01/02/2021

Pelibatan dalam Aktiviti Kokurikulum

Aktiviti kokurikulum seperti sukan, kem kepimpinan dan program kerohanian merupakan aspek penting dalam melahirkan remaja yang serba boleh.

Ulaskan pernyataan di atas.

Arus perubahan global dalam cabaran globalisasi telah menuntut rakyat Malaysia agar sentiasa terampil dan menjadi masyarakat yang mampu mencapai pemikiran bertaraf dunia. Dalam memenuhi hasrat tersebut, anjakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah menegaskan bahawa, setiap individu pelajar hendaklah dididik agar seimbang dan harmonis  dalam aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Bagi merealisasikan objektif tersebut komponen dalam pendidikan nasional telah memberikan penekanan dalam dua aspek yang utama iaitu kurikulum dan kokurikulum. Kurikulum bermatlamat membangunkan ummah yang berminda kelas pertama, sementara kokurikulum pula sebagai pelengkap keterampilan fizikal, emosi dan sahsiah pelajar. Berdasarkan pernyataan tersebut, saya bersetuju bahawa penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum pasti menatijahkan pelbagai impak positif kepada remaja  (pelajar).

Penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum akan dapat melahirkan remaja yang memiliki keterampilan diri yang hebat, segak dan gagah. Keterampilan yang menarik adalah amat penting kerana dapat meningkatkan keyakinan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Sudah sewajarnya setiap remaja mempersiap diri dengan pakej fizikal, mental, dan emosi dengan memiliki personaliti yang mengagumkan. Dalam memperlengkap ciri-ciri tersebut, remaja hendaklah sentiasa aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti bersukan, menyertai pasukan dan kelab atau kegiatan beruniform. Semua aktiviti tersebut berupaya memberikan impak yang cukup positif apabila individu tersebut lebih sihat, yakin kepada diri sendiri, dan bermotivasi tinggi. Pendek kata, nilai diri seseorang itu akan dilihat daripada kehebatan susuk tubuhnya, minda yang cerdas, dan emosi yang stabil (harmoni).

Daya kepimpinan ialah ciri perwatakan yang  sangat berguna akan diperoleh remaja apabila bergiat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. Daya kepimpinan ialah aset yang penting untuk seseorang itu diterima dalam masyarakat, dihormati, dan diberikan kepercayaan untuk memimpin. Oleh itu, daya kepimpinan amatlah mustahak kerana seseorang pemimpin perlulah memiliki keyakinan diri yang  tinggi, berfikiran positif, dan matang. Sewajarnya, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, semua bakat istimewa sebagai pemimpin berjaya dibentuk melalui kegiatan berpersatuan, kelab dan pasukan beruniform seperti (…………………………masukkan nama kelab dan persatuan yang pernah anda sertai) Seyogia, sifat cemerlang yang dapat dibentuk seperti membina ketahanan diri, berdisiplin, dan pembinaan jati diri sebagai pemimpin yang memiliki karisme dan disegani. Demikianlah nilai kepimpinan yang harus ada pada setiap individu bak kata perbidalan, kok kaya tumpang hartanya, kok cerdik tumpang akalnya.

Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum turut memberi impak untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan menjadi penawar yang paling mujarab bagi mengelak sebarang prasangka dan adu domba. Oleh itu, kokurikulumlah wadah yang paling relevan untuk menjalinkan perpaduan, hubungan mesra, setia kawan dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk. Sehubungan dengan itu, inilah suatu jaminan untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu di bawah payung sebuah negara yang sejahtera. Dalam memupuk semangat perpaduan, beberapa aktiviti seperti sukan, penyertaan dalam badan beruniform dan kem jati diri boleh dijadikan jambatan untuk mempererat hubungan silaturahim kerana pelajar yang selalu aktif dalam aktiviti kokurikulum biasanya lebih cepat mesra, bertolak ansur, dan berfikiran terbuka.

Impak lain yang bakal diperoleh melalui penglibatan dalam kokurikulum adalah dapat membina prinsip dan disiplin diri yang teguh. Hal ini demikian kerana, disiplin merupakan anak kunci kepada semua hasil kerja yang berjaya. Berdasarkan tokoh-tokoh ternama seperti Thomas Alva Edison, Oville dan Wilbur Right, Bill Gate dan ramai lagi, kejayaan mereka berada di puncak kegemilangan adalah didorong oleh disiplin yang ketat. Sesungguhnya, unsur inilah yang mahu diperkasakan ke dalam diri remaja apabila mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum. Mereka dikehendaki patuh kepada ketepatan masa, menjalankan tugas mengikut peraturan, dan perlu merancang sesuatu aktiviti dengan baik. Sehubungan dengan itu, kokurikulum boleh dijadikan platform untuk melahirkan remaja yang teguh jati diri dan berdisiplin.

Nilai-nilai kesyumulan dan pemurnian rohani seseorang insan hendaklah dibentuk sejak awal, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Insan syumul ialah individu yang tahu akan tanggungjawab terhadap Tuhannya, amanah kepada diri sendiri dan masyarakatnya. Proses membentuk jiwa yang syumul perlu melalui tatacara tajdid dan ‘tazkiyah’ iaitu proses penyucian hati nurani. Penglibatan dalam pelbagai aktiviti kokurikulum merupakan matlamat tersirat untuk membentuk jati diri yang bersih dan kaya dengan nilai-nilai murni. Mereka amat jujur, ikhlas dan berjiwa patriotik lagi cakna akan perasaan kasih sayang kepada sesama insan dan alam sekitarnya. Seyogialah, penglibatan dalam aktiviti kerohanian seperti perkhemahan rohani, perkampungan solat dan aktiviti gotong-royong boleh melahirkan insan yang sedar diri dan peka terhadap denyut nadi masyarakat di sekitar mereka. Sesungguhnya, inilah watak yang bakal menggalas tanggungjawab terhadap negara sejajar dengan kata-kata motivator tersohor, Dato Dr Mohd Fadzillah Kamsah, “Seseorang yang baik, ketiadaannya dicari, kehadirannya dinanti, kepergiannya dirindui, kematiannya ditangisi dan kebaikannya diteladani”.

Tokoh falsafah agung Yunani, Aristotle pernah menyatakan, “Kejayaan sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada kualiti rakyatnya yang sentiasa berfikiran positif dan dinamik.” Oleh hal yang demikian, dalam usia remaja rakyat perlulah dididik dengan nilai-nilai jati diri dan serba boleh. Oleh sebab itu, para pelajar yang berada di bangku sekolah hendaklah menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai platform untuk mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara, bangsa dan agama.


Sumber : Tn Hj Ishak Md Shah [Modul Mahir Mengarang] 

No comments: