Terdapat
sebilangan murid, ibu bapa dan masyarakat hanya mementingkan pencapaian
akademik dengan meminggirkan aktiviti kokurikulum di sekolah.
Sebagai
seorang murid, huraikan pendapat anda untuk menyakinkan semua pihak bahawa
kegiatan kokurikulum banyak faedahnya kepada murid-murid dan tidak wajar
diketepikan di sekolah.
Terdapat pelbagai nilai murni
dalam aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah.
Jelaskan faedah-faedah yang
diperoleh daripada aktiviti yang telah anda
sertai.
Karangan contoh:
Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan
sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah
kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau
persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurangnya satu
daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat
memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada
pelajar yang menyertainya. Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti
yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Mereka menyertai
aktiviti kokurikulum dengan sambalewa bagaikan melepaskan batok di tangga. Hal
ini amat membimbangkan kerana usaha untuk melahirkan modal insan yang holistik
dan seimbang tidak dapat dicapai melalui bidang kurikulum sahaja tanpa
penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Pelbagai nilai murni dapat
dipupuk dalam diri pelajar seperti saya melalui aktiviti kokurikulum. Falsafah
Pendidikan Negara menegaskan sebanyak 16 nilai murni masyarakat Malaysia
terdapat dalam sistem pendidikan kita. Sebenarnya, apakah faedah-faedah yang
saya peroleh daripada aktiviti kokurikulum yang telah saya sertai?
Salah satu faedah aktiviti kokurikulum yang tidak dapat dikesampingkan ialah nilai kepemimpinan dapat disemai dan subur dalam diri saya walaupun saya belum
cukup keras ubun-ubunnya. Hal ini penting supaya negara kita tidak ketandusan
pemimpin yang berkualiti pada masa hadapan kerana generasi muda pada hari ini
merupakan bakal pemimpin negara. Yang paling nyata melalui kegiatan kokurikulum, terdapat pelajar yang dilantik atau dipilih sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi mereka sama ada
sebagai pengerusi, setiausaha atau bendahari. Dalam konteks ini, pelajar telah
diasuh dan diasah sebagai insan yang bertanggungjawab, berkeyakinan, amanah,
dedikasi dan berupaya berinteraksi dengan anak buahnya. Unsur-unsur tersebut
dan pengalaman dalam memimpin ini dapat menjadikan mereka sebagai pemimpin yang
berwibawa dan dihormati kelak. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan, saya telah dilantik sebagai
pengerusi bagi Persatuan Bahasa Melayu di sekolah. Sepanjang saya menjadi pengerusi bagi
persatuan ini, saya dapat mempelajari cara untuk menjadi seorang pemimpin.
Saya berpeluang untuk merancang pelbagai aktiviti yang menarik bersama dengan
pasukan saya dan guru-guru penasihat saya untuk menjayakan persatuan ini. Bukan
itu sahaja, saya turut dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam
persatuan saya. Dengan memperoleh pengalaman-pengalaman ini, saya akan menjadi
lebih bijak dalam menguruskan sesuatu pekerjaan tanpa bantuan guru-guru mereka.
Tegasnya, nilai kepemimpinan dapat dipupuk dalam diri saya melalui aktiviti
kokurikulum yang saya ceburi.
Kupasan dan huraian tentang manfaat aktiviti kokurikulum tidak harus ada
titik noktahnya, maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai
kata ditinjau pula dari aspek kegiatan kokurikulum juga
dapat mengukuhkan nilai perpaduan antara kaum dalam jiwa saya. Perpaduan amat
penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur terutamanya dalam negara
yang berbilang kaum seperti Malaysia. Setiap persatuan dan kelab mempunyai
banyak ahlinya. Ahli-ahli tersebut terdiri daripada pelbagai kaum seperti
Melayu, Cina, India dan lain-lain. Nilai perpaduan dapat dipupuk apabila saya
bersatu dengan rakan yang berbangsa lain dalam sesuatu kegiatan. Sebagai
contohnya, saya dan rakan saya yang berbangsa Cina dan India mewakili pasukan kami
untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam
pasukan bola jaring. Dalam perlawanan bola jaring, kami akan bersatu dan
bekerjasama ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mencapai
kejayaan pasukan. Secara tidak langsung, hubungan saya dengan rakan
seperjuangan yang berlainan kaum akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi
dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana
bersatu teguh bercerai roboh. Kami akan saling menghormati walaupun warna
kulit, agama dan bangsa kami berlainan. Dengan ini, sebarang perselisihan faham
dapat dielakkan dan kehidupan yang harmoni dan humanis dapat dilahirkan. Saya
juga dapat berkomunikasi dengan baik bersama mereka walaupun berlainan agama
atau kaum. Ringkasnya, penglibatan saya dalam kegiatan kokurikulum mampu
mewujudkan perpaduan serta mengikis sentimen perkauman dalam diri saya.
Menyingkap dari perspektif yang lain,
aktiviti kokurikulum juga dapat memupuk nilai berdikari dalam diri saya. Berdikari
membawa maksud keupayaan bertindak sendiri, berkeyakinan dan cekal dalam
menghadapi pelbagai dugaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa segolongan
pelajar pada hari ini tidak mempunyai sikap berdikari atau kendiri kerana
kehidupannya dilingkari dengan kemewahan dan sering dimanjakan oleh ibu bapa
mereka. Segala urusan kehidupan mereka seperti mencuci pakaian, pinggan mangkuk
dan mengemas bilik sendiri pun dilakukan oleh pembantu rumah mereka. Dalam
aktiviti kokurikulum, nilai berdikari boleh ditanam melalui penyertaan dalam
pasukan beruniform. Saya telah menyertai pasukan beruniform Pandu Puteri di
sekolah saya. Lazimnya, pasukan beruniform ini akan menganjurkan pelbagai
kegiatan tahan lasak atau kegiatan di luar sekolah, seperti aktiviti berkelah,
berkhemah, berkembara atau ekspedisi. Dalam kegiatan yang sedemikian, setiap
peserta perlu menguruskan rutin hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga. Sebagai
contoh, saya perlu memasak, mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri.
Lantaran itu, saya tidaklah menjadi seperti burung dalam sangkar yang hanya disuap nasi
tanpa diberi kebebasan untuk hidup berdikari. Lebih-lebih lagi, dengan menganggotai pasukan beruniform saya lebih berdikari berbanding dengan pelajar lain.
Izharlah bahawa nilai berdikari dapat dipupuk melalui penglibatan secara aktif
dalam aktiviti kokurikulum yang saya sertai.
Di samping itu, dengan menyertai kegiatan
kokurikulum saya juga dapat membentuk disiplin diri saya. Disiplin sangat
penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk
berjaya. Disiplin juga dapat membentuk sikap tanggungjawab seseorang pelajar.
Sikap melepaskan batuk di tangga dapat dihapuskan apabila seseorang pelajar
diberi kepercayaan dan amanah untuk menyandang sesuatu jawatan yang penting dalam
unit beruniform, kelab dan permainan. Peraturan yang ditetapkan dalam unit
beruniform bertujuan untuk membentuk disiplin diri dan melatih mereka supaya
berperibadi tinggi dan luhur. Sebagai contohnya, saya akan dilatih menepati
masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan,
bersukan dan sebagainya. Contoh yang lain, apabila hendak menjalani latihan
sukan atau bahas, saya mesti menepati masa. Jika terlewat, saya akan rugi
kerana masa itu emas. Saya juga tidak akan terlibat dalam masalah kebejatan
sosial seperti melepak, menagih dadah dan vandalisme kerana memounyai disiplin
diri yang tinggi. Pendek kata, pembentukan disiplin diri yang tinggi dapat saya
capai melalui penyertaan aktiviti kokurikulum.
Berdasarkan cambahan minda yang telah
dinyatakan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kegiatan kokurikulum amat
berfaedah kepada saya terutamanya dalam aspek pemupukan pelbagai nilai murni.
Tanpa penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa generasi muda sudah pasti usaha
pembangunan negara akan terbantut kerana mereka merupakan jentera penggerak
kemajuan negara pada masa hadapan bak kata cogan kata, pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Oleh itu, para pelajar perlulah memanfaatkan masa yang
terluang dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Namun begitu, kita tidak seharusnya
mengharapkan usaha generasi yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk
pinang semata-mata. Jadi, semua pihak seperti ibu bapa, pihak sekolah dan
Kementerian Pelajaran Malaysia perlulah menggembleng tenaga untuk memastikan
para pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum di
sekolah. Dengan ini, usaha untuk melahirkan modal insan yang cemerlang,
gemilang dan terbilang dapat menjadi kenyataan dan bukannya sekadar omongan
kosong. Benarlah kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan
sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.”
Huraikan faedah-faedah tersebut.
**********
**********
Pelibatan dalam aktiviti kokurikulum memberikan banyak faedah kepada murid.Huraikan faedah-faedah tersebut.
**********
7 comments:
Terima kasih atas perkongsian. Sangat membantu
π
ππ
Good to shareπππππππππππ
very long
very good
Yes it was so interesting
Post a Comment