24/01/2021

TUDINGAN AKHIR KARANGAN SPM (3) Semangat Kejiranan

Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa untuk Menyuburkan Semangat Kejiranan

 

Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Buktinya, negara kita semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu, isu longgarnya semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan rakyat di Malaysia. Masyarakat pada hari ini dikatakan lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi istilah syarak, jiran bermaksud orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, depan, belakang, atas mahupun di tingkat bawah hingga 40 biah rumah dari setiap penjuru. Dalam perkataan Arab, jiran membawa maksud orang yang tinggal sebelah menyebelah atau tetangga. Dari segi konsepnya semangat kejiranan membawa erti satu suasana dan perhubungan yang positif dalam satu-satu kawasan tempat kediaman. Perasaan tersebut harus dipupuk oleh setiap masyarakat  yang tinggal berdekatan dengan rumah atau tinggal setempat (kawasan kejiranan) sama ada di kiri, dan kanan, hadapan atau belakang, atas dan bawah bagi rumah flat atau kondominium tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan dan mereka merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ahli keluarga untuk memupuk semangat kejiranan?

 

Cerdik pandai menyatakan bahawa cahaya yang cerah adalah bermula daripada lampu di tengah rumah. Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke arah kemajuan negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.

 

          Lain daripada itu, minhaj untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah ibu bapa menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam aktiviti sosial di kawasan kediaman. Aktiviti seperti hari keluarga, Sukaneka dan program rukun tetangga di kawasan perumahan wajar dihidup dan dibugarkan semula. Aktiviti ini boleh dijalankan sama ada di padang, taman rekreasi atau empat-tempat lain yang sesuai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak turut serta dan setiap ahli keluarga menyertai sebarang pertandingan yang disediakan. Organisasi seperti rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan dan kemajuan taman atau kampung juga perlu didedahkan kepada ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Ghalibnya, senario ini akan mewujudkan jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku yang mementingkan semangat bantu-memabntu antara satu sama lain sekali gus memupuk semangat kejiranan yang kental. Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mengaktifkan diri dalam aktiviti sosiall dan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

 

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ahli keluarga agar amalan ini terus subur dalam masyarakat. Meninjau dari skop yang lain, langkah seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa ibu bapa seyogia membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti gotong-royong agar apat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

 

Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, ibu bapa perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikul, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan membuang jauh-jauh sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

 

Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.

 

* Jika soalan tentang peranan ahli keluarga, sila nyatakan juga peranan ahli keluarga yang lain.

No comments: