Soalan 2 (b) – Petikan Prosa Moden (Negeri Sembilan)
Baca petikan cerpen di
bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Pesan bonda itu kekal melebat dalam hati
sanubari saya. Pesan mulus yang terpahat lama di pangkal hati. Oleh itu, saya
tangguhkan berkali-kali hasrat itu. Hasrat untuk menjengah wajah kota yang
pesat dengan kemajuan dan peradaban. Saya batalkan keinginan meruap-ruap dalam
diri saya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota.
Kata bonda, kota besar itu sudah hilang segala
nilai-nilai tradisinya. Kota yang sekadar dibangunkan dengan kempen dan slogan
itu sarat dengan api prasangka dan runcing prejudis para warganya yang
berbilang bangsa dan bercampur aduk pula budaya dan bahasa pertuturannya.
Manusia dipisahkan oleh benteng-benteng ketaasuban dan kepentingan diri masing-masing.
Mereka dipecah-pecahkan oleh ideologi, puak
dan etnik, warna kulit, bahasa percakapan serta fahaman politik sehingga
mengundang resah dan amarah. Lantas masing-masing bangun untuk berjuang
menegakkan identiti sendiri.
Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah
itu yang pernah mencalit sejarah hitam dekad lampau. Sejarah yang meninggalkan
parut luka sentimen yang bukan sedikit. Sejarah suram yang berparut duka
angkara gelodak emosi dan kesumat yang mengalir dalam dada setiap warganya
sejak sekian lama.
Dipetik
daripada cerpen ‘Munsyi’ oleh Husna Nazri
dalam
antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Kementerian
Pendidikan Malaysia
(i) Mengapakah
bonda mengatakan bahawa kota besar itu sudah hilang nilai-nilai tradisinya?
[2
markah]
(ii) Pada
pendapat anda, apakah persiapan-persiapan yang perlu dilakukan sebelum
seseorang itu
berhijrah ke bandar?
[3
markah]
(iii) Huraikan
satu pengajaran yang terdapat dalam
petikan di atas dan satu pengajaran
lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]
Soalan 2(c) Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab
soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka
tiada disahut oleh Tun Perak kata itu. Sekali lagi Seri Amerta berkata, itu pun
tiada disahuti oleh Tun Perak. Genap tiga kali Seri Amerta berkata itu, maka
barulah disahuti oleh Tun Perak,
katanya, “Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik tuan
hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan
kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini, di mana tuan
hamba tahu? Adapun akan sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini dengan
perempuan anak isteri dan segala perkakas. Maka benarkah pada fikiran tuan
hamba kami sekalian datang dengan laki-laki juga, dengan begini jauh Selat
Kelang? Jikalau satu hal negeri ini, apa hisab pada kami sekalian? Sebab itu
maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa dengan anak isterinya sekali.
Nescaya berperang dengan musuh bersungguh-sungguh hatinya; kurang-kurang ia
berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia
berlawankan anak isterinya sungguh-sungguh.”
Maka oleh Seri
Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah
Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun
tersenyum, seraya bertitah, “Benar seperti kata Tun Perak itu.”
Maka diambil sirih dari puan baginda,
disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda kepada Tun Perak, “Bahawa
Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi; baiklah Tun Perak diam di negeri
ini.”
Dipetik
daripada ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ dalam antologi Sejadah
Rindu
Kementerian Pendidikan
Malaysia
(i)
Berikan maksud jangan kemakanan matanya.
[2 markah]
(ii) Apakah
yang dilakukan oleh Duli Yang Dipertuan setelah mendengar perkhabaran daripada Seri
Amerta?
[3 markah]
(iii) Pada
pendapat anda, mengapakah seseorang itu perlu berpandangan jauh sebelum melakukan
sesuatu perkara?
[3 markah]
No comments:
Post a Comment