04/02/2021

Penulisan Pra-SPM 2020 : Usaha-usaha menambahkan ilmu pengetahuan


Dalam menghadapi dunia semakin mencabar ini ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang  penting dalam kehidupan seseorang. 
Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

[mencapai kecemerlangan akademik]


"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan "Ilmu Jambatan Hidup". Itulah antara dua kata-kata yang membuktikan bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan manusia. Pada era Revolusi Industri  4.0 atau “Internet of Things” (IoT) ini, jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu, mereka akan ketinggalan dan mereka akan mengalami kesusahan dalam kehidupan, golongan orang seperti ini boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung akan sentiasa ketinggalan dalam berbagai aspek kehidupan sama ada aspek sosioekonomi, mahupun sosiobudaya. Untuk memperoleh serta mendalami ilmu, kita perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri persis peribahasa, yang bulat tidak datang menggolek dan yang pipih tidak datang melayang. Berdasarkan kenyataan di atas, sudah terang lagi bersuluh, ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan namun bukan mudah memperolehnya, justeru seseorang itu perlu berusaha untuk menggapainya. Genggam api biarlah jadi arangmenjeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan, begitulah konsep sepatutnya menjadi pegangan kita lakukan untuk mengembangkan ilmu di dada. Bahkan ilmu pengetahuan juga mampu mengubah kehidupan keluarga kita terutama untuk memecah kepompong kemiskinan keluarga. Persoalannya, bagaimanakah kita mampu untuk menambah ilmu pengetahuan?

Mari kita bersama-sama mengupas isi pertama iaitu cara untuk memperoleh ilmu pertama adalah melalui pembacaan. Ayat pertama yang diturunkan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad ialah surah Al-Alaq. Wahyu tersebut disampaikan oleh Malaikat Jibrail dengan berkata, 'Bacalah wahai Muhammad! ' Beliau bersabda: "Aku tidak pandai membaca." Rasulullah bersabda: "Lalu malaikat memegang dan memelukku erat-erat, ketika aku merasakan kepayahan ia pun melepasku. Sudah terang lagi bersuluh betapa dalam Islam konsep membaca amat diutamakan selaras dengan Surah Al-Alaq di atas, Malaikat Jibrail meminta Rasululah membaca walaupun beberapa kali Rasulullah menyatakan bahawa beliau tidak tahu membaca. Oleh sebab itu, sebagai khalifah di muka bumi kita sebagai generasi yang sedar akan peri pentingnya ilmu dalam kehidupan seharusnya membudaya membaca dalam kehidupan seharian. Sebagai khalifah pada zaman moden pelbagai cara membolehkan kita memperoleh ilmu dengan membaca kerana membaca gedung ilmu. Kita boleh membaca secara konvensional dengan membaca buku pelbagai aspek ilmuan seperti bahasa, matematik, sains dan sebagainya. Seyogia, pada zaman moden ini, maklumat di hujung jaridunia tanpa sempadan kerana kita boleh melayari pelbagai sumber ilmu menggunakan pelbagai peranti sama ada dengan komputer riba atau gadjet terkini telefon pintar, dan cara pembacaan ini bukan sahaja pantas dan murah tetapi bahan pembacaan boleh diperoleh dengan pelbagai pendekatan sama ada melalui video dengan melayari laman sesawang Youtube, atau melalui bahan secara e-buku, dan sebagainya. Kesimpulannya, ilmu pengetahuan boleh kita peroleh melalui pembacaan sama ada secara konvensional, mahupun menggunakan teknologi terkini.
Mari kita telusuri perbincangan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dengan kata kunci isi kedua iaitu cara menuntut ilmu pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi kehidupan pelajar, justeru adalah sangat malang jika kita tidak cakna dan tidak menumpu perhatian kepada proses pengajaran guru. Selain itu, amalkan tabiat suka bertanya sekiranya kita tidak memahami penerangan guru kerana malu bertanya sesat jalan dan malu biarlah bertempat. Oleh sebab itu pelajar yang proaktif dan sentiasa melibatkan diri dalam proses pengajaran merupakan pelajar yang berjaya dan disayangi guru. Selalunya pelajar dalam kategori ini sentiasa mengungguli tempat pertama dalam setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Bahkan konsep mencatat setiap penerangan guru merupakan amalan terpuji kerana adakalanya penerangan guru tidak ada dalam nota tetapi keluar secara spontan semasa pengajaran kerana proses mengunakan deria telinga untuk mendengar, deria mata untuk melihat dan angota tangan dan jari jemari mencatat akan memudahkan proses memantapkan ingatan semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru semasa di dalam kelas. Seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Oleh itu, kita perlu mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang menimbul kemarahan guru seperti bersembang, dan mengganggu proses guru semasa mengajar kerana konsentrasi guru akan hilang semasa mengajar, dan selalunya pelajar dalam kategori ini akan berada di belakang pelajar yang berjaya. Kesimpulannya, Jika kita tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.” Maksud peribahasa berkenaan ialah kita tidak harus menimbulkan masalah kepada orang lain kerana sifat berkenaan amat merugikan.
Seterusnya saya akan membincangkan isi ketiga di bawah kata kunci membentuk kumpulan belajar mampu meningkatkan kefahaman terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang kita tidak kuasai. Sebagai seorang pelajar yang mendambakan kecemerlangan kita perlu memilih anggota kumpulan yang akan membatu kita menguasai kefahaman terutama mata pelajaran yang tidak kita kuasai kerana berkawan biarlah ramai, musuh jangan dicari. Antara faktor pemilihan rakan untuk kumpulan berkenaan ialah rakan berkenaan biarlah sealiran dengan jiwa kita, mudah untuk kita mengadakan perbincangan maksudnya biarlah rakan  kumpulan studi ini rakan boleh mengadakan perbincangan sama ada dalam proses pengajaran dan pembelajaran malah boleh mengadakan perbincangan di luar waktu persekolahan. Seterusnya, rakan yang kita pilih perlu bervariasi kemahiran, maksudnya rakan yang tersebut perlu menguasai mata pelajaran tertentu. Apabila semua faktor pemilihan berkenaan diambil kira, sudah pasti proses pembelajaran berkumpulan akan memberi impak maksima dan perbincangan boleh dilakukan dengan perkongsian ilmu yang akan dapat meningkatkan penguasaan ilmu pelbagai untuk ahli perbincangan. Contohnya rakan pertama mahir dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, anda mahir mata pelajaran Bahasa Melayu, rakan kedua mahir mata pelajaran matematik, sementara rakan ketiga anda mahir mata pelajaran matematik tambahan, dan rakan kelima mahir mata pelajaran Biologi. Tepuk dada tanya selera, jika semua faktor pemilihan di atas lengkap sudah pasti aktiviti pembelajaran secara kumpulan akan ceria, di samping perkongsian ilmu akan berkonsep menang menang dan semua ahli kumpulan akan menerima kesan terutama untuk menguasai pelbagai ilmu. Peribahasa ada mengatakan "Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari." Konklusinya, membentuk kumpulan belajar sealiran mampu meningkatkan kefahaman terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang kita tidak kuasai.

Kalau hendak tahu luasnya padang,
tanyalah belalang.
Kalau hendak tahu banyaknya teluk,
tanyalah siput.
Kalau hendak tahu luasnya kolam,
tanyalah katak.
Seterusnya, untuk menambahkan ilmu pengetahuan saya akan menjadikan pesanan orang tua-tua di atas sebagai kompas kehidupan. Dengan kata lain, saya akan membicarakan isi keempat di bawah tajuk pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk meraih pengetahuan berdasarkan pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh kejayaan dengan ilmu pengetahuan. Mereka telah menerbitkan karya ilmiah yang mampu meningkatkan minat dan kesungguhan pembaca untuk mengumpulkan ilmu pengetahuan untuk menerangi kehidupan serta kesejahteraan masyarakat serata alam. Antara nama pengarang tersohor Islam yang perlu kita contohi seperti  Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Syed Muhammad Abduh, Syed Tahir Jalaluddin, HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Syeikh Abdul Karim bin Syeikh Muhammad AmarullahKetekunan ilmuan tersohor ini untuk menuntut ilmu perlu perlu dijadikan budaya dalam kehidupan kita kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalanContohnya, Ibnu Sina seorang ulama tersohor Islam malah pakar dalam bidang perubatan sehingga hasil karya beliau diterjemahkan dalam bahasa latin, Hebrew dan bahasa Inggeris. Antara hasil penemuan Ibnu Sina dalam ilmu perubatan ialah beliau telah menemui  pengaruh kuman dalam penyakit seperti  penyakit rubella, alahan, cacar, penyakit jiwa, dan menghasilkan ubatan dan preskripsi ubat yang mujarab untuk digunakan sebagai penyembuhan pelbagai jenis penyakit. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, begitulah jasa ilmuan tersohor Islam yang menguasai pelbagai ilmu untuk kegunaan manusia sehingga ke zaman moden ini. Intihanya, pemilihan buku bacaan terutama hasil karya ilmuan Islam tersohor mampu meningkat usaha kita untuk menghasilkan penemuan baru dalam apa-apa juga bidang ilmu terutama untuk kejahteraan masyarakat negara malah untuk masyarakat dunia amnya.
Selanjutnya, perbicaraan saya menjurus kepada membicarakan isi kelima iaitu untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar adalah dengan mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sebagaimana kita sedia maklum, banyak pusat tuisyen menjadi medan untuk meningkatkan pengetahuan pelajar selain mereka memimba ilmu pada waktu persekolahan. Setiap tahun, pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kenapa situasi ini berlaku? Antaranya, ibu bapa dan pelajar sedia maklum, tenaga pengajar yang mengajar di pusat tuisyen adalah dalam kalngan guru-guru berpengalaman mengajar dan kebanyakan mereka penyemak kertas berdasarkan bidang ilmu mereka, justeru ibu bapa berusaha untuk melaburkan duit mereka untuk kecemerlangan anak-anak mereka dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Tindakan ibu bapa ini umpama di mana ada gula, di situ ada semut. Kebiasaannya guru-guru berpengalaman di pusat tuisyen akan mempermudah dan mendedahkan cara-cara  untuk menjawab soalan, terutama item-item soalan sukar kepada pelajar. Oleh sebab itu, kebanyakan pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang adalah dalam kalangan pelajar yang mengikuti kelas tuisyen. Selain itu, budaya sekolah cemerlang, sentiasa mengadakan program kecemerlangan dengan menjemput guru-guru cemerlang, sama ada dalam daerah malah ada yang menjemput guru-guru cemerlang luar daerah dan antara kriteria guru-guru yang dipilih untuk menjadi tenaga penceramah adalah kalangan guru berpengalaman terutama menjadi penyemak kertas mata pelajaran berkenaan. Dalam kalangan ibu bapa pula, mereka sentiasa menyokong sebarang usaha pihak pentadbir sekolah untuk mengadakan program kecemerlangan untuk anak-anak mereka. Sokongan ibarat aur dengan tebing, antara pihak sekolah dengan ibu bapa  serta bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru, begitu juga sekiranya program yang dijalankan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen di tempat tersebut, sudah pasti usaha tersebut akan membuahkan impak yang maksimun. Kesimpulannya, untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar adalah dengan mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah amat perlu untuk kecemerlangan ilmu dalam kalangan pelajar.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, terdapat pelbagai kaedah, pendekatan untuk kita menambahkan ilmu  pengetahuan. Sebagaimana perbincangan di atas, ilmu pengetahuan boleh diperkembangkan dengan inisiatif membudayakan membaca dalam kehidupan seharian, memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas, membentuk kumpulan belajar mampu meningkatkan kefahaman terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang tidak kita kuasai,  pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk meraih pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh kejayaan dengan ilmu pengetahuan, dan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar adalah dengan mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sudah terang lagi bersuluh, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek, justeru untuk menambah ilmu pengetahuan kita perlu berusaha untuk mendapatkanya kerana usaha tangga kejayaan.

11 comments:

nuraleesya said...

terima kasih atas perkongsian.

Hidayah said...

Nice

Anonymous said...

Hmmm saya tak pernah dengar pon hadith yang mengatakan rasulullah bersabda “tuntut ilmu sehingga ke negara china” tu,adakah ia benar? Seems to me like its not

Unknown said...

Hadis tu diklasifikasikan sebagai hadis maudu'. Untuk rujukan : Buku 40 Hadis maudu' yang popular.

ayaHUda said...

Hukum dan pendapat ulama’ terhadap hadith tersebut



Para ulama’ berbeza pendapat dalam menghukum hadith ini, antaranya ialah :

1) Imam al-Sakhawi : Hadith ini adalah dhaif.[al-Maqasid al-Hasanah, 93]

2) Imam al-Baihaqi : Matannya masyhur dan sanadnya adalah dhaif.[Syu’ab al-Iman, 2:724]

3) Imam al-Zurqani : Hadith ini adalah dhaif.[Mukhtasar al-Maqasid, 109]

4) Imam Ibn Hibban : Hadith ini adalah bathil dan tiada asal baginya.[al-Majruhin, 1:489]

5) Imam al-Syaukani : Hadith ini adalah palsu.[al-Fawaid al-Majumu’ah, kitab al-Fadhail,272]

6) Imam Ibn al-Jauzi : Hukum hadith ini adalah palsu.[al-Mawdhu’at, 1:347]



Tarjih

Setelah melihat kepada hukum dan pendapat para ulama’ terhadap hadith ini, kami memilih untuk menyatakan bahawa hadith ini adalah terlalu dhaif sebagaimana dinyatakan oleh ramai ulama’ walaupun Imam al-Suyuthi berpendapat padanya banyak jalur daripada Anas RA yang memungkinkan hukumya menjadi hasan.[al-Nukat, 43]



Aplikasi Hadith

Antara yang dapat difahami daripada makna hadith ini adalah umat Islam wajib menuntut ilmu, bahkan sifat merantau atau rehlah ‘ilmiyyah merupakan sunnah al-Ulama’ dalam menghasilkan ilmu. Juga dapat difahami betapa jarak antara penuntut ilmu dengan tempat musafir menunjukkan kepayahan penuntut ilmu dalam meraih sebanyak mungkin mutiara-mutiara ilmu daripada para ulama’.

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin. Wallahua`lam.

Unknown said...

Exactly yes !

syasya syisyi said...

Terima kasih kerana berkongsi karangan ini!! Sangat membantu saya buat rujukan

Unknown said...

Terbaik ..amat bermakna

Unknown said...

hmmm TULAHHH

Unknown said...

Saya rasa nak comment je banyak yang kita dapat

Unknown said...

Terima kasih kerana berkongsi ilmu