24/10/2019

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030)



PUTRAJAYA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam [5 Oktober 2019] mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini, berkata WKB 2030 yang bertujuan mewujudkan pengagihan pembangunan ekonomi secara adil dan saksama di semua peringkat menjelang 2030 sejajar SDG 2030.
“Malaysia juga sudah menerapkan prinsip SDG 2030 melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016 hingga 2020) yang memberi keutamaan kepada rakyat bagi memastikan tiada lapisan masyarakat terpinggir daripada pembangunan mapan itu.
“Justeru, SDG 2030 akan terus diterapkan dalam WKB 2030 sebagai pelan jangka masa panjang Malaysia yang terbaharu, yang akan direalisasikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 hingga 2025) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026 hingga 2030).
“Pelancaran WKB 2030 dengan itu menzahirkan komitmen berterusan Malaysia dalam melaksanakan SDG 2030 seiring dengan fasa pembangunan negara.
“Ia seterusnya ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi yang berdaya saing dan inklusif dengan menjadikan rakyat sebagai satu elemen paling utama kepada pembangunan ekonomi mapan,” katanya.
WKB 2030 menetapkan 10 sasaran ekonomi utama dan fokus agihan menjelang 2030.
Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada sembilan kumpulan sasar dalam pelaksanaan WKB 2030 bagi membolehkan kedudukan sosioekonomi mereka dibaik pulih.
Kumpulan itu adalah golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin tegar dan rentan ekonomi; masyarakat dalam transisi ekonomi; Orang Asli; Bumiputera Sabah dan Sarawak; Orang Kurang Upaya; belia; wanita; kanak-kanak serta warga emas.

UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PELANCARAN WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA “PENYUSUNAN SEMULA KEUTAMAAN PEMBANGUNAN MALAYSIA”
PADA 5 OKTOBER 2019 (SABTU), JAM 10.00 PAGI BERTEMPAT DI PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR (KLCC)
PENGENALAN
1. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berada di Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama, 2030 (WKB 2030).
2. Pelancaran ini bagi saya adalah untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepada kita untuk membantu dan membela masa depan mereka.
3. Wawasan Kemakmuran Bersama adalah satu Blueprint ataupun Kerangka halatuju Negara bagi tempoh tahun 2021 sehingga 2030.
4. Kita sudah mula mengisi pentadbiran dan pembangunan Negara termasuklah di dalam Belanjawan 2020 dengan dasar-dasar yang sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.
5. Dengan itu menjelang tahun 2021, Wawasan ini akan di laksanakan sepenuhnya tanpa perlu melakukan terlalu banyak penjajaran semula. In other words, in 2021 we will hit the ground running and pursue the Shared Prosperity Vision full steam.

MERANGKA WAWASAN
6. Wawasan Kemakmuran Bersama adalah kelangsungan kepada wawasan yang terdahulu tetapi mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.
7. Wawasan Kemakmuran Bersama dicadang dan dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Masa Depan Malaysia (MASA) pada September 2018 dan beberapa dasar umum telah saya perkenalkan dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia ke 11 pada 18 Oktober 2018.
8. Konsep ini seterusnya dikembangkan dan diperdalami dan dibentangkan dalam pemukiman komponen parti Pakatan Harapan pada 9 Mac 2018 dan telah diterima secara prinsip.
9. Setelah dikemaskini, kerangka gagasan ini telah saya umumkan dalam ucapan ulang tahun Pakatan Harapan pada 9 Mei 2019.
10. Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi telah dipertanggungjawab untuk melengkap dan menyediakan Wawasan Kemakmuran Bersama ini dan telah dibentang dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 14 September 2019. Alhamdulillah pada 18 September yang lalu Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menerima Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai hala tuju Negara bagi tempoh 2021-2030.
11. Selepas ini, wawasan akan diterjemahkan kepada strategi dan tindakan yang akan dijajarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang akan diumumkan pada tahun hadapan.

12. Wawasan ini akan dimulakan seiring dengan Belanjawan Kemakmuran Bersama 2020 yang akan diumumkan tidak lama lagi dan akan menjadi titik permulaan supaya ia dapat dilaksana sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13 kelak.

ISU DAN CABARAN SOSIOEKONOMI
13. Malaysia menempa pelbagai kejayaan terutamanya dari segi kemajuan ekonomi. Kita berjaya melalui satu fasa peralihan ekonomi daripada berasaskan komoditi pada tahun 1980-an kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan. Malaysia juga masih merupakan salah satu destinasi utama untuk Pelaburan Langsung Asing (FDI).
14. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh 1971-2018 adalah antara yang tertinggi di dunia.
15. Pola ekonomi dunia ini telah banyak berubah dan jauh berbeza dari sebelum ini. Bukan hanya komunikasi dan perdagangan merentasi sempadan namun kini ekonomi dan kewangan juga boleh dicapai dalam mili-saat (milliseconds).
16. Malaysia suatu masa dulu telah berjaya berubah dari Negara pertanian ke Negara perindustrian. Sudah tiba masanya Malaysia berubah ke satu tahap lagi untuk memiliki dan membangun dalam ekonomi berasaskan teknologi, digital dan data.
17. Malangnya keutamaan pembangunan ekonomi Negara dekad lalu yang cuba meliberalisasikan ekonomi sebelum waktunya dan mengejar nilai-nilai KDNK dan Negara Berpendapatan Tinggi telah menjadikan kita Negara model ekonomi nilai rendah dan bergantung tinggi kepada buruh berpendapatan dan berkemahiran rendah.
18. Perdagangan kita masih tergantung sejumlah besarnya kepada beberapa produk perdagangan utama dan diversifikasi ekonomi tidak berlaku secara sepenuhnya.

EKONOMI NILAI RENDAH
19. Penggunaan teknologi tinggi dalam ekonomi kita masih pada tahap kurang memuaskan samada dalam sektor pembuatan mahupun perkhidmatan malahan makin berkurangan. Nilai tambah kepada perusahaan dan perniagaan juga tidak berkembang pada tahap yang memuaskan.
20. Hasilnya jenis pekerjaan, perniagaan mahupun industri nilai rendah yang akhirnya menjana pendapatan yang rendah kepada pekerja kita. Ini juga menyebabkan kebergantungan kita tinggi kepada tenaga buruh berkemahiran rendah dan kebanjiran permintaan kepada pekerja asing.
21. Ini terbukti apabila lebih 60% penciptaan pekerja yang dihasilkan pada dekad lalu adalah pekerjaan berkemahiran asas dan rendah dengan purata gaji kurang dari RM2,000.00.
22. Pecahan peratusan pengagihan pendapatan dari GDP Negara adalah rendah hanya sekitar 35% dan tidak berkembang sejajar ke arah seperti Negara maju lain pada kadar 45 – 55% dari GDP.
23. Merubah pengagihan pendapatan kepada GDP untuk memberi pendapatan rakyat yang lebih tinggi, tidak semudah merubah polisi gaji dan memaksa majikan untuk membayar gaji lebih tinggi. Penyelesaiannya adalah jangka panjang dengan menyediakan halatuju, ekosistem dan jenis perniagaan, industri dan pekerjaan serta menyediakan lebih ramai kumpulan pengurus, professional dan pekerja berkemahiran tinggi yang mampu memberi peluang pendapatan lebih tinggi kepada rakyat.

24. Perlu juga ditekankan bahawa pendapatan tinggi tidak menjamin kesejahteraan hidup. Yang lebih penting ialah keupayaan yang lebih tinggi.
25. Pelan Pembangunan Negara sejak 1970 telah menangani kemiskinan tegar, walaupun begitu fenomena kemiskinan relatif makin tampak yang menyebabkan rakyat menghadapi cabaran menangani peningkatan kos hidup.

MENANGANI JURANG EKONOMI
26. Kesan dari struktur ekonomi pada dua dekad lalu ini telah sebenarnya mengembangkan jurang (inequality) dikalangan rakyat samada dari kumpulan pendapatan, etnik, wilayah mahupun dalam rantaian bekalan.
27. Jurang dikalangan kumpulan pendapatan antara kumpulan berpendapatan 20% teratas dengan kumpulan 40% terbawah semakin melebar dari perbezaan RM2,000 pada 1990 menjangkau lebih RM10,000 secara tahunan pada 2016.
28. Jurang antara etnik samada etnik Bumiputera kepada etnik Cina mahupun etnik India kepada Cina berkembang antara 3.5 hingga 4 kali ganda sepanjang 27 tahun lalu. Perbezaan jurang etnik juga kelihatan dalam bidang pekerjaan, nilai tambah perniagaan mahupun jumlah penguasaan kekayaan korporat antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.
29. Jurang pengagihan ekonomi antara wilayah berkembang, dimana 40% GDP kita tertumpu di Wilayah Kuala Lumpur Raya. Jurang pendapatan penengah di Wilayah ini terjumlah lebih RM10,500 berbanding pendapatan penengah diluar Kuala Lumpur hampir separuh darinya.
30. Jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar dan jurang antara semenanjung dan sabah dan Sarawak juga menunjukkan pelebaran jurang ekonomi yang semakin ketara.
31. Dalam konteks jurang rantaian bekalan; kes-kes monopoli dan pencatutan semakin bertambah dengan sebahagian pihak mengawal rantaian bekalan dan menyebabkan kurangnya penyertaan kumpulan lain khususnya PKS. Masalah ini berlaku dari kumpulan petani dan nelayan kecil sehingga kepada perusahaan-perusahaan besar.

PENINGKATAN EKUITI ASING YANG MEMBIMBANGKAN DAN AGENDA BUMIPUTERA
32. Hasil kajian dan data terkumpul saya ingin melaporkan kedudukan ekuiti korporat Negara sehingga 2015.
33. Ekuiti korporat Bumiputera telah jatuh kepada 16.2 peratus manakala bukan Bumiputera turun kepada 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.
34. Ini berbanding dengan pemilikan ekuiti korporat pada tahun 2011. Ketika itu, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera berada pada tahap 23.4 peratus manakala bukan Bumiputera memegang 34.8 peratus. Ekuiti asing ketika itu cuma sebanyak 37.2 peratus.
35. Oleh yang demikian, sasaran sekurang-kurangnya 30% pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang telah ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru masih lagi belum tercapai.
36. Perkara yang juga pokok yang merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi Negara adalah aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kanser ini telah membarah dan pemulihannya harus dilakukan segera. Sebagai doktor, saya hanya melihat bagi mengubati kanser ini, ia harus dipotong dan dibuang.
37. Agenda Pemerkasaan Bumiputera menerima impak besar dari masalah ini apabila peluang dan sokongan yang sepatutnya diberikan kepada Bumiputera telah disalahgunakan dan tiris kepada kumpulan yang tidak sepatutnya. Kesannya, jurang kedudukan ekonomi Bumiputera tidak akan selesai. Masalah yang harus dibuang adalah penyalahgunaan dan rasuah bukan Agenda Bumiputera itu sendiri dipersalahkan.

WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA
38. Wawasan Kemakmuran Bersama membawa maksud pertumbuhan yang lebih saksama untuk Negara, memberikan nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi Negara dan menjadikan Malaysia sebuah Negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah. Melalui cara ini kita akan mengembalikan kepercayaan kepada pasaran dan pelabur dan mampu meletakkan Malaysia sebagai Harimau Asia yang baharu. Dengan pertumbuhan; pengagihan ekonomi dapat dilakukan dengan lebih baik.
39. Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara “yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah serta rantaian bekalan” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.
40. Untuk makluman semua, matlamat utama wawasan ini adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat Malaysia menjelang tahun 2030. Ini juga selaras dengan matlamat yang didukung oleh United Nations Agenda 2030 untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) di mana, pendekatan pembangunan inklusif tidak akan meminggirkan sesiapa pun di bawah prinsip leaving no one behind.
41. Terdapat tiga objektif yang ingin dicapai melalui Wawasan Kemakmuran Bersama iaitu: pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; dan negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.

PRINSIP PANDUAN WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA
42. Antara Prinsip Panduan Wawasan Kemakmuran Bersama yang utama memperjelaskan bahawa Malaysia menginginkan Kemakmuran yang berterusan iaitu mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan serta mampu menyerap sebarang perubahan negatif dari segi penawaran dan permintaan serta ketidaktentuan ekonomi global.
43. Prinsip Panduan utama yang seterusnya adalah untuk memastikan Kesaksamaan Keberhasilan atau Equitability of Outcomes iaitu strategi ekonomi yang menjamin keberhasilan sesuatu inisiatif dapat dinikmati oleh kumpulan dan individu secara saksama. Ini mengambil kira kekangan terhadap pencapaian kumpulan dan individu tersebut yang mungkin disebabkan oleh perbezaan latar belakang ekonomi dan persekitaran. Kumpulan masyarakat yang lemah dan kurang berkemampuan akan diberikan bantuan dan keistimewaan tertentu supaya mereka dapat bersaing secara adil dengan kumpulan masyarakat yang lebih bernasib baik, demi mencapai keberhasilan yang saksama.

