangan mereka ini bukan sahaja bagai lenyap ditelan dek zaman malah perkara ini sudah tidak menjadi tarikan kepada golongan generasi Y  untuk terus meneroka dan mengenali tokoh-tokoh kemerdekaan pada era silam. Oleh itu, sebagai anak watan Malaysia, saya perlulah berusaha sehabis daya untuk menyuntik perasaan sayang dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam jiwa saya. Perasaan sayang ini dapat disemai dengan mengenali tokoh pejuang terdahulu yang dapat kita lihat dalam kata-kata hikmat, ‘Tak kenal, maka tak cinta‘. Oleh sebab itu, saya akan menyayangi mereka dan sentiasa berbangga apabila memiliki pemimpin yang berjuang demi negara.
Selain itu, saya juga perlulah menjadi anak muda yang bersifat patriotik yang sentiasa memahami dan menghayati sejarah negara. Sesungguhnya kenyataan tersebut wajar disemaikan dalam diri setiap individu yang bernama remaja. Hal ini demikian kerana semangat tersebut semakin menipis dalam jiwa remaja pada alaf baharu ini. Lantaran itu, saya hendaklah menyimpan perasaan bangga dan berterima kasih kepada tokoh-tokoh yang telah bersusah payah memerdekakan dan memajukan negara. Contohnya, saya boleh melibatkan diri dalam sambutan kemerdekaan negara pada setiap tahun bagi memperingati hari kemenangan negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah Barat. Oleh itu, saya perlulah menjadi anak muda yang patriotik yang sentiasa memahami dan menghayati sejarah negara bagi menghargai pengorbanan jasa tokoh-tokoh kemerdekaan negara  atas hakikat di mana-mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Pada hemat yang tepat, saya juga boleh menjadikan tokoh-tokoh kemerdekaan tersebut sebagai idola sanjungan saya. Hal ini demikian kerana saya akan memperoleh banyak faedah sekiranya saya menjadikan kehidupan mereka sebagai panduan dalam hidup saya, bak kata pepatah berguru pada yang tahu, meminta pada yang ada dan berkaul pada yang kuasa. Dengan perkataan lain, saya perlulah berasa bangga dan menunjukkan sikap menghargai perjuangan tokoh-tokoh tersebut. Bukan itu sahaja, sebagai seorang remaja yang berjiwa patriotik, saya tidak sewajarnya bersikap lupa diri terhadap kebijaksanaan, hemah peribadi dan keberanian mereka memperjuangkan kemerdekaan negara. Sebagai panduan, saya boleh sentiasa merujuk kepada ideologi tokoh-tokoh tersebut bagi menyelesaikan sesuatu kemelut yang berkaitan dengan sejarah kemerdekaan negara. Sesungguhnya, saya sememangnya boleh menjadikan tokoh-tokoh kemerdekaan negara sebagai idola sanjungan agar saya dapat menghargai jasa dan pengorbanan mereka terhadap negara yang tercinta ini.
Inisiatif seterusnya yang dapat menerapkan unsur-unsur patriotik dalam diri saya termasuklah dengan mengambil bahagian dengan aktif dalam ko-akademik yang berkaitan dengan sejarah, tamadun dan budaya. Saya hendaklah sentiasa peka dengan aktiviti yang dianjurkan dan turut sama mengambil bahagian. Aktiviti-aktiviti yang relevan seperti pertandingan kuiz, melukis poster, mengarang dan mengadakan sambutan ulang tahun bagi mengingati jasa tokoh-tokoh yang telah pergi wajarlah diadakan pada setiap tahun. Sebagai individu yang berwibawa dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit, saya mestilah sentiasa menggerakkan nilai patriotik dalam diri setiap lapisan masyarakat. Perkara ini sudah sememangnya dapat mengapresiasikan tokoh-tokoh yang sanggup menggadaikan nyawa demi memerdekakan negara pada suatu masa dahulu.
           “Sesiapa yang melupakan sejarah, maka dia akan mengulangi kesilapan semula“ ialah kata-kata daripada seorang tokoh falsafah pada era silam. Oleh itu, sebagai prakarsa bagi  memastikan saya menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah memerdekakan negara kita daripada cengkaman penjajah, saya mencadangkan kepada semua pihak agar mengabadikan nama tokoh-tokoh negara di setiap tempat penting. Hal ini demikian kerana perkara ini dapat memastikan  nama tokoh-tokoh ini tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.. Pada pendapat saya, pihak kerajaan memainkan peranan penting untuk mewujudkan tempat–tempat yang dapat mengingatkan kembali jasa tokoh-tokoh terdahulu. Tempat strategik adalah seperti pada papan tanda di sepanjang lebuh raya  dan tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti di muzium, pusat beli-belah serta di destinasi pelancongan. Hal ini demikian dapat mendidik anak watan seperti saya mengenali tokoh tersebut dengan lebih dekat lagi. Tuntasnya, saya berharap biarlah mereka hilang pada jasad tetapi hidup kerana jasa yang disumbangkan.
Kata-kata hikmat yang menyebutkan, tiada yang dahulu tiadalah yang sekarang dan tiada yang lama maka tiadalah yang baharu menunjukkan bahawa hubung kait antara yang lama dan yang baharu sentiasa saling memerlukan. Seandainya, generasi terdahulu sebagai pelakar sejarah, nescaya generasi kini perlulah meneladani sejarah dan bijak pula menghargainya. Apa-apa yang telah dilakarkan oleh mereka hendaklah dijadikan wasilah untuk membentuk sebuah masyarakat madani. Mana-mana yang salah jadikanlah panduan untuk membuka lembaran sejarah yang baharu, kerana yang baik dijadikan teladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.

SAMPEL KARANGAN PERPADUAN
Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin longgar sejak akhir-akhir ini. Gejala ini boleh membawa pelbagai kesan negatif jikalau tidak dibendung lebih awal.

Bincangkan pendapat anda tentang kesan-kesan gejala tersebut dan langkah-langkah untuk membendungnya.

    Apabila berbicara tentang terma perpaduan, justeru, mafhum daripada sepotong maksud ayat al Quran iaitu, “Aku jadikan manusia daripada lelaki dan perempuan dengan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya mereka dapat saling berkenal-kenalan dan bekerjasama” amatlah relevan  untuk dirujuk. Sesungguhnya, perpaduan merupakan teras keamanan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Perbezaan dalam aspek bangsa, budaya, agama, dan warna kulit bukan halangan untuk membentuk perpaduan. Demikianlah, hakikat sebenar yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, dengan anjakan pelbagai pengaruh, bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sungguh membimbangkan. Fenomena ini telah memungkinkan pelbagai implikasi negatif akan melanda negara. Sedar akan pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, maka sudah tiba masanya seluruh warga Malaysia menggemblengkan usaha untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah pertelagahan yang lebih parah

Apabila perpaduan dalam kalangan rakyat sudah mula goyah, musibah besar yang bakal menimpa ialah keamanan dan keharmonian negara akan tergugat. Hal demikian tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing mula menyimpan perasaan syak wasangka. Keadaan pasti lebih parah apabila api persengketaan mula menular dalam kalangan masyarakat majmuk. Masing-masing berlagak menjadi hero kaum serta cuba menyemaikan bibit perkauman dengan cara menangguk di air keruh. Isu-isu remeh cuba disensasikan sehingga tercetus api kemarahan.  Kesudahannya meletuslah persengketaan yang sukar dikawal seperti Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan beberapa persengketaan lain seperti perbalahan kaum di Kampung Medan pada tahun 2003. Akhirnya, masing-masing menanggung rugi ibarat tempelak peribahasa, kalah jadi abu menang jadi arang.

Musibah yang amat nyata apabila berlaku perbalahan dalam kalangan masyarakat sudah pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Ekonomi ialah tiang seri dan pasak kekuatan kepada sesebuah negara. Tanpa sokongan ekonomi yang mapan, kemajuan negara akan terbantut. Krisis kemanusiaan seperti kebuluran yang melanda negara-negara di Afrika, seperti Somalia, Burundi dan Sudan adalah berpunca daripada runtuhnya sistem ekonomi dan sosial mereka yang terlalu parah. Sebaliknya, apabila kita menoleh kepada negara-negara yang aman, seperti Jepun, Norway,  dan Singapura, justeru potensi ekonomi mereka berjaya dibangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang tersohor. Sebenarnya, apakah resipi istimewa di sebalik kejayaan tersebut? Jawapannya, tentu sekali kejayaan mereka berpaksikan kepada sikap toleransi dan saling memahami yang wujud dalam kalangan rakyat. Sesungguhnya, itulah acuan yang wajar ditiru oleh rakyat Malaysia jikalau tidak mahu peristiwa pisang berbuah dua kali.

Sudah lumrah, sesekali berarak juga mendung nan kelabu dan kadang-kadang gigi dan lidah pun boleh tergigit. Demikianlah hakikat pertelagahan dan perselisihan yang sering menjadi duri dalam daging yang menghalang perpaduan. Demi negara yang tercinta ini kembalilh kepada slogan “Bersatu teguh, bercerai roboh” dan peribahasa bulat air kerana  pembetung, bulat manusia kerana muafakat  sebagai prakarsa  untuk menyuburkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Kita hendaklah menjadi rakyat yang berfikiran rasional dan dingin kepala dalam menghadapi sesuatu masalah. Kita perlu bersatu di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya, kita wajar menilai semula akan harga kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi kini adalah terlalu mahal. Demi negara, kita hendaklah menyanjung tinggi kedaulatan watan dengan menghayati sedalam-dalamnya wadah, “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”. 

Semangat patriotik dan perasaan berbangga menjadi rakyat Malaysia hendaklah sentiasa subur dan mekar di dalam jiwa raga setiap rakyat. Anggaplah kelahiran kita di bumi Malaysia ini sebagai suatu rahmat. Apabila sudah ditakdirkan kita dilahirkan di sini, justeru inilah negara yang perlu dicintai dan tumpahkan seluruh taat setia. Jangan ada sikap mengggunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelengkeng berkait dalam kalangan rakyat Malaysia. Sikap sesetengah pihak yang sentiasa mengagumi negara lain sedangkan sesuap nasi untuk dirinya masih berada di sini amatlah dikesali.  Ingatlah, seberapa tinggi sekalipun, seseorang itu mengagung-agungkan negara lain, sesudahnya dirinya diibaratkan tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke muara.


    Dalam usaha mencari penyelesaian isu ini,  ambillah panduaan peribahasa Melayu yang menjelaskan, sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Oleh hal yang demikian, pokok pangkal untuk mengembalikan roh perpaduan, kita kembalilah kepada latar sejarah. Sejarah kita telah terbina di atas paksi kemajmukan masyarakat. Oleh sebab itu, semua pihak harus berlapang dada dan menerima hakikat daripada realiti sejarah bangsa kita iaitu bangsa Malaysia. Salah faham dan pertikaian yang berpanjangan dalam kalangan kaum hanya mendedahi kita kepada kemusnahan. Keamanan yang telah terbina sejak sekian lama akan terkubur begitu sahaja. Oleh itu, amalkan sikap saling bersatu, ibarat ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Insyaa-Allah, sekiranya falsafah daripada peribahasa tersebut dipegang dengan kukuh, nescaya akan lahirlah suatu bangsa Malaysia yang kuat kerana berpegang kepada tonggak perpaduan, bertolak ansur, sejahtera dan harmoni.
Mengakhiri kalam bicara krisis perpaduan yang menjadi mauduk afdal, nescaya sehingga penghujung umur dunia pun kita tidak akan bertemu dengan penyelesaian seandainya masing-masing terlalu taasub untuk menegakkan benang basah masing-masing. Sesungguhnya, perpaduan merupakan mata rantai yang menjadi jaringan nasib masa depan anak-anak kita. Oleh sebab itu, ambillah sikap jujur terhadap diri sendiri dan kejujuran itulah kita perwariskan kepada generasi baharu agar mereka menilai perpaduan sebagai harga yang paling mahal untuk dibayar demi keamanan dan keharmonian negara yang tercinta. Ingatlah walau sesiapapun kita, seyogia di bumi Malaysia inilah kita akan meneruskan kehidupan malah besar kemungkinan di bumi inilah kita akan disemadikan. Demi sebuah negara yang tercinta, hargailah perpaduan kerana seburuk-buruk tingkah laku apabila ada niat untuk memusnahkan kebaikan yang ada kerana sikap menggunting dalam lipatan atau lempar batu sembunyi tangan.

sumber : Tuan Haji Ishak Md Shah [grup telegram guru-guru BMSPM]

5 comments:

Anonymous said...

hi

Unknown said...

tq karangan ini sgt membantu sebagai referens!!

Unknown said...

terima kasih karangan ini dapat memberikan banyak idea untuk saya membuat kerja




Unknown said...

Karangan ini sangat membantu ...tq

Unknown said...

HELLLOOOOOOOOOOOOOOOO