Sesebuah keluarga yang erat hubungannya akan sentiasa
tolong-menolong antara satu sama lain seperti aur dengan tebing.
Huraikan kebaikan kepada ahli-ahli keluarga apabila
menjayakan sesuatu majlis kekeluargaan seperti majlis perkahwinan, sambutan
perayaan, hari keluarga dan sebagainya.
Mauduk tentang sambutan majlis keluarga tidak pernah sunyi daripada menjadi topik
perbincangan hangat yang dibahaskan dalam pelbagai medium komunikasi di
Malaysia. Hal ini kerana masyarakat mulai sedar betapa
signifikannya hubungan yang erat sesama ahli keluarga demi menjalani kehidupan
yang sakinah. Mutakhir ini, banyak majlis keluarga disambut seperti majlis
perkahwinan, sambutan perayaan, hari keluarga dan sebagainya, lebih-lebih lagi
apabila tiba musim cuti sekolah. Sambutan majlis keluarga ini mendatangkan
banyak kebaikan kepada ahli-ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan kata-kata Datuk
Seri Rina Harun selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang
tidak jemu-jemu menyeru ibu bapa supaya sering meluangkan masa bersama-sama
ahli keluarga dengan mengadakan sambutan hari keluarga agar hubungan
kekeluargaan bertambah erat. Persoalannya,
apakah faedah-faedah sambutan hari
keluarga kepada masyarakat? Oleh hal yang demikian, … [skop soalan] sejauh mana sambutan majlis keluarga mampu memberikan
kebaikan kepada setiap ahli keluarga] yang mewarnai fokus perbincangan
akan dikupas dan dibugar secara terperinci untuk kebaikan semua pihak.
Bertunjangkan idea yang relevan, mari kita lebarkan lensa
perbincangan kepada skop yang lebih spesifik di bawah kata kunci, majlis keluarga yang disambut juga mampu mengeratkan
hubungan kekeluargaaan dalam sesebuah keluarga. Memetik kata-kata Cecil B.
Demille, seorang tokoh falsafah Barat, seseorang itu dianggap
berperikemanusiaan hanya apabila dia menyayangi diri dan keluarganya lebih
daripada harta yang dimiliki. Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa vital
kasih sayang dalam sesebuah keluarga kerana keutuhan institusi kekeluargaan
adalah datang daripada hubungan yang erat setiap ahli keluarga. Hubungan yang
erat ini tidak akan datang dengan sendiri jika setiap ahli keluarga tidak dapat
memupuk hubungan yang baik sesama mereka. Dengan
kata lain, keluarga sakinah yang ingin dilahirkan dalam masyarakat kita
adalah bermula dengan hubungan yang erat dalam sesebuah keluarga. Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga merancang
untuk mengadakan sambutan majlis keluarga seperti sambutan Hari Ibu pada bulan
Mei setiap tahun untuk meraikan ibu tersayang, hal ini mampu membuatkan ibu
mereka sangat gembira dan rasa dirinya dihargai oleh anak-anak. Sambutan ini
tidak akan berjaya jika setiap ahli keluarga tidak bekerjasama untuk memastikan
sambutan itu berjalan dengan lancar. Anak-anak akan berhubung antara satu sama
lain untuk menyediakan segala kelengkapan bagi memastikan sambutan Hari Ibu
dapat dijayakan seperti memilih tempat sambutan, menu yang ingin disediakan,
hadiah untuk ibu, atur cara majlis dan sebagainya. Hubungan antara ahli keluarga
ini secara tidak langsung mampu merapatkan mereka dengan lebih erat kerana
anak-anak yang jauh akan pulang ke kampung dan berjumpa semasa sambutan Hari
Ibu tersebut. Kesannya, hubungan akrab akan
terjalin antara ahli keluarga apabila mereka sama-sama mengadakan sambutan
untuk meraikan ibu mereka. Sudah terang lagi
bersuluh, sambutan majlis keluarga terbukti mampu mengeratkan hubungan
kekeluargaan dalam sesebuah keluarga.
Setelah meneliti isu di atas secara mendalam dan
terperinci, mauduk tentang kebaikan sambutan
majlis keluarga akan dibugar dari perspektif bahawa, dapat berkongsi cerita dan pengalaman adalah faedah lain
apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga. Ahli keluarga dapat berkongsi
cerita mengenai perkembangan yang berlaku dalam keluarga mereka, berbicara
tentang kerjaya yang diceburi, perkongsian ilmu perniagaan yang dijalankan dan
sebagainya apabila mereka berjumpa semasa sambutan majlis keluarga. Umum
mengetahui bahawa perkongsian cerita ini bukan sahaja mampu menambah
pengetahuan ahli keluarga tentang perkara yang telah berlaku tetapi juga
perkongsian ini mampu mengurangkan tekanan emosi yang dialami oleh setiap ahli
keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana pengalaman
yang diceritakan sesama ahli keluarga dapat diceritakan secara terus terang dan
hal ini akan melahirkan perasaan saling mempercayai antara satu sama lain. Tamsilnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang
diadakan pada setiap tahun akan membuatkan ibu bapa ingin berkongsi kenangan
mereka ketika menyambut sambutan yang sama pada suatu ketika dahulu. Ibu bapa
boleh berkongsi cerita seperti menyambut hari raya di pusat pemindahan banjir,
berhari raya dengan sehelai sepinggang kerana rumah terbakar pada pagi raya,
berhari raya di hospital dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh menyelitkan
cerita-cerita sedih apabila teringatkan insan-insan yang telah meninggal dunia
ketika bercerita kepada ahli keluarga. Impaknya, anak-anak dapat menghayati
kisah hidup ibu bapa ketika seusia dengan mereka dan menjadikan cerita tersebut
sebagai teladan dalam kehidupan mereka. Hakikatnya
fenomena ini boleh dijelaskan melalui Pepatah Arab ada mengatakan bahawa
manusia yang bijaksana ialah mereka yang sentiasa menjadikan sejarah silam
sebagai pengajaran pada masa akan datang. Lantaran
itu, majlis keluarga yang dijayakan mampu menjadi topik bualan sesama
ahli keluarga untuk dijadikan sebagai peristiwa berharga yang wajar diingati. Sebagai pengikat wacana, jelaslah bahawa, menjayakan
sesuatu majlis keluarga menjadi medan kepada
setiap ahli keluarga untuk berkongsi cerita dan pengalaman berkaitan
dengan majlis-majlis yang pernah diadakah sebelum ini supaya dapat dijayakan
dengan lebih meriah.
Meniti kodifikasi hujah seterusnya, kita seyogia tidak
boleh menutup mata terhadap fakta konkrit yang mengatakan bahawa, majlis keluarga yang disambut juga mampu mengukuhkan
institusi kekeluargaan. [Kupasan dan huraian
tentang majlis keluarga tidak harus ada
titik noktahnya, maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai
kata ditinjau pula dari aspek majlis keluarga yang disambut juga mampu
mengukuhkan institusi kekeluargaan.] Pada
masa ini, banyak institusi kekeluargaan menjadi goyah apabila berlakunya
kepincangan seperti bapa terlibat dalam penagihan dadah, perbalahan ibu bapa,
perceraian ibu bapa, bapa berada di penjara, masalah kewangan dan sebagainya.
Masalah-masalah ini menyebabkan anak-anak mengalami tekanan perasaan dan ada
yang mengambil keputusan untuk lari dari rumah bagi mencari ketenangan. Menurut
statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peratus remaja yang lari dari
rumah akibat tekanan perasaan apabila ibu bapa mereka bercerai pada tahun 2019
adalah meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding tahun 2018. Hal ini membuktikan bahawa institusi keluarga yang
bermasalah akan menyumbang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. Sebagai contoh, apabila majlis sambutan hari
keluarga diadakan, anak-anak yang lari dari rumah ini akan pulang untuk
berjumpa dengan ahli keluarga mereka yang lain. Anak-anak ini sedar akan kesalahan
yang dilakukan dan memohon kemaafan daripada kedua-dua ibu bapa mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa juga akan menginsafi
perbuatan mereka sehingga anak-anak mereka mengalami tekanan yang akhirnya lari
meninggalkan keluarga. Majlis hari keluarga yang disambut itu akan membuatkan
hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga akan bertaut semula menjadi lebih
kukuh. Ibu bapa akan berusaha untuk memainkan peranan masing-masing dengan baik
kerana tidak mahu anak-anak yang menjadi aset kepada keluarga ini terabai. Kesannya, mereka tidak akan melakukan lagi perkara
yang boleh mencetuskan demoralisasi dalam institusi kekeluargaan. Nilai kasih
sayang dalam keluarga akan menjadi mekar semula menyebabkan anak-anak akan rasa
mereka disayangi. Walhasil, izharlah bahawa sambutan hari keluarga berupaya mengelakkan
masalah rumah tangga kerana ibu bapa akan memainkan peranan masing-masing bagi
mengelakkan pisang berbuah dua kali.
Bagi melabuhkan tirai perbincangan pada perenggan akhir
ini, majlis keluarga yang disambut mampu meningkatkan
kemahiran menguruskan diri dan organisasi. Hal ini
dikatakan demikian kerana setiap majlis yang akan disambut memerlukan
perancangan yang rapi, pelaksanaan yang sistematik dan penilaian yang boleh
dibuat penambahbaikan pada masa akan datang. Ahli keluarga akan berbincang
sesama mereka mengenai perancangan tersusun supaya majlis yang akan disambut
nanti berjalan dengan lancar. Sebagai contoh,
apabila ingin menyambut majlis Hari Keluarga Haji Hashim, ahli keluarga akan
diberikan tugasan mengikut kemampuan seperti mengedarkan kad majlis kepada
seluruh keluarga Haji Hashim yang tinggal di seluruh negara. Ahli keluarga lain
akan diberikan tugasan untuk merancang menu yang akan disediakan, atur cara
sukaneka, menempah tempat penginapan di calet dan sebagainya. Tugasan ini
secara tidak langsung mampu meningkatkan kemahiran diri ahli keluarga ketika berurusan dengan
pihak-pihak luar dan hal ini boleh digunakan sebagai panduan untuk menguruskan
majlis-majlis lain yang lebih besar kerana mereka sudah biasa bak kata
peribahasa alah bisa tegal biasa. Semasa majlis berlangsung juga, ahli keluarga
boleh berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk memastikan majlis
berlangsung dengan lancar dan sempurna. Mereka saling menolong bak kata peribahasa
bersatu teguh bercerai roboh agar majlis yang disambut itu dapat memuaskan hati
semua pihak yang terlibat. Impaknya, ahli keluarga yang dipertanggungjawabkan
itu akan menganggap tugasan yang diberikan itu sebagai wadah untuk mengasah
kemahiran diri dalam pengurusan organisasi. Jadi,
sudah terbukti bahawa kemahiran menguruskan diri dan organisasi dalam
diri ahli keluarga dapat ditingkatkan apabila menjayakan sesuatu majlis
keluarga.
Kesimpulannya,
sinergi daripada
semua ahli keluarga perlu dipupuk umpama sakit
sama mengaduh dan luka sama menyiuk bagi membentuk suatu anjakan paradigma
yang menjamin kelangsungan dan keharmonian institusi kekeluargaan. Terdapat
pelbagai kemaslahatan kepada ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu majlis
keluarga. Sebagai seorang ahli keluarga yang prihatin akan keharmonian dan
ketenteraman di dalam rumah, saya mencadangkan agar kita mengimplementasikan
apa-apa jua inisiatif yang munasabah dalam usaha mewujudkan keluarga yang bahagia
dan saling menyayangi antara satu sama lain. Setiap ahli keluarga seyogia menjangkau
sehabis tangan memantapkan institusi kekeluargan untuk mencorakkan masa depan
negara dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi membina keluarga
bahagia berlandaskan konsep rahmatan lil-‘alamin. Usaha
tersebut dilakukan secara bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat dikecapi
ibarat kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya dan bukan sekadar
hangat-hangat tahi ayam demi kebaikan semua ahli keluarga. Yang pasti, sambutan
sesuatu majlis keluarga mampu mengeratkan hubungan sesebuah keluarga sekali gus
dapat melahirkan masyarakat madani di negara kita.
Sumber http://blogcikguazaman.blogspot.com/ [sedikit pengubahsuaian, mohon izin]
Cadangan
idea / Isi:
1.
Memupuk kerjasama
dalam kalangan ahli keluarga
2.
Mengeratkan
silaturahim dalam keluarga
3.
Berkongsi tenaga/
menjimatkan tenaga kerja
4.
Kerja-kerja dapat
disiapkan dengan cepat/menjimatkan masa
5.
Boleh berkongsi
pendapat/ idea
6.
Dapat berkongsi/ menjimatkan
kos
No comments:
Post a Comment