44. Wawasan Kemakmuran Bersama turut mengambil kira pelbagai kerangka pemikiran, pandangan dan falsafah yang terangkum dalam konteks sosiobudaya masyarakat Malaysia yang unik. Wawasan ini turut menggariskan 13 lagi Prinsip Panduan yang antaranya merangkumi aspek sosial, ekonomi, integriti dan tadbir urus bagi menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia. Semua prinsip panduan ini akan diperjelaskan dalam dokumen Wawasan ini.
TERAS STRATEGIK
45. Sebanyak 7 Teras Strategik dibangunkan sebagai kunci untuk menjayakan inisiatif Wawasan Kemakmuran.
46. Eksosistem perniagaan dan industri perlu digembling dan distruktur semula supaya mampu beradaptasi dengan ekonomi masa depan dan penghasilan nilai secara lebih efektif.
47. Selain memperkukuh kegiatan ekonomi sedia ada, Penerokaan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Baharu ini diharapkan membolehkan Malaysia tidak hanya menjadi negara pengguna kepada ekonomi baharu namun menjadi pencipta, pengeluar, pembekal dan penyedia perkhidmatan kepada ekonomi masa hadapan yang lebih kompetitif.
48. Strategi transformasi modal insan harus memfokus kepada penyediaan sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi, termasuk dalam industri ekonomi baharu.
49. Teras Strategik Pengukuhan Pasaran Buruh dan Peningkatan Pampasan Pekerja berhasrat menilai semula dan memperkukuh polisi pekerjaan, kesatuan sekerja, gaji dan menangani diskriminasi gender, umur, etnik dan agama di tempat kerja bagi meningkat produktiviti dan mengurangkan penggunaan pekerja asing.
50. Teras Strategik Kesejahteraan Sosial menekankan persoalan kesejahteraan terutama kepada golongan B40, miskin tegar, rentan ekonomi, masyarakat terpinggir dan terpencil dan mereka dalam transisi ekonomi. Ini termasuk dalam hal berkaitan ekonomi, kesihatan, pendididikan, kebajikan, kemahiran dan keusahawanan dan tempat tinggal. Usaha untuk memastikan kebajikan masyarakat di Malaysia akan dilindungi termasuk dalam aspek capaian dan kebolehupayaan mendapat penjagaan kesihatan dan pendidikan berkualiti yang merentasi semua lapisan masyarakat.
51. Polisi kebajikan harus bertukar dari amalan dan penumpuan kepada pemberian tunai kepada program pembangunan dan latihan untuk mengeluarkan kelompok ini dari kemiskinan.
52. Teras Strategik Keterangkuman wilayah menekankan pembangunan titik panas ekonomi khususnya di luar Lembah Klang dan bandar-bandar ekonomi utama.
53. Pembangunan yang holistik bagi kawasan titik panas ekonomi (economic hotspots) ini merangkumi pembangunan ekosistem yang lebih menyeluruh, pengukuhan rantaian bekalan dan industri hiliran, penyediaan sumber manusia, kemahiran dan dana, infrastruktur sokongan serta kebolehcapaian jalan dan perhubungan untuk komunikasi dan logistik.
54. Selain faktor-faktor ekonomi dan pembangunan; polisi dan inisiatif sosial perlu diperkukuh melaui Teras Strategik Pembangunan Modal Sosial dengan memperkukuh jatidiri, perpaduan, budaya tinggi, sivik dan patriotisma dikalangan rakyat.
55. Indikator sosial seperti perpaduan, integriti, keharmonian agama, kualiti alam sekitar dan kesedaran perubahan iklim, keharmonian agama, pengukuhan institusi kekeluargaan dan kejiranan, pencegahan rasuah, jenayah dan dadah, dan kecergasan fizikal, mental dan kesihatan harus menampakkan keberhasilan.
56. Peranan institusi masyarakat akar umbi, perkumpulan masyarakat dan masyarakat sivil dalam pembinaan negara harus diperkukuhkan.
57. Cadangan aktiviti ini tidak akan mengabaikan fokus pertumbuhan dan pembangunan aktiviti ekonomi yang sedia ada seperti minyak dan gas; perkilangan barangan elektronik dan elektrik; serta perkhidmatan lain. Antara cadangan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama adalah Hub Kewangan Islam 2.0, Ekonomi Digital, Revolusi Industri 4.0 dan lain-lain.
58. Pembolehdaya Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan 8 perkara untuk membantu secara langsung dan tidak langsung dalam melancarkan proses pelaksanaan teras strategik.

NEGARA BERKEBERHASILAN
59. Kita mengharapkan Malaysia dapat berubah dari penyampaian kerja yang hanya berasaskan output dan pencapaian (performance) kepada Negara yang berasaskan impak (deliverables) dan keberhasilan (outcomes).
60. Key Performance Index harus berubah kepada Key Results Indikator (KRI) atau indikator keberhasilan utama yang boleh dinilai sebagai contoh dari sudut peningkatan pendapatan, penciptaan pekerjaan atau nilai tambah perniagaan dan sebagainya.
61. Bagi mencapai hal ini sistem pemantauan dan pelaporan terutama diperingkat kerajaan harus dinaiktaraf dan diperkukuhkan.
62. Wawasan Kemakmuran Bersama hendaklah dinilai berdasarkan keberhasilan bagi setiap Menteri, Kementerian dan Agensi seterusnya kepada pelbagai institusi Kerajaan dan swasta.

SASARAN WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA
63. Penetapan sasaran dan indikator yang jelas serta komprehensif adalah penting untuk menjamin kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama. Wawasan Kemakmuran Bersama telah sekurang- kurangnya menetapkan 10 sasaran ekonomi utama menjelang 2030.
64. Selain indikator utama ini; indikator dan sasaran lain berdasarkan TERAS Strategik, Pembolehdaya dan Inisiatif akan diperkenalkan kepada Menteri dan dipelbagai peringkat Kementerian, GLIC & GLC dan agensi supaya dapat dijajarkan kearah pencapaian matlamat besar Kemakmuran Bersama.

KEBERHASILAN BUMIPUTERA
65. Ada yang menyebarkan khabar palsu bahawa Kerajaan Pakatan Harapan hari ini mahupun Wawasan Kemakmuran Bersama ini telah mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera dengan menyamaratakan semua peluang dan meliberalisasikan semua sektor.
66. Kita sangat memahami masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara.

67. Kemakmuran Bersama bermaksud masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan dan perlu dibangunkan supaya lebih kompetitif serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik yang lain.
68. Dalam waktu yang sama seperti yang saya selalu tekankan, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan Kerajaan. Apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju untuk mengejar mereka yang dihadapan.

MENGURUS KUMPULAN-KUMPULAN MASYARAKAT BERKEPENTINGAN
69. Pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama akan meliputi semua rakyat Malaysia. Namun begitu, selaras dengan konsep kesaksamaan yang mendasari usaha ini, beberapa kumpulan akan diberikan keutamaan supaya kedudukan sosioekonomi mereka dapat dibaik pulih agar mereka tidak ketinggalan.
70. Kumpulan-kumpulan sasaran berkaitan termasuklah kumpulan berikut iaitu:
i. Kumpulan B40, miskin tegar dan rentan ekonomi;
ii. Masyarakat dalam transisi ekonomi;
iii. Masyarakat Orang Asli;
iv. Bumiputera Sabah dan Sarawak;
v. Orang Kurang Upaya;
vi. Belia;
vii. Wanita;
viii. Kanak-kanak; dan
ix. Warga emas.

PENUTUP
71. Kita mahu Malaysia yang makmur dan rakyatnya berjaya. Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar bersama-sama merealisasikan, menggembleng tenaga menghayati matlamat dan hasrat Wawasan ini.
72. Wawasan Kemakmuran Bersama adalah amanah pada kita hari ini dan hadiah dan milik anak cucu kita di masa hadapan.
73. Dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan tema “Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia”.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


No comments: