20/01/2021

Perhimpunan Rasmi Sekolah : Kepentingannya

 


Dalam era globalisasi ini, perhimpunan mingguan sekolah sering dipandang remeh oleh para pelajar. Dari segi konsepnya, perhimpunan mingguan sekolah merupakan salah satu aktiviti yang lazimnya diadakan pada pagi setiap hari Isnin dengan menghimpun semua murid dan guru di sesuatu tempat. Perhimpunan mingguan sekolah merupakan agenda pendidikan yang wajib diadakan di setiap sekolah supaya maklumat yang penting dapat disampaikan kepada murid-murid oleh pengetua sekolah atau guru-guru. Kawasan lapang di sekolah atau di dewan yang dibina oleh pihak sekolah digunakan untuk menjalankan perhimpunan mingguan sekolah. Banyak manfaat dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah dalam pelbagai aspek kehidupan, pembelajaran dan disiplin ilmu sewaktu perhimpunan. Persoalan yang berlegar-legar dalam benak fikiran saya ialah apakah faedah perhimpunan mingguan sekolah? Oleh itu, faedah perhimpunan mingguan sekolah akan menjadi fokus dominan diskusi saya dalam huraian selepas ini demi kebaikan bersama. 

Sebagai mukadimah dan pembuka tirai perbincangan, mari kita capahkan lensa perbincangan dengan menyatakan bahawa perhimpunan rasmi dapat memupuk disiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian terjadi kerana pelajar harus mengikut peraturan yang ditetapkan semasa perhimpunan.  Sebagai contoh, pelajar dididik supaya menghormati majlis yang diadakan dengan berada di tempat masing-masing mengikut barisan dan menjaga tingkah laku. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka harus menumpukan perhatian dan fokus sepenuhnya semasa perhimpunan berlangsung agar tidak terlepas maklumat yang ingin disampaikan. Pelajar yang tidak berdisiplin semasa perhimpunan juga akan didenda kerana mengganggu para pelajar yang lain.  Mematuhi peraturan bukanlah sesuatu yang menyusahkan pelajar sebaliknya mendidik mereka untuk berdisiplin. Deduksinya, perhimpunan rasmi akan membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kokurikulum malah mempunyai nilai disiplin dalam diri mereka. 

Bertunjangkan idea yang relevan, mari kita lebarkan lensa perbincangan kepada skop yang lebih spesifik di bawah kata kunci melalui perhimpunan rasmi kemahiran mencatat dapat dibudayakan dalam kalangan murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana kemahiran mencatat amat penting kerana boleh dijadikan sebagai bahan rujukan apabila menghadapi kekeliruan. Bukan itu sahaja, kemahiran mencatat akan berguna apabila para pelajar perlu membuat  nota ringkas semasa guru mengajar. Manfaat ini bukan sahaja dapat digunakan semasa di alam persekolahan malah di menara gading juga. Amsalnya, bagi murid yang mempunyai kelemahan mengingat sesuatu fakta, perhimpunan rasmi dapat dijadikan sebagai asas untuk memantapkan kemahiran mencatat mereka kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Namun begitu, pelajar yang tidak peduli tentang peri pentingnya budaya mencatat di perhimpunan rasmi sekolah pula, akan menghadapi kesukaran. Sebagai penghias bicara, tidak dapat dinafikan bahawa budaya kemahiran mencatat dapat diterapkan dan dimantapkan dalam diri murid-murid natijah daripada mengadakan perhimpunan rasmi. 

Meniti kodifikasi hujah seterusnya, kita seyogia tidak boleh menutup mata terhadap fakta konkrit yang mengatakan bahawa semangat patriotik yang semakin berkurang dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat disuburkan dalam diri para pelajar dan guru-guru dengan adanya perhimpunan rasmi di sekolah. Nyanyian lagu Negaraku akan membakar semangat mereka untuk menjaga negara yang tercinta. Sebagai contoh, sambutan Bulan Kemerdekaan yang biasanya dirasmikan semasa perhimpunan rasmi juga akan menyebabkan para pelajar menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk negara. Semangat patriotisme yang disemai dalam kalangan pelajar ini akan melahirkan generasi yang cinta akan negara dan sanggup berkorban apa-apa sahaja demi negara tercinta. Sekiranya perhimpunan rasmi tidak diamalkan lagi, generasi yang bakal memimpin negara pada masa hadapan akan luntur semangat patriotik dalam diri mereka. Bilangan masyarakat yang berhijrah ke luar negara juga akan bertambah. Izharlah bahawa, perhimpunan rasmi sekolah amat penting bagi melahirkan modul insan berjiwa patriotik pada masa hadapan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 

       Bulan semakin terang, bayang semakin jelas dan diskusi ini akan diakhiri dengan kata-kata harapan saya. Di sini saya menegaskan, jelaslah terdapat pelbagai faedah perhimpunan mingguan sekolah yang diperolehi oleh warga sekolah. Kementerian Pedidikan Malaysia harus memastikan perhimpunan mingguan sekolah diadakan secara berterusan dan dan cuba untuk memanjangkan tempoh masa perhimpunan diadakan di setiap sekolah. Pihak sekolah pula mesti memastikan perhimpunan mingguan sekolah dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah. Perhimpunan mingguan sekolah tidak boleh diambil mudah kerana akan mengakibatkan kesan yang sukar ditangani pada masa hadapan jika tidak diamalkan. Malaysia sebagai Negara Cemerlang dan Terbilang dapat dijadikan kenyataan dengan perhimpunan mingguan sekolah sebagai tangga untuk mencapainya.




No comments: