Pengetahuan tentang sejarah dikatakan teras kepada pembentukan tamadun sesuatu bangsa. Malangnya sejak akhir-akhir ini sindrom buta sejarah telah melanda generasi muda.
Ulaskan pendapat anda tentang kewajaran kerajaan mewajibkan lulus mata pelajaran sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perbuatan
mengoyak-ngoyak Jalur Gemilang, mempersendakan kalimat dalam lagu Negaraku,
merosakkan sumber alam semula jadi, bersekongkol dengan musuh negara, rasuah,
dan tidak menghormati undang-undang adalah antara anasir kerendahan
budi bahasa dan lunturnya jiwa patriotik seseorang. Namun demikian, fenomena
seumpama itu seolah-olah menjadi kepuasan kepada sesetengah individu untuk
menunjukkan diri mereka hebat. Mereka berbangga apabila dikatakan berjaya merobek-robek
sistem perundangan, peradaban, dan budaya masyarakat. Tingkah laku keji seperti
ini sudah pasti boleh meruntuhkan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat
seandainya tiada sebarang tindakan proaktif diambil. Menyedarinya, kerajaan
telah mengambil pendekatan mewajibkan subjek sejarah kepada semua pelajar,
malahan subjek tersebut diwajibkan lulus pada peringkat SPM. Walaupun terdapat
reaksi pro dan kontra, saya berpendapat langkah tersebut sebagai kena pada masa
dan situasi untuk mengembalikan hak dan maruah negara agar tidak dicacatcelakan
oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Sejak ribuan
tahun dahulu sejarah telah dijadikan sumber rujukan untuk melahirkan negara
bangsa yang sedar akan asal usul dan akar umbi tamadun. Hal demikian
amatlah penting kerana kejahilan terhadap asal usul boleh melahirkan
individu yang mudah menderhaka dan tidak mempunyai jati diri untuk berasa megah
terhadap tanah tumpah darah. Oleh itu, sejarahlah yang munjadi murabbi dan
mujadid untuk memberikan segala maklumat tentang keadaan sebenar tanah air dan
bangsa sendiri. Sama ada dalam bentuk bertulis, monumen, prasasti mahupun
serpihan, segala-galanya menjadi penting apabila boleh dirujuk sebagai bahan
sejarah. Itulah sahaja wadah yang dapat membezakan kewujudan sesebuah negara
dengan negara yang lain. Apabila rakyat telah sedar dan faham hakikat sejarah,
justeru fahamlah mereka akan tamadun tanah air sendiri. Sekiranya prakarsa ini
dapat diterjamahkan, nescaya amat relevanlah syarat wajib lulus sejarah dalam
kalangan pelajar diperkasakan semula.
Rakyat dari
satu generasi ke satu generasi akan berlalu pergi, sebaliknya negara akan terus
kekal berdaulat. Demi mempertahankan kedaulatan, maka
sejarahlah yang dapat menjelaskan tentang kedudukan sebenar masyarakat dan
sistem politik di sesebuah negara. Tanpa pengetahuan yang terdidik
tentang sejarah, sudah pasti akan lahir manusia badut yang hanya layak untuk
menjadi pelakon di pelbagai pentas. Mereka gagal menghayati akan
harga sebuah kedaulatan dan tidak teragak-agak untuk merosakkan tanah air
sendiri. Segala imej tentang tamadun, budaya, sosio politik dan ekonomi yang
telah bertapak ribuan tahun akan menjadi catatan di atas kanvas sejarah sahaja.
Oleh sebab itu, rakyat harus faham dan sedia bertolak ansur dalam kalangan
masyarakat yang menganut pelbagai ideologi, budaya dan adat resam. Rakyat perlu
menghormati antara satu sama lain dan bersatu untuk membentuk bangsa Malaysia
yang berasaskan permuafakatan dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui.
Dengan hal yang demikian, langkah kerajaan itu adalah tepat sebagai strategi
mendidik rakyat agar faham dan tahu akan sejarah terbentuknya negara Malaysia
di dalam acuan masyarakat majmuk.
Tokoh-tokoh
silam dan masa kini tidak pernah berbalah pendapat tentang pernyataan yang
menyebut, “Sejarah ialah guru yang paling benar dan sejarah tidak pernah
berbohong”. Atas kebenaran tersebutlah, sejarah menjadi elemen paling
penting untuk mendidik rakyat memahami sistem bernegara. Sejarah
merujuk kepada peristiwa yang pernah terjadi dan peristiwa yang perlu
diteladani. Oleh itu, pengalaman landskap sejarah hendaklah dijadikan sumber
untuk mengubah tingkah laku masyarakat agar faham tentang sistem pemerintahan
dan sistem bernegara. Sejarah mengajar rakyat menghargai negara, menghormati
pemimpin yang telah banyak berjasa dan menghargai betapa bahagianya
hidup dalam sebuah negara yang damai dan aman serta makmur. Sebagai rakyat
Malaysia, kita perlu mengambil iktibar daripada catatan sejarah tentang betapa
sulitnya untuk menatijahkan negara ini seperti yang wujud pada hari ini.
Pengalaman-pengalaman pahit yang telah diharungi generasi terdahulu seperti
dalam peristiwa penjajahan kuasa Barat, Perang Dunia Kedua, Darurat dan
beberapa episod pertelagahan kaum sudah cukup untuk pemimpin dan rakyat menjadi
lebih matang.
Sejarah juga
telah dikenal pasti sebagai elemen penting membantu mempercepat pembangunan
sesebuah negara. Sesebuah negara akan terus jumud sekiranya tidak
mahu belajar daripada sejarah silam. Sesungguhnya, pengalaman inilah yang telah
menjadikan beberapa negara seperti Jepun, Korea, Vietnam dan beberapa negara
Komanwel di Asia Tengah untuk bangkit menjadi kuasa ekonomi yang gagah. Semua
negara berkenaan pada awalnya pernah hancur akibat bahana peperangan yang
melanda. Namun, dengan kekuatan rakyatnya menilai semula sejarah, justeru
mereka bangkit untuk membajai semangat patriotik menjadi bangsa yang
berjaya. Hal yang sama turut dikongsi oleh Malaysia yang mampu bangkit dalam
tempoh 64 tahun sahaja selepas ratusan tahun kita dibelenggu dalam rahang
penjajahan. Pada hari ini, lihatlah sahaja di mana-mana pelosok bumi Malaysia,
harapan kejayaan sudah terhidang di hadapan mata. Benarlah hakikat bahawa,
rakyat yang kenal sejarah asal usul dan jatuh bangun bangsa mereka sahaja yang
mampu bangun untuk mengorak langkah semula.
Selain itu,
sejarah pasti terus menjadi agenda untuk melahirkan rakyat yang sentiasa bersedia
mempertahankan kedaulatan negara. Perasaan sayang dan terhutang budi
kepada negara akan membentuk peribadi rakyat yang berjiwa patriotik,
berintegriti dan berwawasan. Mereka akan bersedia pada bila-bila masa
untuk menjadi tulang belakang pertahanan negara. Panggilan keramat dalam lirik,
inilah barisan kita, yang ikhlas berjuang akan terus terpahat dalam jiwa
dan sanubari anak muda demi menggalas amanah keamanan sejagat. Pada hari ini,
walaupun negara sudah aman, panggilan jihad terus terpahat dalam jiwa
warganegara apabila ramai yang rela menyahut panggilan untuk menjalankan misi
keamanan di seluruh pelosok rantau. Sikap patriotik seperti itu sudah pasti
memberi jaminan bahawa ketenteraman dan keselamatan sosial bakal terjamin. Oleh
yang demikian itu, janganlah ada pihak yang ingin menangguk di air keruh dengan
menyatakan langkah mewajibkan lulus sejarah sebagai tindakan selangkah ke
belakang kerana kononnya sejarah tidak mempeunyai nilai komersial.
Ratusan tahun
kita berjuang untuk mengembalikan maruah dan kemerdekaan tanah air. Kini
setelah 59 tahun negara mengecapi kemerdekaan setiap rakyat harus merasai
sendiri denyut nadi mengecapi nikmat kemerdekaan. Kita perlu ingat bahawa,
mempertahankan kemerdekaan dan kemakmuran yang telah lama dikecapi adalah lebih
susah. Oleh itu, seandainya wujud sikap talam dua muka akibat
buta sejarah maka amat wajarlah kerajaan mengambil langkah segera untuk
mewajibkan syarat lulus sejarah dalam peperiksaan seandainya langkah tersebut
boleh menyelamatkan masa depan negara.
Sumber : http://ishakmdshah.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment