21/09/2019

PERCUBAAN SPM 2019 PULAU PINANG : RUMUSAN



Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang ciri-ciri anak autisme dan usaha ibu bapa untuk membantu perkembangan mereka. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.         
           
          Hari Kesedaran Autisme Sedunia merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam memahami penghidap autisme yang disambut pada 2 April setiap tahun. Autisme ialah sejenis penyakit gangguan pertumbuhan tumbesaran seseorang kanak-kanak yang mengganggu perkembangan otak dalam jangka masa panjang yang memberikan kesan dalam pemikirannya. Kadar autisme dalam kalangan kanak-kanak adalah satu atau dua orang dalam 1000 dan empat kali ganda lebih kerap terjadi dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Tanda awal autisme ialah pada usia enam bulan, bayi tersebut tidak mengukir senyuman dan tidak menunjukkan ekspresi gembira.
Oleh itu, ibu bapa perlu cakna jika mendapati bayi tidak mempunyai hubungan mata atau hubungan mata yang terhad apabila berlakunya proses interaksi. Walaupun tiada ubat untuk menyembuhkan anak autisme ini, mereka masih perlu dirawat dengan memfokuskan gejala yang berkaitan. Tanda lain autisme yang boleh dikenal pasti termasuklah perkembangan pertuturan yang lambat. Jika didapati anak telah berusia empat tahun tetapi tidak langsung boleh bertutur, segeralah bertemu doktor. Selain itu, anak istimewa ini juga cepat marah dengan perubahan kecil dalam rutin atau persekitarannya. Sebagai ibu bapa, janganlah hanya tahu menghukum tetapi carilah pendekatan yang terbaik.
Penghidap autisme tidak menghiraukan keadaan sekeliling malah tidak merasai kewujudan orang lain. Sebagai contoh, anak tersebut boleh duduk sendirian di suatu sudut dan kelihatan bahagia dengan kehidupannya sendiri.  Sesetengah daripada mereka boleh mengamuk dan tidak boleh mengawal tekanan apabila sesuatu keinginannya tidak dipenuhi. Jadi, mereka perlu diberikan ruang untuk meredakan amuk tersebut kerana jika tidak ditangani dengan profesional boleh mengundang mudarat. Sesetengah daripada mereka mempunyai tindak balas luar biasa atau reaksi keterlaluan terhadap bunyi, cahaya, warna dan rasa. Misalnya mereka menjadi takut apabila mendengar bunyi yang kuat seperti mercun dan guruh.
Memiliki anak autisme merupakan tanggungjawab yang besar dan anugerah Tuhan yang tidak wajar dikesali. Tanda lain yang boleh diperhatikan termasuklah sering menunjukkan tingkah laku yang berulang seperti berpusing atau menggoyangkan badan tanpa sebab yang munasabah. Penyakit ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan sosial. Punca autisme masih tidak diketahui namun terdapat beberapa sebab seperti usia ibu dan bapa yang meningkat atau berkahwin pada usia yang lewat. Seterusnya, faktor genetik apabila ibu atau bapa mempunyai sejarah autisme dalam keluarga. Komplikasi semasa proses kehamilan boleh mengganggu fungsi otak akibat jangkitan turut dikatakan penyebab kepada permasalahan ini. 
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Autisme Bukannya Kekurangan Tetapi Keistimewaan’
oleh Syazanna Hadenan, Dewan Siswa, April 2018



Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)               Berikan maksud rangkai kata pendekatan yang terbaik?                               
[2          markah]

(ii)              Pengarang mengatakan bahawa terdapat beberapa punca yang dikenal pasti sebagai penyebab berlakunya autisme.
             Nyatakan punca-punca tersebut?                                                                                 
[3          markah]

(iii)             Pada pendapat anda, apakah usaha yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk membantu kanak-kanak autisme?                                                                               
[4          markah]

No comments: