24/01/2021

TUDINGAN AKHIR KARANGAN SPM (4)

Soalan 8
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam usaha menggalakkan anak-anak mementingkan keindahan alam sekitar.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menjaga keindahan alam sekitar.

Pendahuluan : Memetik sepotong peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke batang jua, menunjukkan bahawa anak-anak sudah pasti menuruti ibu bapa dalam hal tingkah laku dan sikap. Mengambil iktibar daripada peribahasa tersebut, amatlah penting kepada ibu bapa untuk menanami anak-anak dengan segala bentuk amalan yang positif seperti amalan berjimat cermat, kebersihan, dan budaya hormat-menghormati. Kebersihan adalah antara elemen yang perlu diperkasakan dari rumah sekiranya tingkah laku bersih hendak didominasikan dalam masyarakat. Pelbagai langkah dan inisiatif perlu dilagangkan oleh ibu bapa agar anak-anak akan lahir dari dalam acuan tingkah laku yang baik yang dijanakan oleh ibu bapa. Hal sama pasti boleh dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.

Isi 1 :  Menanamkan dalam diri anak dengan sifat iman dan takwa – orang beriman sentiasa percaya akan adanya Allah dan percaya kepada ganjaran baik buruk – mengotori alam sekitar dan memusnahkan sumber-sumbernya merupakan dosa besar – sebaliknya jikalau menjaga kebersihan memperoleh pahala

Isi 2 :  Melazimi anak-anak dengan persekitaran yang bersih, sihat dan tenang – amalan kebersihan bermula dari rumah – gaya hidup dalam rumah tangga yang mengutamakan kebersihan – seluruh anggota keluarga memainkan peranan masing-masing

Isi 3 :  Menjalankan aktiviti rutin harian dan mingguan menghiaskan dan mencantikkan persekitaran rumah – penglibatan seluruh ahli keluarga – bergotong royong membersihkan kawasan, menanam pokok-pokok hiasan dan menjaga kebersihan

Isi 4 :  Ibu bapa bertanggungjawab membawa anak-anak berdarmawisata ke pusat-pusat pelancongan – membentuk sikap anak yang suka akan kebersihan dan keindahan – memperoleh idea atau konsep baru untuk dibawa balik ke rumah

Isi 5 :  Ibu bapa menyediakan bahan-bahan bacaan, video dan gambar tentang tempat-tempat yang indah dan menarik (Al Hamra di Sepanyol, Istanbul di Turki, dan kawasan-kawasan indah di seluruh dunia)

Kesimpulan : Sesungguhnya, tepatlah kata-kata bahawa, anak-anak apabila diajar erti kasih sayang mereka akan belajar mengasihi, apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab, dan apabila mereka diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi sumber rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Baik perihal yang ditunjukkan, justeru baiklah anak-anak.



Soalan 9
Aktiviti riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selain dapat menyihatkan badan.

Ulas pernyataan di atas.

Pendahuluan :  Kehidupan pada hari ini sungguh mencabar. Pelbagai cabaran yang mewarnai kehidupan kita. Bermula dengan cabaran di dalam rumah tangga hinggalah cabaran di tempat kerja. Pelbagai masalah yang kadang-kadang boleh memisahkan insan-insan tersayang. Memandangkan kesibukan telah menjadi penghalang ikatan kasih sayang dalam keluarga, justeru kesempatan mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga amatlah digalakkan. Hal demikian bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan keluarga semula, malahan dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Oleh hal yang demikian, setiap peluang keemasan untuk bersama-sama keluarga beriadah dan berekreasi hendaklah diisi dengan sebaik mungkin.

Isi 1 :  Dapat mengikat tautan keluarga agar lebih rapat – wujud sikap saling menolong dan saling menyokong.

Isi 2 :  Dapat bertukar-tukar fikiran dan berbincang secara santai – melupakan sejenak masalah dalam rumah tangga dan masalah di tempat kerja – menyihatkan minda dan mengembalikan tenaga

Isi 3 :  Dapat menikmati keindahan dan kesaujanaan alam secara bersama – bersama-sama mensyukuri akan rahmat Tuhan – saling bermuhasabah dan membuat koreksi peribadi

Isi 4 :  Berkongsi pendapat menyelesaikan masalah – apabila berhadapan dengan cabaran dalam masa aktiviti (dalam aktiviti riadah) – saling menguji ketahanan, kekuatan dan ketabahan

Isi 5 :  Aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti hidup – kesihatan fizikal dan mental – ketenangan dan keseimbangan emosi – melahirkan zuriat yang sihat – cergas fizikal dan cerdas minda

Kesimpulan : Keluarga ialah harta dan dalam masa yang sama menjadi teman penghibur serta menyejukkan jiwa yang lara. Oleh itu, kesinambungan keluarga yang sihat, aktif dan harmoni hendaklah dilestarikan agar hidup sentiasa riang dilingkungi oleh keluarga yang bahagia dan harmoni.

         *     boleh diubahsuaikan untuk dimensi masyarakat atau dimensi diri


Gaya hidup sihat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam pelbagai aspek kehidupan.
Jelaskan peranan ibu bapa untuk memastikan ahli keluarga mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Pendahuluan : Gejala serangan pelbagai penyakit yang menggerunkan dan luar biasa sejak belakangan ini amat dibimbangi oleh warga dunia. Beberapa ancaman wabak seperti SARS, ILI, HINI, Aids dan pelbagai penyakit benar-benar menggemparkan masyarakat dunia pada dekad-dekad belakangan ini. Selain wabak yang berskala besar seperti itu, ancaman kesihatan yang bersifat domestik seperti denggi, barah, dan penyakit kronik masih membelenggu masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah digemblengkan oleh WHO dan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menangani ancaman gejala penyakit, namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan apabila semua pihak sentiasa prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat sebagai keutamaan. Inisiatif  seperti itu hendaklah turut disokong oleh institusi keluarga khususnya ibu bapa selaku penggerak utama pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat.
Isi 1:  Keluarga perlu menjadikan agenda kesihatan penting setanding dengan keperluan asas yang lain – kesihatan diambil sebagai suatu budaya dalam hidup – dalam konteks mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Isi 2:  Bertanggungjawab memantapkan kedudukan ekonomi rumah tangga – kesihatan amat berkait rapat dengan kedudukan kewangan terutama untuk memenuhi segala keperluan asas
Isi 3:  Mengamalkan pendidikan kesihatan dalam keluarga – keutamaan kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – mendedahi anak-anak dengan maklumat dan input kesihatan seperti bahan bacaan, kempen, dan amalan harian
Isi 4:  Mengutamakan makanan untuk kesihatan daripada makan untuk kepuasan – memberi perhatian serius terhadap nasihat dan panduan dalam piramid makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan halal (berpegang kepada falsafah pembentukan peribadi bermula daripada pemakanan yang baik dan berkhasiat)
Isi 5:  Melatih  anak-anak dengan rutin kesihatan – tidur yang cukup,  senaman yang sempurna, amalan kebersihan, dan peka terhadap segala anasir serangan penyakit.
Isi 6:  Peka terhadap kesejahteraan dan kebersihan alam sekitar – faham bahawa alam sekitar adalah sebahagian daripada hidup kita – menjaga kebersihan persekitaran, parit dan longkang dan menjauhi semak samun
Kesimpulan :  Mafhum daripada sepotong Hadith Nabi yang bermaksud, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”  benar-benar menyedarkan kita bahawa kesihatan  merupakan aset  besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan tamadun. Dalam merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal, keluarga hendaklah menjadi paksi utama melaksanakan segala program amalan gaya hidup sihat yang sentiasa dicanang-canangkan.





Soalan 10
Peranan membentuk keluarga bahagia tidak hanya terletak di atas bahu ibu bapa sahaja,  sebaliknya menjadi tanggungjawab semua ahli keluarga.

Tulis pendapat anda tentang peranan ahli keluarga untuk membentuk keluarga yang bahagia.

Pendahuluan :  “Air dicencang tidak akan putus, dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum semula”. Dua ungkapan daripada peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan rapat  yang berpaksikan darah daging tidak akan dapat dileraikan. Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan tersebut tidak akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi kandung daripada pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua anggota dalam keluarga.

Isi 1 : Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga - keluarga sebagai punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap mementingkan diri sendiri – sentiasa bertolak ansur dan bermusyawarah

Isi 2 : Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik - membimbing dan memandu adik-adik untuk berjaya terutama dalam pelajaran - meletakkan asas akhlak yang terpuji dengan mengamalkan tingkah laku yang baik - mengutamakan prinsip yang muda disayangi dan yang tua dihormati

isi 3 : Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri – membantu meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai langkah membalas budi ibu bapa/tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit - mempererat jalinan kasih dalam kalangan adik-beradik

Isi 4:  Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun selepas berkahwin - tidak terputus silaturahim dengan keluarga - mewujudkan keluarga besar yang harmoni, produktif, dan toleran

Kesimpulan :  Berdasarkan maksud sepotong ayat al-Quran dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan sebanyak-banyaknya”. Dengan yang demikian, jalinlah kasih syang dan silaturahim demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia.



Soalan 11
Dalam suatu pertandingan pidato di sekolah, anda dikehendaki  menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, “Peranan Ibu bapa dalam memupuk semangat patriotik dalam diri anak-anak”.
Sediakan pidato tersebut selengkapnya.

Pendahuluan :
Assalamualaikum/salam sejahtera,
Yang Dihormati, Tuan/puan Pengacara majlis, terima kasih kerana memberi izin untuk saya mengambil giliran berpidato. Yang Arif lagi adil serta bijaksana panel/juri hakim. Tuan-tuan dif kehormat dan seterusnya rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Hadirin sekalian,
Sebelum bahtera pidato ini saya layari untuk menempuh gelombang berhujah, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk merungkai akan maksud tersurat dan tersirat mauduk, “Peranan Ibu bapa dalam memupuk semangat patriotik dalam diri anak-anak”. Maksud yang terkandung ialah peranan dan komitmen ibu dan bapa dalam usaha menanami anak-anak dengan jiwa yang subur lagi cakna terhadap maruah bangsa dan negara. Mereka rela berputih tulang asal tidak berputih mata demi tanah sebidang yang menjadi milik bangsa. Mereka tega mempertahankan kedaulatan demi leluhur merdeka. Demikianlah sebuah pengertian anak-anak yang terdidik dengan semangat patriotik lantas bersedia mempertahankan bumi yang dipijak nescaya langitnya dijunjung.

Isi 1 :  Ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menjiwai semangat merdeka dan patriotik yang tinggi – anak-anak cenderung belajar mengikut didikan oleh ibu bapa sejak kecil
Isi 2 :      Ibu bapa sentiasa menanamkan perasaan bangga, selamat dan bebas berada dalam sebuah negara yang berdaulat, merdeka, aman serta makmur – anak-anak faham akan hakikat bangsa Malaysia yang hidup di bumi bertuah ini
Isi 3 :      Mendidik anak-anak agar tahu berterima kasih kepada para pemimpin dan pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air – mereka berbangga akan panji-panji kemegahan negara serta kenal akan fungsi-fungsi institusi Raja berperlembagaan
Isi 4 :      Mendidik sikap mahmudah seperti bersyukur dan bertanggungjawab untuk membangunkan negara yang tercinta – sentiasa terbina dalam hati dan sanubari cita-cita untuk membangunkan negara.
Isi 5 :      Memupuk kesedaran untuk menjalinkan semangat kerjasama dan saling bertoleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum – sebagai asas terpenting mewujudkan perpaduan dan keamanan negara
Kesimpulan : Benarlah hakikat yang menyatakan subur pokok kerana tanahnya, justeru subur manusia kerana induknya. Anak yang baik dan terdidik adalah yang datang daripada ibu bapa yang sentiasa berpandangan jauh. Oleh itu, demi kelangsungan sebuah negara yang berdaulat, justeru kepemimpinan yang beralih tangan dari generasi ke generasi hendaklah ditunjangi oleh warga yang bersemangat patriotik. Dalam hal ini, ibu bapalah yang menjadi sekolah dan universiti terulung untuk membentuk semangat patriotik dalam kalangan anak-anak.

Soalan 12

Amalan lama seperti budaya tegur-menegur dalam kalangan masyarakat hendaklah disuburkan semula.
Huraikan langkah-langkah untuk mengembalikan budaya tersebut.

Pendahuluan : Kita hidup sandar-menyandar, bak aur dengan tebing. Kita terus berpegang dengan amalan murni budaya lama ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah dan hati kuman sama dicecah. Kehidupan seperti inilah yang bakal menjanakan sebuah masyarakat yang prihatin, dinamik, dan progresif. Walau bagaimanapun, akibat perubahan zaman yang dibelenggu dengan hambatan mengejar kerjaya dan kehidupan yang semakin kompleks, manusia mula mengabaikan tradisi mulia itu. Kini kehidupan dirasakan terlalu rumit, merimaskan dan tiada roh kesejahteraan. Demi menjadikan kehidupan kita lebih bermakna, seyogialah kita kembalikan semula amalan lama dengan menyuburkan budaya tegur-menegur dalam kalangan masyarakat.
Isi 1 :      Menghidupkan semula tradisi masyarakat silam – masyarakat silam terlalu kuat ikatan kejiranan dan kasih sayang – menyuburkan tradisi kunjung-mengunjung - tradisi bergotong-royong, unjuk-mengunjuk, memberi dan menerima hendaklah diperkasakan dalam masyarakat (sedikit tanda ingat dan banyak tanda ada)
Isi 2 :      Berusaha memupuk persefahaman dan saling hormat sesama jiran tetangga – jiran ibarat saudara mara sendiri - sentiasa bersama dalam menghadapi sebarang masalah besar atau kecil - tidak membezakan status dalam masyarakat – tiada perbezaan pangkat, miskin atau kaya - amalan menegur kesalahan dengan nasihat secara ikhlas – amalkan tanggungjawab ‘anakku anakkau’ dan ‘anakkau anakku’
Isi 3:  Mengembalikan tradisi secara contoh dan teladan - kalangan berpengaruh dalam masyarakat hendaklah menjadi role model - ibu bapa mengajarkan anak-anak cara-cara menghormati orang yang lebih tua - pemimpin sentiasa mendekati rakyat – sentiasa berinteraksi secara sopan, jujur, dan telus
Isi 4: Saling membantu dan menyokong dalam urusan harian – boleh memperkukuh jalinan kejiranan - golongan berada sentiasa menjadi tempat merujuk golongan miskin manakala yang miskin menghormati dan menyokong yang berada - mengadakan jamuan dan kenduri-kendara – tidak mengukur nilai kebendaan tetapi ikhlas sebagai paksi perhubungan mesra
Isi 5: Golongan tua sentiasa dijadikan pakar rujuk – sebagai menghormati taraf mereka dalam masyarakat - menghargai pengalaman dan usia mengatasi darjat dan pangkat - golongan muda sentiasa dinasihati - tidak wujud jurang yang terlalu dalam antara generasi – elakkan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar dalam masyarakat

Kesimpulan :  Walaupun amalan tradisi nenek moyang itu semakin terhakis dalam kehidupan masyarakat global, namun rohnya masih dirasai oleh sebahagian masyarakat di pedalaman. Oleh hal yang demikian, amalan yang sudah menjadi budaya ini elok dihidupkan kembali agar kehidupan bermasyarakat lebih harmoni dan riang.




No comments: