CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU
Jika hari
ini seorang peguam menang bicara
Jika hari
ini seorang penulis terkemuka
Jika hari
ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya
dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan
lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Sekolah
merupakan satu institusi yang nirmala untuk memupuk dan menghasilkan individu
berilmu yang bakal menerajui negara Malaysia. Jelas dalam bait-bait sajak di
atas betapa besarnya jasa seorang guru. Guru telah diibaratkan jurutera bagi
pemimpin masa hadapan negara kita. Hal ini jelas menyatakan bahawa jasa guru
amat besar sebagaimana jasa ibu bapa terhadap anak. Guru ialah insan mulia yang
mengajar dan mendidik kita tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit.
Mereka ibarat lilin yang membakar diri demi memberikan didikan terbaik kepada
pelajar. Tanpa usaha dan pengorbanan guru tidak mungkin pelajar mencapai
kejayaan yang cemerlang. Lantaran itu, sewajarnya kita menghargai guru jasa dan pengorbanan para
guru.
Budi bahasa dan adab sopan amalan yang mulia.
Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan
antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermuka
manis sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi salam ketika berhadapan
atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas,
pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu
guru menjalankan tugasnya. Mereka sewajarnya memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya
semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang
tentang pelajaran. Kata-kata hikmat harus sentiasa tertanam dalam bibir anak
para pelajar, seperti “terima kasih cikgu”, “maafkan saya”, “bolehkah saya”, dan
lain-lain lagi. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu
menjaga tatasusila, tidak meninggikan
suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan
lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan
amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.
Selain itu, berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah
juga cara menghargai jasa guru. Antara ciri
pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati
masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah.
Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama
ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi
peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah
tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya
dengan cemerlang. Peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat”, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi
pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi
disiplin merupakan adab yang mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.
Di samping itu, pelajar perlu prihatin
dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai
jasa guru adalah amalan yang mulia. Para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak
berkhidmat sebagai seorang tenaga pengajar lagi. Kita boleh menghargai jasa
guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada hari ini juga, kita boleh memberikan hadiah
kepada guru yang mengajar kita sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang
dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit
semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas.
Barang yang murah akan menjadi tanda mata yang sangat berharga jika pemberian tersebut
dengan hati penuh ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari
guru sudah cukup bermakna buat para guru.
Menziarahi
guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa
para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam
kehidupan. Misalnya guru mungkin ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi
penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi mereka jika
mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat
cubit peha kanan peha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit,
kita perlulah membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati terhadap
mereka. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip
derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa ‘guru,
jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong kerana
pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.
Selain itu, kita juga boleh menghargai
jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik
kita. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka
kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita
perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada
segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat
menjalankan tugas mendidik kita dengan sempurna. Bagi mereka yang telah
meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar
mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan
belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan
guru akan terus dikenang sepanjang masa.
Sudah terang lagi bersuluh, jasa
dan pengorbanan seseorang guru itu sukar
untuk dibalas walau dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana
gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita
bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya
mendapat keberkatan daripada Tuhan. Renungilah bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang
diberi
tanpamu
negara tak mungkin teguh berdiri.
Terima kasih, cikgu!
Catatan
Boleh ubah suai jika soalan adab-adab kepada guru
No comments:
Post a Comment