Dalam menghadapi dunia semakin mencabar ini ilmu
pengetahuan dalam pelbagai bidang penting dalam kehidupan
seseorang.
Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk
menambahkan ilmu pengetahuan.[mencapai kecemerlangan akademik]
"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan "Ilmu Jambatan Hidup". Itulah antara dua kata-kata yang membuktikan bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan manusia. Pada era Revolusi Industri 4.0 atau “Internet of Things” (IoT) ini, jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu, mereka akan ketinggalan dan mereka akan mengalami kesusahan dalam kehidupan, golongan orang seperti ini boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung akan sentiasa ketinggalan dalam berbagai aspek kehidupan sama ada aspek sosioekonomi, mahupun sosiobudaya. Untuk memperoleh serta mendalami ilmu, kita perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri persis peribahasa, yang bulat tidak datang menggolek dan yang pipih tidak datang melayang. Berdasarkan kenyataan di atas, sudah terang lagi bersuluh, ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan namun bukan mudah memperolehnya, justeru seseorang itu perlu berusaha untuk menggapainya. Genggam api biarlah jadi arang, menjeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan, begitulah konsep sepatutnya menjadi pegangan kita lakukan untuk mengembangkan ilmu di dada. Bahkan ilmu pengetahuan juga mampu mengubah kehidupan keluarga kita terutama untuk memecah kepompong kemiskinan keluarga. Persoalannya, bagaimanakah kita mampu untuk menambah ilmu pengetahuan?
Mari kita bersama-sama mengupas isi
pertama iaitu cara untuk memperoleh ilmu pertama adalah melalui pembacaan. Ayat
pertama yang diturunkan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad ialah surah
Al-Alaq. Wahyu tersebut
disampaikan oleh Malaikat Jibrail dengan berkata, 'Bacalah wahai Muhammad! '
Beliau bersabda: "Aku tidak pandai membaca." Rasulullah bersabda:
"Lalu malaikat memegang dan memelukku erat-erat, ketika aku merasakan
kepayahan ia pun melepasku. Sudah terang lagi bersuluh betapa dalam Islam
konsep membaca amat diutamakan selaras dengan Surah Al-Alaq di atas, Malaikat
Jibrail meminta Rasululah membaca walaupun beberapa kali Rasulullah menyatakan
bahawa beliau tidak tahu membaca. Oleh sebab itu, sebagai khalifah di muka bumi
kita sebagai generasi yang sedar akan peri pentingnya ilmu dalam kehidupan
seharusnya membudaya membaca dalam kehidupan seharian. Sebagai khalifah pada
zaman moden pelbagai cara membolehkan kita memperoleh ilmu dengan membaca
kerana membaca gedung ilmu. Kita boleh membaca secara konvensional dengan
membaca buku pelbagai aspek ilmuan seperti bahasa, matematik, sains dan
sebagainya. Seyogia, pada zaman moden ini, maklumat di hujung jari, dunia
tanpa sempadan kerana kita boleh melayari pelbagai sumber ilmu
menggunakan pelbagai peranti sama ada dengan komputer riba atau gadjet terkini
telefon pintar, dan cara pembacaan ini bukan sahaja pantas dan murah tetapi
bahan pembacaan boleh diperoleh dengan pelbagai pendekatan sama ada melalui
video dengan melayari laman sesawang Youtube, atau melalui bahan secara e-buku,
dan sebagainya. Kesimpulannya, ilmu pengetahuan boleh kita peroleh melalui
pembacaan sama ada secara konvensional, mahupun menggunakan teknologi terkini.
Mari kita telusuri perbincangan
seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dengan kata kunci isi
kedua iaitu cara menuntut ilmu pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada sesi
pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru ibarat lilin
membakar diri untuk menerangi kehidupan pelajar, justeru adalah sangat
malang jika kita tidak cakna dan tidak menumpu perhatian kepada proses
pengajaran guru. Selain itu, amalkan tabiat suka bertanya sekiranya kita tidak
memahami penerangan guru kerana malu bertanya sesat jalan dan malu
biarlah bertempat. Oleh sebab itu pelajar yang proaktif dan
sentiasa melibatkan diri dalam proses pengajaran merupakan pelajar yang berjaya
dan disayangi guru. Selalunya pelajar dalam kategori ini sentiasa mengungguli
tempat pertama dalam setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Bahkan konsep
mencatat setiap penerangan guru merupakan amalan terpuji kerana adakalanya
penerangan guru tidak ada dalam nota tetapi keluar secara spontan semasa
pengajaran kerana proses mengunakan deria telinga untuk mendengar,
deria mata untuk melihat dan angota tangan dan jari jemari mencatat akan
memudahkan proses memantapkan ingatan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran guru semasa di dalam kelas. Seorang pakar
psikologi pernah mengatakan bahawa “lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar
adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses
pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Oleh itu, kita perlu mengelakkan
daripada melakukan perbuatan yang menimbul kemarahan guru seperti bersembang,
dan mengganggu proses guru semasa mengajar kerana konsentrasi guru
akan hilang semasa mengajar, dan selalunya pelajar dalam kategori ini akan
berada di belakang pelajar yang berjaya. Kesimpulannya, Jika kita tidak
mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang
membusukkannya.” Maksud peribahasa berkenaan ialah kita tidak harus menimbulkan masalah
kepada orang lain kerana sifat berkenaan amat merugikan.
Seterusnya
saya akan membincangkan isi ketiga di bawah kata kunci membentuk kumpulan
belajar mampu meningkatkan kefahaman terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata
pelajaran yang kita tidak kuasai. Sebagai seorang pelajar yang mendambakan
kecemerlangan kita perlu memilih anggota kumpulan yang akan membatu kita
menguasai kefahaman terutama mata pelajaran yang tidak kita kuasai kerana berkawan
biarlah ramai, musuh jangan dicari. Antara faktor pemilihan rakan
untuk kumpulan berkenaan ialah rakan berkenaan biarlah sealiran dengan jiwa
kita, mudah untuk kita mengadakan perbincangan maksudnya biarlah rakan
kumpulan studi ini rakan boleh mengadakan perbincangan sama ada dalam
proses pengajaran dan pembelajaran malah boleh mengadakan perbincangan di luar
waktu persekolahan. Seterusnya, rakan yang kita pilih perlu bervariasi
kemahiran, maksudnya rakan yang tersebut perlu menguasai mata pelajaran
tertentu. Apabila semua faktor pemilihan berkenaan diambil kira, sudah pasti
proses pembelajaran berkumpulan akan memberi impak maksima dan perbincangan
boleh dilakukan dengan perkongsian ilmu yang akan dapat meningkatkan penguasaan
ilmu pelbagai untuk ahli perbincangan. Contohnya rakan pertama mahir dalam mata
pelajaran bahasa Inggeris, anda mahir mata pelajaran Bahasa Melayu, rakan kedua
mahir mata pelajaran matematik, sementara rakan ketiga anda mahir mata
pelajaran matematik tambahan, dan rakan kelima mahir mata pelajaran
Biologi. Tepuk dada tanya selera, jika semua faktor
pemilihan di atas lengkap sudah pasti aktiviti pembelajaran secara kumpulan
akan ceria, di samping perkongsian ilmu akan berkonsep menang menang dan
semua ahli kumpulan akan menerima kesan terutama untuk menguasai pelbagai ilmu.
Peribahasa ada mengatakan "Kawan
ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari." Konklusinya, membentuk
kumpulan belajar sealiran mampu meningkatkan kefahaman terhadap ilmu
pengetahuan, terutama mata pelajaran yang kita tidak kuasai.
Kalau
hendak tahu luasnya padang,
tanyalah
belalang.
Kalau
hendak tahu banyaknya teluk,
tanyalah
siput.
Kalau
hendak tahu luasnya kolam,
tanyalah
katak.
Seterusnya, untuk
menambahkan ilmu pengetahuan saya akan menjadikan pesanan orang tua-tua di atas
sebagai kompas kehidupan. Dengan kata lain, saya akan membicarakan isi keempat
di bawah tajuk pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk
meraih pengetahuan berdasarkan pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam
kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh kejayaan dengan ilmu pengetahuan.
Mereka telah menerbitkan karya ilmiah yang mampu meningkatkan minat dan
kesungguhan pembaca untuk mengumpulkan ilmu pengetahuan untuk menerangi
kehidupan serta kesejahteraan masyarakat serata alam. Antara nama
pengarang tersohor Islam yang perlu kita contohi seperti Ibnu Sina, Ibnu
Khaldun, Syed Muhammad Abduh, Syed Tahir Jalaluddin, HAMKA atau nama
sebenarnya Haji Abdul Malik bin Syeikh
Abdul Karim bin Syeikh Muhammad Amarullah. Ketekunan ilmuan
tersohor ini untuk menuntut ilmu perlu perlu dijadikan budaya dalam kehidupan
kita kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Contohnya, Ibnu Sina seorang ulama tersohor Islam malah pakar dalam bidang
perubatan sehingga hasil karya beliau diterjemahkan dalam bahasa latin, Hebrew
dan bahasa Inggeris. Antara hasil penemuan Ibnu Sina
dalam ilmu perubatan ialah beliau telah menemui pengaruh kuman dalam
penyakit seperti penyakit rubella, alahan, cacar, penyakit jiwa, dan
menghasilkan ubatan dan preskripsi ubat yang mujarab untuk digunakan sebagai
penyembuhan pelbagai jenis penyakit. Harimau mati meninggalkan
belang, manusia mati meninggalkan nama, begitulah jasa ilmuan tersohor
Islam yang menguasai pelbagai ilmu untuk kegunaan manusia sehingga ke zaman
moden ini. Intihanya, pemilihan buku bacaan terutama hasil karya ilmuan Islam
tersohor mampu meningkat usaha kita untuk menghasilkan penemuan baru dalam apa-apa
juga bidang ilmu terutama untuk kejahteraan masyarakat negara malah untuk
masyarakat dunia amnya.
Selanjutnya, perbicaraan saya menjurus kepada membicarakan isi kelima
iaitu untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar adalah dengan
mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sebagaimana
kita sedia maklum, banyak pusat tuisyen menjadi medan untuk meningkatkan
pengetahuan pelajar selain mereka memimba ilmu pada waktu persekolahan. Setiap
tahun, pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Kenapa situasi ini berlaku? Antaranya, ibu bapa dan pelajar sedia maklum,
tenaga pengajar yang mengajar di pusat tuisyen adalah dalam kalngan guru-guru
berpengalaman mengajar dan kebanyakan mereka penyemak kertas berdasarkan bidang
ilmu mereka, justeru ibu bapa berusaha untuk melaburkan duit mereka untuk
kecemerlangan anak-anak mereka dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat
tuisyen. Tindakan ibu bapa ini umpama di mana ada gula, di situ ada
semut. Kebiasaannya guru-guru berpengalaman di pusat tuisyen akan
mempermudah dan mendedahkan cara-cara untuk menjawab soalan, terutama
item-item soalan sukar kepada pelajar. Oleh sebab itu, kebanyakan pelajar yang
berjaya mencapai keputusan cemerlang adalah dalam kalangan pelajar yang
mengikuti kelas tuisyen. Selain itu, budaya sekolah cemerlang, sentiasa
mengadakan program kecemerlangan dengan menjemput guru-guru cemerlang, sama ada
dalam daerah malah ada yang menjemput guru-guru cemerlang luar daerah dan
antara kriteria guru-guru yang dipilih untuk menjadi tenaga penceramah adalah
kalangan guru berpengalaman terutama menjadi penyemak kertas mata pelajaran
berkenaan. Dalam kalangan ibu bapa pula, mereka sentiasa menyokong sebarang
usaha pihak pentadbir sekolah untuk mengadakan program kecemerlangan untuk
anak-anak mereka. Sokongan ibarat aur dengan tebing, antara
pihak sekolah dengan ibu bapa serta bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru,
begitu juga sekiranya program yang dijalankan melibatkan Ahli Dewan Undangan
Negeri atau Ahli Parlimen di tempat tersebut, sudah pasti usaha tersebut akan
membuahkan impak yang maksimun. Kesimpulannya, untuk menambah ilmu
pengetahuan dalam kalangan pelajar adalah dengan mengikuti kelas tuisyen atau
program kecemerlangan anjuran sekolah amat perlu untuk kecemerlangan ilmu dalam
kalangan pelajar.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, terdapat pelbagai kaedah, pendekatan untuk kita menambahkan
ilmu pengetahuan. Sebagaimana perbincangan di atas, ilmu pengetahuan
boleh diperkembangkan dengan inisiatif membudayakan membaca dalam kehidupan
seharian, memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di
dalam kelas, membentuk kumpulan belajar mampu meningkatkan kefahaman
terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang tidak kita kuasai, pemilihan
buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk meraih pengalaman mereka
menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh
kejayaan dengan ilmu pengetahuan, dan untuk
menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar adalah dengan mengikuti kelas
tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sudah terang lagi
bersuluh, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak
akan datang bergolek, justeru untuk menambah ilmu pengetahuan kita
perlu berusaha untuk mendapatkanya kerana usaha tangga kejayaan.
11 comments:
terima kasih atas perkongsian.
Nice
Hmmm saya tak pernah dengar pon hadith yang mengatakan rasulullah bersabda “tuntut ilmu sehingga ke negara china” tu,adakah ia benar? Seems to me like its not
Hadis tu diklasifikasikan sebagai hadis maudu'. Untuk rujukan : Buku 40 Hadis maudu' yang popular.
Hukum dan pendapat ulama’ terhadap hadith tersebut
Para ulama’ berbeza pendapat dalam menghukum hadith ini, antaranya ialah :
1) Imam al-Sakhawi : Hadith ini adalah dhaif.[al-Maqasid al-Hasanah, 93]
2) Imam al-Baihaqi : Matannya masyhur dan sanadnya adalah dhaif.[Syu’ab al-Iman, 2:724]
3) Imam al-Zurqani : Hadith ini adalah dhaif.[Mukhtasar al-Maqasid, 109]
4) Imam Ibn Hibban : Hadith ini adalah bathil dan tiada asal baginya.[al-Majruhin, 1:489]
5) Imam al-Syaukani : Hadith ini adalah palsu.[al-Fawaid al-Majumu’ah, kitab al-Fadhail,272]
6) Imam Ibn al-Jauzi : Hukum hadith ini adalah palsu.[al-Mawdhu’at, 1:347]
Tarjih
Setelah melihat kepada hukum dan pendapat para ulama’ terhadap hadith ini, kami memilih untuk menyatakan bahawa hadith ini adalah terlalu dhaif sebagaimana dinyatakan oleh ramai ulama’ walaupun Imam al-Suyuthi berpendapat padanya banyak jalur daripada Anas RA yang memungkinkan hukumya menjadi hasan.[al-Nukat, 43]
Aplikasi Hadith
Antara yang dapat difahami daripada makna hadith ini adalah umat Islam wajib menuntut ilmu, bahkan sifat merantau atau rehlah ‘ilmiyyah merupakan sunnah al-Ulama’ dalam menghasilkan ilmu. Juga dapat difahami betapa jarak antara penuntut ilmu dengan tempat musafir menunjukkan kepayahan penuntut ilmu dalam meraih sebanyak mungkin mutiara-mutiara ilmu daripada para ulama’.
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin. Wallahua`lam.
Exactly yes !
Terima kasih kerana berkongsi karangan ini!! Sangat membantu saya buat rujukan
Terbaik ..amat bermakna
hmmm TULAHHH
Saya rasa nak comment je banyak yang kita dapat
Terima kasih kerana berkongsi ilmu
Post a Comment