Soalan
4
Anda mengambil bahagian
dalam pertandingan pidato peringkat sekolah. Tajuk pidato anda ialah, “Ibu Bapa
Pendorong Anak-anak Dalam Merealisasikan Budaya Membaca”.
Sediakan teks pidato itu
selengkapnya.
Pendahuluan 1
Apabila kita menoleh semula
kepada sejarah kemajuan manusia, perihal membaca merupakan suatu
wahana yang menjadi enjin utama untuk sesuatu bangsa itu maju. Dalam sejarah
Islam juga, permulaan madani bermula dengan membaca apabila Nabi Muhammad SAW
menerima wahyu pertama di Gua Hira dengan asas membaca. Seterusnya membaca
terus menjadi nadi kejayaan Zaman Renaisance apabila banyak sumber bacaan dalam
tamadun Islam berpindah tangan kepada masyarakat Barat selepas berakhirnya
Perang Salib. Revolusi ciptaan mesin cetak yang bermula di Jerman telah membuka
dimensi pembacaan sebagai sangat penting yang menganjak manusia menemukan
pelbagai ciptaan moden hasil pembacaan. Oleh itu, tradisi warisan turun-temurun
ini hendaklah diteruskan khususnya dalam kalangan keluarga untuk membudayakan
amalan membaca dalam kalangan anak-anak.
Isi 1 : Ibu bapa perlu
menjadikan aktiviti membaca sebagai agenda wajib dalam rumah tangga – membaca hendaklah menjadi
amalan penting setaraf dengan keperluan asasi yang lain seperti makan, minum,
riadah dan semua aktiviti keluarga
Isi 2 : Ibu bapa hendaklah
menunjukkan karisme sebagai golongan terpelajar dan berfikir – mencetuskan idea-idea baru,
bernas dan matang melalui pengalaman membaca – melahirkan rasa bangga kepada
anak-anak atas kebolehan ibu bapa
Isi 3 : Mewujudkan
persekitaran yang kondusif untuk membentuk tabiat membaca – melengkapkan semua sudut di
dalam rumah dengan prasarana membaca dan bahan-bahan bacaan yang pelbagai
bidang
Isi 4 : Cuba memahami
watak dan kecenderungan anak-anak – menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan
minat mereka
Isi 5 : Mencuri peluang
untuk menanamkan sikap suka berfikir secara intelektual – pemikiran kelas pertama melalui
kegiatan membaca – sesi sumbang saran dan pendapat dalam kalangan ahli keluarga
Kesimpulan : Dalam semua kecenderungan
dan kejayaan anak-anak, sudah pasti ibu bapa adalah sebagai penjana utama.
Walaupun tidak dinafikan aspek minat, kecerdasan dan bakat menjadi penentu
jalan hidup anak-anak, namun ibu bapa berperanan penting untuk mewarnakan
mereka dengan betul. Oleh itu, budaya membaca dalam keluarga akan menjadi
mangkin kepada kejayaan anak-anak dalam apa-apa bidang yang mereka minati.
*
ubah suai menjadi pidato
Kempen
galakan membaca yang dijalankan saban tahun masih gagal untuk menjadikan budaya
membaca sebagai amalan hidup masyarakat di negara ini.
Huraikan
tanggungjawab sesebuah keluarga untuk memupuk amalan membaca.
Apabila seseorang itu
cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada
Surah al-Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah
merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap
kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan
umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun
demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat
Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat
umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan.
Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan
tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan
sesuatu amalan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan
peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.
Berpandukan
peribahasa, cahaya yang cerah bermula daripada lampu di tengah rumah
membuktikan semua amalan yang baik hendaklah bermula daripada keluarga.
Demikianlah dengan budaya membaca, keluargalah yang perlu membudayakan amalan
tersebut. Amalan membaca perlu dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan.
Apabila sudah menjadi budaya, justeru semua pihak akan berasa seperti suatu
keperluan untuk membaca. Setiap ahli keluarga terutama ibu bapa harus
menjadikan diri mereka umpama lampu yang menyinari kehidupan keluarga. Lampu
tersebut sudah tentulah sikap yang gemar kepada percambahan ilmu melalui
tradisi membaca. Dalam tradisi Islam, setiap anak perlu dididik dengan amalan
membaca Al Quran sejak berumur lima tahun lagi. Oleh itu, amalan ini haruslah
diperluas kepada bidang pengetahuan yang lain melalui amalan membaca.
Seandainya aktiviti lain seperti menonton televisyen, beriadah dan makan
bersama boleh dibudayakan, masakan amalan membaca tidak boleh dilaksanakan?
Barangkali inilah persoalan yang perlu dijawab oleh sebahagian besar institusi
keluarga.
Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan
bahawa, segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi
turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar
membaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah
sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat
positif dalam kalangan anak-anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari
maklumat baru dengan membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu
aktiviti penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang
daripada usia mereka. Malang sekali, belakangan ini akibat tekanan kerja dan
masa yang terhad minat membaca dalam kalangan ibu bapa sendiri pun amat rendah.
Masing-masing telah terbawa-bawa dengan gaya hidup baru yang tidak boleh lekang
dengan budaya ‘whatsapp’, ‘facebook’, ‘twiter’ dan ‘instagram’ mereka.
Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan manusia
pascamileum terperap dalam kepompong kebodohan ciptaan sendiri.
Ibu
bapa juga bertanggungjawab menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang
mencukupi kepada anak-anak. Hal ini amatlah
mustahak kerana kebanyakan ibu bapa masa kini cukup serius dalam menyediakan
keselesaan fizikal kepada anak-anak seperti bilik tidur berhawa dingin,
peralatan gajet dan set televisyen. Akhirnya, semua kemudahan tersebut akan
melalaikan anak-anak daripada membaca. Tidak salah kepada ibu bapa untuk
melengkapi anak-anak mengikut kemampuan, namun tugas yang paling utama untuk
mempertajam minda anak-anak tidak boleh diabaikan. Justeru, ibu bapa hendaklah
menyediakan kemudahan pembacaan dan mempelbagaikan bahan bacaan mengikut minat
dan tahap. Dalam mimilih bahan bacaan juga, ibu bapa tidak boleh cakap banyak
atas permintaan anak-anak kerana minat dan bakat sememangnya tidak pernah sama
hatta dengan ibu bapa sekalipun. Dengan sebab itu, kenalilah minat anak-anak
serta didiklah mereka menjadi insan yang berjaya menyelak jendela ilmu dengan
gemar membaca dan meneroka perkara-perkara yang baharu.
Langkah
yang paling proaktif, ialah ibu bapa perlu meluangkan masa mengadakan
rutin tetap mingguan atau bulanan untuk berkunjung ke kedai buku atau pameran
buku. Aktiviti
sambil menyelam minum air ini akan memberi suntikan baru kepada anak-anak untuk
gemar membuat koleksi bahan bacaan. Anak-anak akan terasa diri mereka dihargai
atas kesudian ibu dan ayah membawa mereka bersiar-siar dan bersantai di samping
memberi mereka ‘baja’ minda dengan berkunjung ke kantor-kantor bacaan untuk
memberi inovasi dan perspektif baru kepada anak-anak tentang perkembangan dunia
buku. Sekiranya usaha ini diperkasakan oleh setiap keluarga di Malaysia,
nescaya dalam satu dekad lagi kita akan dapat melihat rakyat Malaysia akan
bergulat dengan buku sama ada di dalam bas, LRT dan di mana-mana sahaja tempat
yang masanya terluang.
Hidup dengan membaca
ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca
umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana
melalui huruf dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, keluarga
yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai sedang mengembara ke seluruh pelosok
alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli keluarga dengan amalan
membaca.
Aktiviti
membaca seharusnya menjadi amalan masyarakat kerana bangsa membaca bangsa yang
berjaya.
Ulaskan pernyataan tersebut.
Pendahuluan
: Dalam beberapa ungkapan peribahasa banyak juga
yang membuat perbandingan perihal golongan cerdik dengan yang bodoh. Peribahasa
seperti si bodoh menjadi makanan si cerdik, menggambarkan kecerdikan dan
kepintaran menjadi keutamaan dalam masyarakat. Demikian pula dengan sepotong
maksud ayat dalam Al Quran yang menyatakan, “Adakah sama golongan yang berilmu
dengan golongan yang jahil?”. Kedua-dua ungkapan indah tersebut memberi gred
tertinggi kepada golongan yang bijak dan berilmu. Oleh itu, apakah ciri utama
untuk menjadi golongan yang berilmu? Pemilikan ilmu tidak dapat ditiadakan
dengan tradisi membaca. Oleh sebab itulah dalam tamadun Islam sendiri, Firman
yang pertama yang turun kepada Nabi SAW ialah surah Al-Alaq dengan membawa
arahan membaca. Ketinggian darjat golongan yang gemar membaca akan meletakkan
mereka sedarjat lebih tinggi daripada golongan biasa kerana dibezakan oleh
ilmu. Oleh itu, membacalah demi mengaut segala khazanah ilmu.
Apabila kita telusuri semula sejarah panjang tamadun
Islam, kecemerlangan tamadunnya adalah berpaksikan ilmu pengetahuan. Tradisi
membaca yang amat ditekankan dalam Islam telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh
agamawan dan ilmuwan yang tersohor. Daripada pembacaan yang penuh berdisiplin
itulah, justeru lahirlah tokoh-tokoh Islam yang amat hebat seperti ibnu Sina,
Al Farabi, Imam Malik, Imam Shafie dan banyak lagi. Al Quran sebagai kitab
teras dalam kepercayaan Islam telah memuatkan pelbagai khazanah ilmu yang
meliputi empat paksi utama ilmu iaitu Akidah, Ibadat, Jinayat dan Munakahat.
Penganut Islam yang benar-benar membaca dan menghayati isi kandungan Al Quran
telah berjaya mengangkat syiar Islam ke seluruh empat penjuru alam. Pernah
dikhabarkan, ketika kejatuhan kerajaan Abasiyah di tangan kuasa Mogul, air
sungai Furat telah menjadi hitam pekat kerana cairan dakwat daripada buku-buku
yang dibuang ke dalam sungai. Begitulah gambaran hebatnya budaya ilmu dalam
kalangan generasi Islam zaman awal.
Perang Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa
tradisi membaca telah mengangkat martabat sesuatu bangsa. Hal tersebut berlaku
apabila tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh Richard The Lion
Heart telah memperoleh inspirasi budaya Ilmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab
ilmu yang telah dibawa balik lalu diterjemahkan ke bahasa Latin. Akhirnya
berkembanglah suatu lagi tamadun yang terbina di atas budaya membaca. Permulaan
zaman Renaissance di Eropah benar-benar terbentuk hasil menelaah dan mengkaji
segala sumber ilmu yang bermula dengan tamadun Islam. Akhirnya, hingga kini
Eropah telah menjadi ‘kiblat’ perkembangan ilmu seperti falsafah, tamadun dan
teknologi. Bangsa Eropah bangkit daripada zaman gelap menjadi bangsa yang
mengeksport ilmu. Demikianlah betapa hebatnya amalan membaca.
Berbalik kepada era moden, tradisi membaca telah
menjadi penanda aras utama kepada pencapaian luar biasa beberapa negara kuasa
ekonomi dunia. Negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara
baru di Eropah telah menjadi kuasa ekonomi dunia. Walaupun potensi ekonomi
mereka agak terhad, namun kuasa ilmu telah berjaya mengangkat negara-negara
tersebut untuk terus bersaing dalam pasaran teknologi moden. Jepun yang amat
dikenali dengan kekuatan membaca dalam kalangan rakyatnya memang sukar
ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika sekalipun. Rakyat Jepun
dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku dalam setahun. Kini dua
lagi kuasa baru di Asia Timur jauh iaitu Korea Selatan dan Taiwan turut
bersaing hebat dalam bidang teknologi. Pada hari ini rakyat Korea Selatan amat
disegani oleh dunia luar apabila teknologi android mereka dalam penghasilan
telefon pintar Samsung telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah beberapa
petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana bangsa membaca bangsa yang berjaya.
Amalan membaca sekali gus dapat membawa sesuatu bangsa
untuk keluar dari zon jumud kepada intelek. Hakikatnya, rakyat Malaysia pada
era penjajahan telah dianggap sebagai bangsa bodoh yang boleh dijajah dan
dicucuk hidung. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa Malaysia
juga mula celik ilmu sebaik negara mencapai kemerdekaan. Akhirnya rakyat
Malaysia mula menuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Kita mula menjadi bangsa
pencinta ilmu dan bermulalah tradisi membaca. Penubuhan pelbagai institusi
pengajian sama ada rendah, menengah mahupun tinggi telah memberi peluang rakyat
menggali pelbagai cabang ilmu seperti bahasa, sejarah, keagamaan dan teknologi.
Walaupun hakikat minat membaca rakyat Malaysia masih rendah jikalau hendak
dibandingkan dengan rakyat Jepun, namun kesedaran ke arah itu telah bermula.
Hasil kesedaran terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kini kita telah muncul
sebagai salah sebuah Negara Dunia Ketiga yang cukup pantas berkembang.
Demikianlah suatu dimensi baru dalam budaya membaca untuk meletakkan kita duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.
Kesimpulannya, memetik nukilan Saiyidina Ali KW,
“Tuntutlah ilmu kerana ilmu menjaga kamu dan kamu menjaga harta. Ilmu apabila
diperdagangkan bertambah dan harta apabila diperdagangkan berkurang,
membuktikan bahawa ilmulah yang menjadi harta paling kekal. Demi sebutir ilmu,
justeru membacalah yang menjadi wadah utama. Sebagai bangsa yang masih baharu,
kita masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau tradisi
membaca terus diperkasakan, insya-Allah kita juga akan menjadi bangsa yang
berjaya.
Soalan
5
Kes salah
laku seperti vandalisme, buli dan tidak menghormati guru kerap berlaku di
sekolah belakangan ini. Situasi ini menggambarkan amalan budaya penyayang
semakin luntur dalam kalangan pelajar.
Sebagai
seorang pelajar yang bertanggungjawab jelaskan peranan anda dalam
memupuk budaya penyayang di sekolah.
Sejak tiga dekad belakangan, sering
didengari kenyataan yang menyebut, bahawa orang Melayu sebagai bangsa Asia yang
sangat tinggi nilai hormat dan bersopan santun. Malah nilai itulah yang telah
mengangkat imej Malaysia untuk dikenali di seantero alam. Namun, selepas
dilanda pelbagai arus perubahan dan ancaman globalisasi yang semakin pantas,
nilai-nilai murni itu semakin memupus dalam budaya dan tradisi masyarakat
Melayu. Kini dalam pola masyarakat majmuk, masyarakat Malaysia kelihatan
kompleks. Tiada lagi nilai sopan santun dan hilang budaya hormat dan berkasih
sayang. Hukum sesiapa yang kuat dia menang, yang cepat dia dapat, dan yang
megah dia gagah sedikit demi secara sedikit membentuk pola baru imej bangsa
Malaysia pada abad milenium ini. Oleh itu, sebagai anak muda saya perlu
menghayati semula nilai-nilai murni masyarakat agar budaya hormat dapat
dinobatkan semula.
Isi-isi penting :
Isi 1 : saya perlu menjadi pelajar
yang proaktif dalam mengamalkan akhlak yang terpuji– mempamerkan sikap dan tingkah laku
yang baik – disenangi rakan dan para guru
Isi 2 : menjadi pelajar yang mudah
didekati – senang berkawan, cepat mesra,
peramah dan menghormati rakan – menjadi pelajar yang luhur budi bahasa serta
patuh kerpada perintah Tuhan
Isi 3 : mengamalkan prinsip dan
identiti diri/jati diri –
tidak mudah terikut-ikut dengan perangai buruk rakan – tegas dan berani kerana
benar
Isi 4 : belajar secara istiqamah – menjadi pelajar yang
cemerlang akademik – ikhlas membantu rakan untuk berjaya dalam akademik
Isi 5 : penglibatan dalam aktiviti
kokurikulum – proses bergaul dengan
rakan-rakan secara sihat – menyumbang kejayaan kepada sekolah – mengangkat imej
sekolah agar tersohor di persada negara
Kesimpulan : Hidup pokok berbuah, hidup
manusia berjasa ialah ungkapan peribahasa yang mendorong seseorang itu agar beriltizam
untuk menyumbangkan khidmat dan jasa. Budaya penyayang seandainya dipupuk dan
dibaja boleh memberi natijah kepada lahirnya masyarakat yang bertanggungjawab
dan prihatin. Oleh hal yang demikian, saya sangat teruja untuk berada di
tengah-tengah khalayak bagi meuar-uarkan idea yang baik ini agar terbentuk juga
masyarakat yang berbudaya, beretika serta penyayang. Sesungguhnya, inilah
Malaysia yang menjadi harapan kita menjelang dekad yang akan datang.
Sumber : http://ishakmdshah.blogspot.my/
No comments:
Post a Comment