Kecemerlangan
dalam sesuatu peperiksaan merupakan matlamat utama bagi seseorang murid.
Sebagai seorang murid yang ingin berjaya dalam peperiksaan, terdapat pelbagai
cabaran yang terpaksa dihadapi.
Huraikan
usaha-usaha yang harus anda lakukan untuk menghadapi cabaran tersebut agar
hasrat anda tercapai.
Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam
hidup walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran yang semakin mencabar kini.
Satu aspek penting yang harus ada dalam diri murid ialah keinginan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Namun, kecemerlangan dalam
peperiksaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana pengorbanan dan
usaha yang berterusan adalah sentiasa wujud dalam diri. Tidak dinafikan bahawa
keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa hadapan. Pengumuman
calon cemerlang SPM tahun 2017 pastinya membakar semangat bagi calon-calon SPM tahun 2018 untuk dinobatkan sebagai calon cemerlang nanti. Benarlah kata orang
tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna, jika saya hanya
berpeluk tubuh menunggu detik peperiksaan SPM tiba. Persoalannya, apakah
cabaran yang perlu saya hadapi dalam menempuh liku-liku kehidupan semasa
menjelang peperiksaan? Sesungguhnya, saya juga haruslah melakukan pelbagai usaha
bagi menangani setiap cabaran agar impian saya untuk cemerlang dalam
peperiksaan SPM akan tercapai dengan jayanya.
Cabaran
pertama yang perlu saya hadapi ialah kesukaran untuk memberikan perhatian
ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Masalah ini berlaku kerana saya
sering menerima gangguan daripada rakan yang malas belajar. Kehidupan keluarga
saya bermasalah telah menambahkan tekanan untuk saya mengikuti pembelajaran
yang disampaikan oleh guru. Oleh sebab itu, saya harus menguatkan azam dan tekad
untuk terlibat aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang
dijalankan. Seterusnya, saya juga haruslah menyiapkan segala kerja rumah yang
diberikan oleh guru-guru. Yang paling penting, saya perlulah sentiasa bertanya
kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang saya fahami. Sebagai impaknya, sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap
masuk. Saya juga dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru.
Dalam erti kata yang lain, saya akan bersikap positif untuk membetulkan
kesilapan terdahulu agar tidak berulang kembali. Confucius ada menyatakan bahawa
‘Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan
satu kesalahan lagi.’ Hakikatnya, kesukaran untuk menerima ilmu daripada guru
haruslah ditangani dengan memberikan tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar
dan menyiapkan segala kerja rumah agar saya akan lebih bersedia untuk
menghadapi peperiksaan nanti.
Kesukaran
saya menguruskan masa belajar secara efisien juga merupakan cabaran yang perlu
ditempuhi untuk berjaya dengan cemerlang. Hal ini berlaku kerana saya tiada
pengalaman atau kemahiran menyediakan jadual belajar ditambah oleh gangguan hiburan dan
penggunaan telefon pintar. Dengan demikian, saya haruslah berbincang dengan
guru atau ibu bapa untuk menyediakan jadual belajar. Saya juga perlulah
mengikuti jadual yang dibuat dengan sebaik-baiknya. Jadual yang disediakan itu
membolehkan saya membuat ulang kaji secara berterusan. Seterusnya saya seyogia memiliki
jadual belajar untuk kumpulan perbincangan di luar waktu persekolahan. Sebagai
kesannya, saya mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat nota dan latihan.
Seterusnya, saya dapat menghabiskan
semua tajuk pelajaran dan tidak ketinggalan dalam pelajaran. Ketika menjawab
soalan peperiksaan nanti, saya akan terbiasa dengan jenis-jenis soalan yang akan
ditanya. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa akan saya
lakukan jika terus berusaha untuk menjawab soalan yang sukar. Hakikatnya,
pengurusan masa yang cekap akan membantu kejayaan yang lebih cemerlang dalam
peperiksaan nanti.
Program
kecemerlangan dan motivasi yang sepatutnya dihadiri tidak dapat saya penuhi
juga merupakan cabaran yang terpaksa dihadapi. Hal ini telah menyebabkan saya
tiada pendedahan maklumat tentang kelebihan program yang menjurus pada
kecemerlangan akademik dan sahsiah diri. Selain itu, kos menyertai program yang
dianjurkan oleh pihak luar juga mahal. Oleh hal yang demikian, saya perlulah
menyertai bengkel dan ceramah yang diadakan di sekolah. Sementara itu, saya
perlulah mengikuti program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan terlibat dalam program akademik
yang dijalankan. Sebagai impaknya, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis
soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan oleh guru-guru
yang berpengalaman. Sudah terang lagi bersuluh bahawa program yang dihadiri ini
akan meningkatkan semangat dan keyakinan saya untuk menduduki peperiksaan.
Selain itu, pendedahan yang diperoleh dalam program ini, seperti bersikap
sabar, tabah dan tidak mudah putus asa dapat saya ambil untuk dijadikan
pegangan dan amalan. Orang tua-tua pernah berkata bahawa kalau tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya. Hal ini turut dinyatakan oleh Lao Tze, iaitu
‘perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.’ Seyogia, saya haruslah
kerap menghadirkan diri dengan program kecemerlangan dan motivasi ini dalam
membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Cabaran
yang terakhir ialah saya kurang mematuhi nasihat daripada kedua-dua ibu bapa
yang sering tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar. Hal ini terjadi kerana saya
merupakan anak bongsu yang terlalu dimanjakan berbanding dengan adik-beradik
yang lain. Selain itu, rakan sebaya telah menjadi tempat yang paling saya
percayai untuk mengadu segala permasalahan diri. Keadaan ini bertambah buruk
apabila saya juga kurang mendapat didikan agama yang sempurna sejak kecil. Oleh
hal yang demikian, saya wajar sentiasa patuh akan nasihat dan asuhan daripada ibu bapa.
Nasihat daripada mereka yang menyuruh saya belajar bersungguh-sungguh untuk
masa depan yang lebih cemerlang akan dijadikan pegangan. Sekiranya saya terus
mendengar nasihat ibu bapa maka saya akan terus berusaha dengan gigih untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang. Saya juga akan mendapat restu daripada ibu bapa yang sentiasa mendoakan
kejayaan saya. Benarlah kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong dan
memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Seterusnya, saya tidak akan
menjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa akan diri ibarat buah melayang jauh,
tampuk dilupakan. Hakikatnya, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua
ibu bapa untuk menjamin kejayaan yang cemerlang nanti.
Secara
tuntasnya, kejayaan dalam peperiksaan diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh
kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Kita tidak boleh membiarkan
masalah dan cabaran itu menjadi batu penghalang yang besar pada sesuatu
kejayaan. Dengan demikian, setiap cabaran itu akan saya hadapi dengan penuh
rasa tanggungjawab sebagai seorang murid. Dalam pada itu, setiap langkah yang
dicadangkan itu perlu dilakukan dengan penuh iltizam, seperti kata peribahasa
hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Tegasnya, saya haruslah belajar
bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu, ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang
kerana sikap positif ini juga mampu untuk saya mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan nanti. ‘Semua A+ Impianku,’ akan menjadi realiti untuk keluarga dan
guru-guru yang tersayang.
[buah
fikir Cg Mohd Nasir Imbakup]
Kecemerlangan
dalam sesuatu peperiksaan merupakan matlamat utama setiap murid namun terdapat
pelbagai cabaran seperti pengurusan masa dan kurang fokus terhadap pembelajaran
di dalam kelas.
Huraikan
usaha-usaha yang harus anda lakukan untuk menghadapi cabaran tersebut agar
hasrat anda tercapai.
3 comments:
Terbaik
Karangan3 mantap
Karangan Mantap
Post a Comment