Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke
arah melahirkan gaya hidup sihat.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan
gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh
mengurangkan pelbagai risiko penyakit pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan
rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu
banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang
tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi
kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu,
untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit
jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah
mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah
semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga
mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa
dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama
ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka
adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Pemakanan yang seimbang bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh
kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin,
mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan
makanan yang berzat serta bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa
juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya
gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan
penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti
anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa
juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana
minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan
gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus
buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak
mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga
boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Aktiviti ini
bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan
anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya
hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan
keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap
imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah
dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal,
berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja,
senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas
ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka
dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata
pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan
aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat
dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat
pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu
bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan
sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan
kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di
peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden
kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu
bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu
menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati
anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa
dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang
dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat
doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan
kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar
dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap
masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan
asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat
yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan
jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan
bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi
lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu
selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan
mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari
rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat
apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama,
selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga seyogia
mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran
mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita
terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan
anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk
membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa
anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa
bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa
penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan
nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat
takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian,
ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak
mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai
penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga
melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka
dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa
digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak
atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan
satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek
psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat
ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan
ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat
mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
Pada masa yang sama memiliki sikap atau
mentaliti positif penting untuk menangani
tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya
dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif
daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan
hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami
boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera,
menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin
positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang
mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik
dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran
merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada
saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi
bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang
sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan
sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan
yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung
kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi
kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung.
Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa
simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan
bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan
bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan
dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa
berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi
orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup
yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa
perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh
badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk
mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah
mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari
untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih
suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan.
Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak
bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi
mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil
oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk
tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan
gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang
secukupnya.
Jika mendaki
menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang
bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara
ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas
perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang
bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat
Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing
manis, darah tinggi, sakit jantung, masalah obesiti dan sebagainya dapat dikurangkan
dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu ditangani
sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar
helang. Jelasnya,
jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita
memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata pepatah hendak seribu daya,
tidak hendak seribu dalih.
Catatan : Boleh ditambah penglibatan dalam aktiviti Hari Sukan Negara (08.10.16) untuk memperlihatkan keluasan idea.
Catatan : Boleh ditambah penglibatan dalam aktiviti Hari Sukan Negara (08.10.16) untuk memperlihatkan keluasan idea.
6 comments:
mohon utk share
Wa.. best baca artikel ni tau, padat dan sedap gitu. jom baca artikel saya di www.gayahidupsihat.com
good
Bagus.Karangan yang cantik
mohon izin kongsi dengan anak-anak pelajar.musim-musim penyakit sekurangnya dapat beri ilmu tentang kesihatan..terima kasih
Mohon utk share
Post a Comment