Latihan 1
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)
Lihat maklumat di bawah
dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang membawa kepada
kecemerlangan murid dalam akademik. Panjangnya huraian hendaklah antara
200 hingga 250 patah perkataan.
FAKTOR-FAKTOR KECEMERLANGAN
MURID DALAM AKADEMIK
-
Tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas
-
Program kecemerlangan akademik di sekolah
-
Sokongan daripada ibu bapa
Jawapan:
Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat,
Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, “Ilmu apabila diperdagangkan
bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang”. Pernyataan
ini jelas menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan
seharian kita terutamanya murid-murid sekolah.
Kecemerlangan murid dalam akademik adalah sangat penting kerana
mereka merupakan bakal pemimpin kita
pada masa hadapan. Remaja yang cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan
sesebuah negara. Hal ini bertepatan
dengan ungkapan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.
Persoalannya, apakah faktor-faktor yang
mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?
Faktor utama yang membawa kepada
kecemerlangan murid dalam akademik ialah melalui tumpuan ketika guru mengajar
di bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p). Sekiranya seseorang murid itu
menumpukan perhatian semasa guru mengajar di bilik darjah, sudah tentu
pelajaran tersebut lebih cepat diserap masuk ke dalam minda murid-murid. Pakar
psikologi pernah mengatakan bahawa, “lima puluh peratus kejayaan murid dalam
akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses pengajaran
dan pembelajaran di bilik darjah”. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik
adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa mengemukakan soalan kepada
guru-guru sekiranya terdapat tajuk yang tidak dapat difahami ketika guru
mengajar. Selain itu, murid-murid yang sering berjumpa dan berbincang dengan
guru-guru tentang akademik, pasti meraih kejayaan yang cemerlang. Dalam hal
ini, murid-murid perlu menghindari perasaan malu atau segan untuk bertanya
apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana pepatah menyatakan, malas
berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga
perlu menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh guru dan menghantar
dengan segera kepada guru untuk diperiksa. Murid-murid juga
turut melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah secara proaktif bagi membantu mewujudkan
proses pengajaran guru yang menarik dan berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid
semasa guru sedang mengajar dalam bilik darjah merupakan faktor utama
kecemerlangan murid dalam akademik
Selain itu, program kecemerlangan
akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut menyumbang kepada
kecemerlangann murid dalam akademik. Antara program yang diadakan ialah
pelancaran Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melalui pelaksanaan
program ini, murid-murid dapat
memupuk minat mereka dalam subjek tertentu dan seterusnya memperoleh keputusan
yang cemerlang dalam akademik. Selain program Minggu Bahasa, pihak sekolah juga
banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi subjek-subjek tertentu .
Dengan menghadiri bengkel menjawab soalan , murid-murid dapat mengetahui
kelemahan mereka dalam sesuatu subjek dan memperbaiki kelemahan tersebut serta
mendedahkan murid-murid berkaitan teknik untuk menjawab soalan peperiksaan
sebenar dengan betul. Hal ini bertujuan
untuk menjadikan murid-murid supaya lebih berkeyakinan semasa menjawab soalan
dalam peperiksaan yang sebenar. Sekolah turut mengadakan kem kecemerlangan, kem
motivasi dan kem bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri, mempunyai
motivasi dan membentuk keperibadian yang luhur.
Program Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada setiap tahun juga
turut memberi motivasi kepada murid supaya belajar bersungguh-sungguh. Jelasnya,
program yang dianjurkan sekolah juga merupakan salah satu faktor
kecemerlangan murid dalam akademik.
Seterusnya, saya akan menubuhkan
kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih kejayaan yang cemerlang dalam
akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan saya untuk sama-sama
berbincang tentang sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang difahami. Selain
guru, penerangan dan penjelasan daripada rakan-rakan dalam kumpulan
perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk meningkatkan pemahaman
murid tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama
rakan perbincangan juga, saya akan membuat lebih banyak latihan
terutamanya Matematik, Fizik, Prinsip
Akaun dan subjek Sains yang lain. Saya dan rakan kumpulan perbincangan akan
selalu mengunjungi perpustakaan untuk
mengulang kaji pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan
menyiapkan kerja rumah dan latihan yang diberi oleh guru bersama-sama. Kumpulan
perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang sebenar.
Murid-murid yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia
dan berkeyakinan ketika menghadapi peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid
dalam kumpulan perbincangan guga merupakan antara faktor kejayaan murid dalam
akademik.
Akhir sekali, kecemerlangan murid dalam
akademik berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa. Dorongan daripada ibu bapa dapat
menjadikan seseorang murid itu rajin dan gigih berusaha untuk mencapai
kecemerlanagn. Hal ini kerana dorongan
daripada ibu bapa merupakan satu sumber inspirasi kepada anak-anak. Anak- anak
akan lebih berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup dengan adanya dorongan,
motivasi, kata-kata perangsang, restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa
juga boleh menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membawa anak-anak ke
perpustakaan atau menghantar anak-anak ke kelas tambahan. Anak-anak akan
mencontohi ibu bapa dan menganggap dorongan ibu bapa itu sebagai motivasi
kepada diri mereka sendiri bersesuaian dengan kata peribahasa, “ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi”. Salah satu cara ibu bapa memberi dorongan kepada
anak-anak adalah dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak menghadiri
kelas tuisyen dan menyediakan kemudahan untuk anak mereka belajar di rumah. Ibu
bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk budaya
membaca dalam diri anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan membahagiakan ibu bapa
dengan kejayaan yang dicapai oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu bapa amat
penting untuk anak-anak mencapai kecemerlangan
dalam akademik.
Kesimpulannya, banyak faktor penentu
kecemerlangan murid dalam akademik.
Untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu memberikan
tumpuan ketika pembelajaran di bilik darjah. Murid-murid juga hendaklah
menyertai program-program akademik yang dianjurkan oleh sekolah selain
menyertai kumpulan perbincangan di sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik
juga adalah berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa.
Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam akademik bergantung pada keazaman seseorang murid itu
untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan hendak seribu
daya, tidak hendak seribu dalih.
4 comments:
Terima kasih
:D
Mantap
wow
Post a Comment